Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Sama-Sama DITIDURKAN, Sama-Sama Pergi Menemui Illahi, Tinggallah Si Anak Berusia Dua Tahun Yatim Piatu

Afiza Kamarulzaman
14/08/2021 04:21 MYT
‘Covid is real’. Inilah yang selalu kita laungkan, namun berapa ramai lagi antara kita yang masih berasakan virus ini seperti tiada apa. Ramai berasa kebal dan ‘sombong’ dengan mengenepikan SOP dan tidak mahu mengambil vaksin.


Sudah berapa banyak nyawa terkorban akibatnya. Berapa ramai anak-anak kehilangan Mak Ayah? Isteri kematian suami, suami ketiadaan isteri, mak ayah kerinduan kepada anak-anak. Adakah ini belum cukup membuka mata kita?


Ini antara salah satu cerita korban akibat Covid-19 daripada ribuan cerita lain yang tak didendangkan. InTren sempat menghubungi sahabat kepada Allahyarhamah Nur Liyana, Shakinah.




Kredit Foto: FB Shakinah




Kredit Foto: FB Shakinah



“Saya tidaklah terlalu rapat dengan arwah, cuma selalu berjumpa dengannya di salun milik arwah kerana saya pelanggan tetap di situ. Selebihnya, kami banyak berhubung di media sosial. Dari awal diberitahu yang mereka sekeluarga dijangkit Covid-19 daripada adiknya, saya sentiasa mengikut perkembangannya,” cerita Shakinah yang menganggap arwah seorang yang peramah dan melayan pelanggan seperti keluarga.


“Adik arwah juga mendapat jangkitan di tempat kerja. Kemudian saya dapat tahu arwah dan suaminya akan ditidurkan. Arwah sempat memuatnaik satu post di Facebook sebelum ditidurkan. Arwah minta didoakan dan mohon maaf kepada semua. Saya sempat tinggalkan komen tapi sudah tidak dibalasnya,” tambah Shakinah.


Kira-kira empat hari selepas pasangan suami isteri itu ditidurkan, Shakinah mendapat tahu yang suaminya akhirnya tewas dan menghembuskan nafas terakhir.


“Allahu, saya tergamam. Saya ingat lagi saya cakap kepada suami, macam manalah perasaan Nur Liyana nanti sebaik bangun apabila mendapat tahu suami dah tak ada? Esoknya, saya terima pula perkhabaran yang Nur Liyana pula menyusuli pemergian suaminya. Allahuakbar, akhirnya mereka berdua sama-sama ke negeri abadi...”




Kredit Foto: Facebook


Allahyarham Shamsari dan Allyarhamah Nur Liyana meninggalkan seorang cahayamata perempuan berusia dua tahun yang kini berada di bawah jagaan ibu Nur Liyana dan adik-beradiknya.


“Saya ada menghubungi adik arwah. Alhamdulillah, Naura berada dalam keadaan baik walaupun sesekali ada juga meragam bertanyakan ibu dan ayahnya. Sebenarnya, sudah lama mereka berdua tunggu kelahiran zuriat. Arwah pernah tanya tentang anak saya, dan dia cakap ‘seronoknya ada anak’. Tak sangka pula, selepas dua tahun dipinjamkan anak ini, mereka pula meninggalkan Naura. Innalillah wainnalillahirojiun...” ujarnya sebak.


Sama-sama kita doakan pasangan ini ditempatkan bersama mereka yang soleh dan solehah. Dan, para waris terutamanya adik Naura diberi kekuatan dan kemudahan menghadapi hari-hari tanpa arwah. Salam takziah.


Al-Fatihah.









#Kematian #Korban Covid-19 #Ditidurkan
;