Highlights

“Salah Tu Min, Ada Juga Isteri Yang Ada Masa, Tetap Tak Mahu CANTIKKAN Diri, Dah Selesa Begitu” – Azmi

gempak
Afiza Kamarulzaman
24/06/2020
14:01 MYT
Sponsor Banner
“Salah Tu Min, Ada Juga Isteri Yang Ada Masa, Tetap Tak Mahu CANTIKKAN Diri, Dah Selesa Begitu” – Azmi
Inilah kisah rumah tangga yang pelbagai rona dan dramanya. Tidak pernah senyap selagi dua jiwa bersatu dalam satu rumah, dihiasi pula cahaya mata ajnas perangai. Mana mungkin mudah untuk dua individu yang tidak pernah mengenali ditakdirkan hidup bersama mampu terus bahagia semata tanpa ada segaris dua calar di sana sini. Andai kuat mengharunginya, maka sehingga ke syurga abadi mampu bersua, jika tidak di dunia sudah berpisah akad.
Jika sebelum ini, penulis ada menaikkan satu kisah rumah tangga perihal isteri yang mengabaikan dirinya sehingga dicop selekeh dan comot dek sibuk menguruskan hal rumah tangga. Ditambah dengan sikap suami yang berat tulang dan hanya tahu memerintah sahaja. Dan, selepas artikel itu dimuatnaik, seorang suami ini menghubungi penulis di kotak pesanan Instagram, sekadar mahu berkongsi kisah dia dan isteri yang sebaliknya pula.
Kredit: Google
Tidak Semua Isteri Selekeh Dek Sibuk Uruskan Rumah
“Assamulaikum puan. Saya Azmi. Saya ada terbaca artikel puan semalam tentang isteri yang selekeh kerana tak ada masa belek diri, sibukkan hal keluarga...” tulis Azmi memulakan perbualan virtual kami. Dan, kami meneruskan soal jawab di situ di mana Azmi memberitahu ingin juga berkongsi kisah peribadinya. Katanya, dia selalu mendengar kisah negatif daripada isteri dan jarang suami meluahkan rasa hati pula.
Saya kata, saya tidak berat sebelah. Saya menulis berdasarkan kisah yang selalu berlaku di sekitar saya, kebetulan kisahnya banyak berlaku dalam kalangan kawan-kawan perempuan saya; isteri yang dibebani suami. Jadi, kalau Azmi mahu saya menulis kisahnya, saya berlapang dada untuk berbuat demikian. Manalah tahu, ia dapat memberi pengajaran dan manfaat kepada kaum Hawa juga.
“Saya bukan mahu membuka aib isteri tapi ini kenyataan yaang berlaku dalam rumah tangga kerana saya juga tak mahu disalahkan orang yang melihat kekurangan isteri itu disebabkan oleh keburukan saya. Isteri saya, Linda (bukan nama sebenar) seorang suri rumah tangga. Kami sudah berkahwin hampir lapan tahun dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia tujuh tahun. Dulu, Linda seorang pereka grafik dan atas kemahuannya sendiri, dia mahu berkhidmat sebagai suri rumah sepenuh masa. Saya tiada bantahan kerana gaji saya mampu menyara kami sekeluarga.”
Kredit: Google
Linda Lebih Suka Sederhana Katanya Tapi...
Azmi memberitahu, waktu kerjanya bermula jam lapan pagi dan pulang ke rumah sebelum jam tujuh petang. Dan, apabila balik ke rumah, Azmi sering membantu isteri melunaskan kerja rumah seperti mencuci baju, melayan anak, mengemas meja makan dan kalau ada masa turut turun ke dapur memasak. Jadi, tidak ada isu Linda terbeban dengan kerja rumah yang bertimbun. Anak pun sudah besar dan berdikari. Seorang pula tu.
“Ramai kata saya suami yang baik, ini orang kata, bukan saya kata. Selalu ringan tulang bantu isteri. Dan, setiap kali orang memuji saya di hadapan Linda, Linda hanya senyum. Mungkin dalam hatinya rasa bertuah. Maka, dengan kebaikan saya itu menjadikan Linda adakalanya bersikap sambil lewa dari segala segi,” tulis Azmi lagi perihal sikap isterinya yang suka buat kerja cincai.
Menurut Azmi lagi, dulunya pun Linda bukanlah seorang yang suka bergaya sangat. Tetapi, masih kelihatan kemas dan ada juga menjaga penampilan diri. Bersolek ringkas dan berwangi-wangi. Ada usaha menyuaipadan baju dan seluar, kasut juga aksesori diri. Namun, selepas melahirkan anak dan berhenti kerja, Linda menjadi semakin malas untuk bersiap. Malah, tidak ada lagi nafsu untuk memakai baju cantik-cantik atau melaram seperti perempuan lain.
“Apabila saya berikan dia duit untuk beli baju atau barang mekap, dia akan hanya simpan duit itu atau dibuat beli barang makannya saja. Kadang-kadang, kalau mahu keluar rumah, sengaja saya bersiap lambat semata-mata mahu bagi dia lebih masa untuk bersiap sempurna atau bermekap. Tapi, akhirnya dia tetap keluar dengan baju t-shirt dan seluar kembangnya itu. Muka sekadar ditepuk bedak talkum anak.” Tambah Azmi dalam rentak tulisan kecewa.
Azmi pernah bertanyakan kepada Linda, kenapa tidak suka bercantik-cantik macam kawan-kawan lain? Linda akan jawab, dia lebih suka bersederhana. Buat apa buang duit, katanya? Bagi Azmi pula, bercantik-cantik, tidak semestinya menggunakan wang yang banyak. Hanya perlukan kerajinan dan sedikit masa untuk bergaya di depan suami. Kalau di rumah pun begitulah. Bau asap dapur sahaja.
Kredit: Google
Suami Hanya Mahu Isteri Bahagia Luar dan Dalam
Azmi berharap apa yang diluahkan ini tidak disalah ertikan. Dia bukanlah suami mata keranjang atau bernafsu besar. Cuma katanya, dia mahu isterinya kelihatan ‘elok’ apabila berada dalam kalangan kawan-kawan dan saudara-mara. Apatah lagi kalau diminta menemani suami ke majlis tertentu, pastilah Azmi ada air muka untuk dijaga. Malu juga apabila orang bawahannya kelihatan lebih menyerlah daripada isterinya sendiri.
“Saya tidak tahu bagaimana untuk menegur Linda? Saya cuba untuk berkias tetapi nampaknya dia seperti tidak faham atau mungkin dia selesa begitu. Saya tidak mahulah orang kata saya kedekut dengan isteri kerana isteri tidak bekerja. Tapi, orang tidak tahu yang saya sendiri sudah beri peruntukan untuk dia, hanya Linda yang tidak mahu. Saya sayangkan Linda dan anak. Saya mahu dia bahagia, saya mahu dia cantik dan tidak rasa rendah diri apabila keluar bertemu orang. Doakan kami ya.”
Begitulah luahan Azmi perihal isteri yang sudah tidak punya nafsu untuk berlawa-lawa. Apa yang diceritakan itu diharap dapat memberi pengajaran kepada isteri-isteri di luar sana. Walau dikurniakan sebaik mana pun suami, dan suami tidak pernah complaint, namun selalulah ingatkan diri untuk berhias, berwangi-wangian demi menyejukkan mata dan hati suami. Ia juga pahala kita sebagai isteri. Semoga bermanfaat.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live