Highlights

Sakitnya RINDUKAN MAK Yang Dah Tiada — Rindu Bau Mak, Air Tangannya, Tiada Siapa Lagi Sambut di Pintu Rumah...

gempak
Afiza Kamarulzaman
29/10/2019
02:06 MYT
Sponsor Banner
Sakitnya RINDUKAN MAK Yang Dah Tiada — Rindu Bau Mak, Air Tangannya, Tiada Siapa Lagi Sambut di Pintu Rumah...
Pengalaman kehilangan ibu bukanlah pengalaman luar biasa bagi kebanyakan orang kerana setiap daripada kita pasti telah, sedang atau akan melaluinya. Namun, hari ini penulis terdetik mahu mengangkat kisah penulis sendiri yang kehilangan tempat bermanja sejak 11 tahun lalu atas kerinduan yang datang tiba-tiba usai solat subuh pagi tadi.
Siapa yang pernah melaluinya sahaja tahu bagaimana rasa sakitnya itu? Tambahan pula apabila ibu itu pergi dalam keadaan kita belum puas menikmati kasih-sayangnya, tidak sempat membahagiakannya, memberi dia rasa wang hasil titik peluh kita, tidak sempat membalas jasanya dan perginya dalam keadaan tanpa tanda.
Bulan lepas penulis dijemput menghadiri acara di luar Kuala Lumpur, iaitu Guardian Healthy & Beauty Media Retreat. Ia sebenarnya sebuah acara biasa yang penulis selalu hadiri sebelum ini. Namun, ada sesuatu yang ‘luar biasa’ pada salah satu sesi yang mereka atur di awal acara.

Kredit foto: Google

Sebaik tiba di situ, kami diberi ruang untuk suai kenal. Menariknya, acara ini mengkehendaki setiap kami tampil ke depan untuk menceritakan persoalan yang telah diberi untuk setiap orang. Lain orang, lain soalannya. Jadi untuk penulis, soalannya berbunyi; “What is your biggest challenge in life and what did you learn from it?
Kami diberi masa untuk memikirkan apakah jawapan yang ingin kami kongsi dalam masa tiga minit sahaja. Dan, waktu itu penulis terfikirkan dua perkara; walaupun hakikatnya sepanjang 35 tahun ini penulis melalui banyak cabaran hidup tetapi yang dua ini kiranya paling ‘agung’ cabarannya.
Penulis terfikir antara dua momen ini; diduga 10 tahun perkahwinan tanpa zuriat dan akhirnya melakukan IVF atau berkongsi pengalaman duka kehilangan arwah Mak?
Namun, entah kenapa sebaik dipanggil ke depan, cerita yang keluar daripada mulut penulis adalah cabaran awal kehilangan Mak dan penulis boleh bercerita dengan jujur dan lancar bagai air mengalir sehinggakan ada anatara peserta di depan penulis turut mengalirkan air mata.
Ini bukan drama, inilah realitinya hati yang remuk saat kehilangan susuk bernama MAK!

Kredit foto: Afiza Kamarulzaman

Kenapa Hilang Mak Itu Sangat Mencabar?
Kerana Maklah orang pertama yang kita kenal, dia beri kita ‘nyawa’, dia umpama ‘malaikat’ yang membawa kita ke dunia setelah dipinjamkan oleh yang di atas sana. Dialah insan yang paling jujur menyayangi kita tanpa sebarang syarat atau tuntutan. Dia susuk yang tidak perah ada benci atau dendam kepada anaknya.
Kita hidup di dunia ini kerana dia. Jadi, saat kehilangannya, kita akan rasa hilang separuh jiwa. Hidup bagai melayang-layang di awangan. Tidakkah itu cukup mencabar untuk kita lalui detik seterusnya tanpa dia yang bernama Mak?
Walaupun arwah pergi pada usia penulis sudah 23 tahun, setahun selepas penulis berkahwin, namun ia tidak cukup membuatkan penulis merasai kekuatan untuk mendepaninya. Puas? Belum puas dan tak mungkin puas untuk hidup bersama Mak. Tambahan pula waktu itu penulis baru sahaja menamatkan pengajian dan baru setahun juga memulakan pekerjaan tetap.
Kredit foto: Afiza Kamarulzaman
Kali Terakhir Ziarah Penulis, Mak Hadiahkan Buku Yassin
Sampai sekarang penulis masih simpan buku bacaan yassin dan tahlil yang diberikan Mak pada kali terakhir arwah Mak mengunjungi rumah penulis di Kuala Lumpur. Mak memang kerap juga ke sini kerana hanya penulis, anaknya yang mengembara jauh menjadi perantau.
Masih terngiang-ngiang dalam kotak memori, penulis mengambil Mak di Pudu Raya. Waktu itu Mak dari Melaka menguruskan hal rumah pusakanya. Kemudian, singgah di Kuala Lumpur sebelum mahu pulang ke rumahnya di Perak. Selalunya, Mak tidak tergesa-gesa mahu balik kalau sudah sampai di rumah penulis.
Tetapi, pada kali terakhir itu katanya dia mahu singgah sekejap sahaja kemudian lekas hantar dia pulang ke Perak. Kata penulis rehatlah dulu, malam baru kita balik kerana menunggu suami penulis yang belum habis kerja. Berkali-kali dia renung ke jam di dinding dan bertanya bila nak balik?
Resahnya kali ini lain macam.
Ketika menyerahkan buku yassin yang penulis ceritakan tadi, arwah kata; “Ini Mak beli kat atas bas tadi. Ada budak tu minta derma dan Mak beli ni untuk kamu. Rumah kamu ni tak ada langsung surah yassin.”
Kebetulan penulis baru pindah di situ, memang tidak adalah menyimpanya di rumah lagi.
Kredit foto: Afiza Kamarulzaman
Mak Sakit Tak Lama, Doanya Tidak Mahu Susahkan Anak
Benar. Mak selalu kongsi dengan penulis, di dalam doanya setiap waktu, Mak tidak mahu mati dalam tiga keadaan; mati kemalangan jalan raya, mati sakit yang lama dan mati susahkan anak-anak. Subhanallah, doa Mak dimakbulkan.
Mak pergi tidak sampai sebulan sakit. Dan, sakit Mak pun tidak menyusahkan anak-anak. Kami, adik-beradik pun tidak puas menjaga dan berbakti kepadanya. Tambahan pula, penulis duduk jauh. Lagilah penulis terasa, kerana hanya beberapa kali sahaja sempat tukarkan lampinnya, sikat rambutnya dan suapkan makan ke mulutnya.
Bertambah ralat apabila tidak dapat ‘mengadap’ saat arwah menanti sakaratulmautnya. Tidak dapat membisikkan kata-kata akhir. Tidak berpeluang mengajarnya mengucap di telinganya. Allah...
Pada hari kematiannya di wad ICU, abang penulis menghubungi penulis pada jam enam pagi, hari Rabu (sehari selepas penulis balik ke Kuala Lumpur selepas melawat Mak di hospital). Luluhnya hati, berdentum jantung saat abang bersuara terketar-ketar, “Mak dah tak ada...” Serentak itu, sayup-sayup kedengaran azan subuh berkumandang.
Innalillahi wa inna ilayhi raji'un Waktu itu rasa seperti langit runtuh. Bumi bergoncang. Badan menggeletar. Suami yang berada di sebelah bingkas bangun, peluk dan hanya mampu suruh bersabar, sabar, sabar.. Insyallah, Mak berada di tempat yang sangat baik sekarang.
Kredit foto: Afiza Kamarulzaman
Rasa Tak Percaya, Di Dalam Liang Lahad Itu Jasad Mak
“Lekas anak-anak siapa nak cium arwah Mak?”
Seorang demi seorang lapan anak Mak datang kepada jenazah Mak yang sudah berkapan sempurna. Kak Long, arwah Kak Ngah, Kak Lang, arwah Abang Zamani, Kak Aju, Kak Ayu, Abang Feros dan penulis yang bongsu. Diikuti cucu-cucu Mak. Air mata dan esakan kami adik-beradik sayup-sayup memenuhi ruang tamu rumah Mak yang selama ini menjadi tempat membesar kami adik-beradik yang akan Mak tinggalkan sebentar lagi.
Puas kami cium dahi, pipi dan kedua tapak kaki Mak. Wangi bau Mak, sejuk dahi Mak. Cantiknya Mak mahu menemui pencipta-Nya. Wajah Mak bersih bagai berbedak. Saat menghantar Mak keluar dari pintu rumah, hati rasa sangat berat untuk melepaskan Mak keluar dari rumah itu.
Mak, ini rumah Mak. Mak besarkan anak-anak Mak sendiriankan selepas arwah Ayah pergi waktu anak-anak Mak masih kecil? Mak besarkan lapan anak Mak tanpa suami. Mak yang tiada pencen, tiada harta, tiada pelajaran. Banyak kenangan Mak di rumah ini, kenapa Mak nak tinggalkan kami juga? Kosong rumah ini nanti, Mak. Kosong...

Kredit foto: Afiza Kamarulzaman

Rumah Mak Kosong Tapi Doa Untuk Mak Penuh Selalu
Dan, walaupun sudah 11 tahun Mak pergi, kekosongan itu tidak akan ada isinya walau dengan apa cara sekali pun. Walaupun kami adik beradik cuba mewujudkan kemeriahan di rumah Mak.
Berkumpul untuk menggamit kenangan. Makan-makan, borak-borak di rumah Mak, namun ia tetap tidak sama, Mak tanpa ‘tiang serinya’ yang bernama Mak.
“Mak, orang balik pertama kali masa Mak dah tak ada hari tu, rasa lain sangat, Mak. Hanya abang Feros yang ada tunggu di rumah itu, Mak. Tapi tak sama, Mak. Tiada lagi Mak yang sambut orang depan pintu.
Orang dah tak panggil, ‘Mak, masak apa?’. Dah tiada lagi bau masakan Mak dari dapur. Dah tiada lagi susuk Mak yang baring-baring di atas sofa panjang menunggu waktu Zohor.
Sofa itu kosong, Mak. Dan, bila nak balik semula ke KL, tiada lagi tangan berkedut untuk orang salam. Tiada lagi tangan untuk orang selitkan not duit yang tak seberapa itu.
Tiada lagi bekalan makanan Mak untuk dibawa pulang yang boleh disimpan berbulan-bulan di peti sejuk beku. Allah, dugaan apakah ini? Sakit sungguh...”
Kredit foto: Afiza Kamarulzaman
Mak, Tunggu Kami di Sana Ya...
Pujuk suami, “Mak awak baik. Bekalan yang dibawa banyak di sana, Insya-Allah. Arwah tak pernah tinggal solat wajib, rajin buat tahajud lagi, mengaji hari-hari. Pahala dia besarkan awak adik-beradik pun tak terhitung banyaknya. Jangan sedih. Dia berada di tempat yang lebih baik di sana dari di sini...”
Bukan apa, penulis hanya ralat tidak sempat membahagia dan ‘memewahkannya’ kerana waktu itu pun penulis baru mahu memulakan hidup. Yang dapat pun, hanya huluran wang tidak seberapa dan bawanya berjalan sikit-sikit. Kesian arwah, masa hidupnya sangat susah.
Masanya dihabiskan dengan membesarkan anak-anak. Tiada masa untuk berjalan atau membeli apa yanng dia suka. Penat arwah cari duit. Macam-macam kerja dibuatnya. Pernah kerja cuci pejabat, jadi orang gaji, jual nasi lemak, ambil upah cuci baju, demi menyuapkan anak-anak yatim di rumah itu.
Kesian arwah. Selesai semua anak-anaknya dibesar dan disekolahkan, apabila arwah pasti semua anak-anaknya sudah ada kehidupan sendiri, arwah pun bersiap-siap untuk pergi meninggalkan anak-anaknya. Pergi ke negeri abadi untuk berehat sendirian...
“Insya-Allah, arwah tidak dapat kesenangannya di sini, Allah berikan yang lebih hebat lagi di sana” ujar suami lagi.
Hanya itulah doa kami, anak-anak di sini. Kalau kami tidak dapat menyenangkan Mak di dunia, semoga Allah berikan segala yang Mak tidak dapat di sini, Mak akan miliki di sana nanti. Mak, kami sayang Mak. Hanya kalau Mak dapat bacar artikel ini, Mak. Kami jarang mengucapkannya terus kepada Mak, tapi percayalah Mak jauh di lubuk hati kami, Maklah wira hidup kami dunia akhirat. Maklah pejuang yang paling hebat berjuang sepanjang kehidupan Mak tanpa suami dalam membesarkan anak-anak.
Terima kasih Mak. Mak okey-okey kan di sana? Ada dua anak Mak yang akan menarik Mak ke syurga nanti. Mak kehilangan anak pertama selepas empat hari di lahirkan, dan seorang lagi anak lelaki cacat yang Mak jaga hampir 15 tahun.
Mak tunggu, kami ya. Kita berkumpul di sana nanti. Insya-Allah.
Dan, kamu masih ada Mak Ayah, kan? Kamu tahu apa yang patut kamu lakukan sebelum mereka dijemput pulang? Ambil kisah ini sebagai iktibar bahawa ada kekesalan dan ralat yang tidak dapat ditebus walau dengan apa cara sekali pun.
Maka, hargailah, peluk, sayangi dan korbankanlah apa sahaja untuk ibu dan ayah selagi Allah masih panjangkan tempoh ‘pinjaman’ itu kepadamu.

Kredit foto: Afiza Kamarulzaman

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024