Daripada imej rambut panjang, botak dan pendek juga pelbagai gaya rambut dan grooming Norman Hakim semuanya tersimpan kemas dalam paparan Media Hiburan. Tidak terkecuali apabila terpalit dengan kisah kontroversi, gosip panas lagi sensasi semua itu ditempuhi dan disifatkan sebagai asam garam bergelar anak seni. Selebriti bertubuh sasa ini terus unggul dan kekal relevan hingga hari ini.

Kredit Foto: Astro Prima

‘Amelina & Norman Hakim Pertama Kali Bergandingan, Siapa Tumpang Populariti Siapa’
Tatkala Raden bertanya kepada Norman sama ada dia mampu meneka dengan siapa dia digandingkan dalam petikan artikel pertama ini; “Amelina?” jawab Norman dan tepat tekaannya. Tampil dengan rambut panjang, lengkap dengan suit, artikel keluaran 1998 ini sekali gus mengimbas memorinya. Aksi mesra kedua-duanya nyata menimbulkan kontroversi ketika itu. “Masa ni Amelina tengah berkawan dengan seseorang. Dan seseorang tu cari aku pasal gambar ni lah. Dia sudah salah faham. Zaman-zaman ni kalau nampak artikel ni dek bapak aku memang melayang ni, hahaha” terang Norman bersungguh.

‘Norman Hakim – Hadiah Lumayan Untuk Beli Jiwa’
“Serius lah headline macam tu?” soal Norman kepada Radin seakan tidak percaya artikel ini pernah menghiasi Media Hiburan sekitar 1998. Dan apabila ditanya adakah benar dia pernah ‘dijaga’, terpalit dengan jolokan ‘anak ikan’ Norman seraya memintas; “Itu sebenarnya waktu ni selepas zaman jadi pelakon ekstra, abang ada berlakon satu telemovie. Kebanyakan cerita, telemovie waktu-waktu semua berkisarkan macam ni. Ada ke muka macam tu?” (‘anak ikan’) soal Norman seraya disambut dengan ketawa kedua-duanya.

Norman tidak menafikan ketika itu persepsi dan sesiapa jua yang melihatnya akan punya satu pandangan yang skeptikal. Lebih-lebih lagi pendatang baru dalam dunia seni sepertinya (atau dalam istilah era kini BBNU). Akuinya lagi apabila melihat semula foto daripada petikan artikel ini, “Sejujurnya benda seperti ini banyak memberi pengalaman dan pengajaran dalam kehidupan posing tu kena jaga tatasusila dan social distancing. Uish seram ni, banyak lagi ni” hurainya panjang lebar sambil sesekali membelek bingkai artikel yang disimpan rapi dalam beg menanti masa untuk dibongkar ‘aibnya’ satu persatu.

Kredit Foto: Astro Prima

Norman Hakim Dan Koleksi Paling Digemari
“Seriuslah ada artikel macam ni? Hahaha” ujarnya tertawa melihat foto sendiri. “Aib ni, ada boxer! Hahaha” ujarnya lagi. Artikel keluaran September 1998 ini antara lain mengetengahkan Norman bersama item gaya hidup dan fesyen yang disifatkan cukup ‘in’ ketika itu. Tampil dengan imej rambut panjang dan diikat, bagi Norman “Tengok diri sendiri pun rasa macam hadsome. Tapi memang nostalgia gila lah tengok gambar-gambar yang feature barang-barang ni semua memang menyentuh hati. Terus terkenang zaman dulu” terangnya lagi yang sememangnya cukup sinonim dengan habit bersenam. Melihatkan boot kulit, kongsi Norman ia ditempah khas dengan harga RM600 yang disifatkan cukup mahal ketika itu.

Kredit Foto: Astro Prima

‘Debaran Empat Finalis Artis Seksi PPMH‘
Personaliti Pilihan Media Hiburan atau singkatannya PPMH pula tidak kurang nostalgik pada Norman. Artikel yang menampilkannya bersama Ning Baizura, Dato Awie dan Aleeza Kasim cukup menggamit memori. Bercerita lanjut mengenai petikan artikel ini, “Ia adalah competition dan ini baru saringan. Dan semua ini adalah kategori Artis Seksi Lelaki dan Wanita. Lepas daripada pertandingan itu, sembilan kali abang menang Artis Seksi PPMH,” hurainya lagi. Sekali gus dia juga tertanya apakah yang membuatkan pembaca menobatkannya sebagai artis seksi. Jawab mereka bahagian dadanya yang sasa memperlihatkan Norman Hakim seksi pada pandangan pembaca ketika itu.

‘Erra Dan Saya Baik Dari Dulu’
Menyingkap kisah disebalik foto yang mempamerkan gelagat Norman makan kek di pejabat penerbitan majalah ini, ada cerita tersendiri yang tersimpan rapi dalam ingatannya tatkala Radin bertanya bagaimana detik perkenalan Norman dan Erra Fazira. “Dalam Sembilu 2, saya berlakon ekstra. Nampak waktu di gazebo tu Awie dan Erra berdua saja. Jadi, saya pergi ke situ dan ambil gambar dengan mereka. Keesokannya datang lagi sebab gambar dah siap cuci, mintalah sign. Mereka tengah couple waktu tu. Tak naklah kacau. Selepas itu kebetulan pula saya pun dalam fan club Erra (waktu itu), hantar dia pergi umrah dengan fans yang lain. Salam Erra tercium tangan dan gambar tu terus viral. Waktu tu juga orang gosipkan. Bila dah gosip, (kebetulan waktu itu mereka dah putus tunang) Dato Yusuf Haslam ambil saya berlakon dalam Pasrah. Mula dari situ lah kami kenal hati budi, hahaha” kongsi Norman lagi.

‘Norman & Abby Tak Jadi Sanding Bawah Pedang’
Masih berhubung baik dengan bekas isteri hingga kini, Norman cukup profesional ketika mengimbas semula petikan wajah sampul yang menghiasi Majalah ini pada 2002. Berbusana songket biru, kedua mempelai ini pada awalnya merancang untuk bersanding dibawah pedang. “Atas faktor keselamatan last minute tak boleh. Frust juga sebab baju dah tempah. Tapi kita buat dengan apa yang ada ajelah. Inilah sahabat baik saya dan juga ibu kepada anak-anak saya.” Ceritanya lanjut.

Mengimbau kembali momen pertama yang membibitkan cinta antara Norman dan Abby ketika itu, kongsi Norman “Tengok cerita Pasrah 2 tak? Ending nya kan Erra dan Abby lalu dengan kereta, kan ada macam eye contact dengan adik dia; haa.. Itu yang sambung lepas tu,” ulasnya sambil tertawa selamba terkenangkan adegan itu.

Kredit Foto: Astro Prima

‘Anak Norman Terima Memey’
Selepas bingkai artikel terbitan 2010 ini bertukar tangan, secara spontan Norman berkata “Ini bawa jalan-jalan dekat Kuantan. Antara langkah pertama yang membawa ke 10,000 langkah seterusnya”. Ulasnya lagi. Bagi Norman anak-anaknya ketika itu masih kecil dan mudah mesra juga menerima sesiapa jua yang berada di sekeliling. “Masa ni belum berbaik-baik lagi. Ini fasa tengah berusaha ke arah itu.” Hurainya lanjut ketika throwback waktu memperkenalkan Memey kepada anak-anaknya.

Penuh warna-warni, momen suka duka, jatuh bangun dan banyak lagi dipotretkan dalam Media Hiburan. Bagi Norman majalah ini antara platform yang mendewasakannya malah secara tidak langsung Media Hiburan Throwback membuatkannya insaf, tahu dimana detik mulanya dalam industri dan kekal relevan hingga hari ini.
Kredit Foto: Astro Prima