Sambut BIRTHDAY Ke 63, Isteri Kongsi Rahsia Awet Muda Amy Search – “Abang Tak Makan Yang Pelik-Pelik.”
Afiza Kamarulzaman
28/07/2021 13:36 MYT
28/07/2021 13:36 MYT
Selamat ulang tahun ke-63 diucapkan kepada Amy Search. Enam puluh tiga tahun? Sesiapa pun pasti tak sangka jika dilihat pada susuk luarannya. Ternyata, dia dianugerahkan kesihatan yang baik dan penampilan hebat walau sudah berada di usia emas.
InTrend sempat mewawancara isteri lagenda ini, Nourish untuk berkongsi apakah rahsia amalan kehidupan figura bernama Suhaimi bin Abdul Rahman? Siapa lagi yang layak untuk ditanya jika bukan insan yang paling rapat sebumbung sekatil, yakni suri hatinya.
“Abang seorang yang simple, mudah dijaga. Begitu jugalah bab pemakanannya. Dia seorang pemakan nasi. Apa lagi dia orang Johor, jadinya dapat nasi berlaukkan asam pedas, sayur dan telur masin sudah memadai, seminggu lauk tu pun tak apa. Hahaha... Seleranya seperti orang tua dulu. Makan yang asas saja, abang tak suka makanan pelik-pelik macam burger dan lain-lainnya,” ujar Nourish membuka rahsia Amy.
Tambahnya lagi, Amy pentingkan keseimbangan dalam hidupnya, makannya tidak berlebih-lebih. Kadang-kadang makanan berat sehari sekali saja. Jika melayan selera pun, cukup dengan kuih-muih atau biskut sebagai snek ketika menonton televisyen tapi jika mengadap makanan utama, dia tidak suka bercampur makanan yang berjenis-jenis.
Bercakap soal rutin hariannya, kongsi Nourish, setiap pagi, Amy akan minum dua gelas air sejuk. Ia diamalkan sejak beliau muda lagi. Adalah juga beliau ambil suplemen seperti Vitamin C dan lain-lainnya sebagai makanan tambahan.
“Daripada segi senaman, abang ada juga melakukannya dua ke tiga kali seminggu tapi apa yang saya lihat abang seorang yang aktif. Dia tak boleh duduk diam, ada saja benda yang nak dibuatnya seperti bertukang, berkemas, berkebun, malah laundry pun dia suka nak buat. Pendek kata, sentiasa cergaskan diri. Mungkin itulah tips dia kekal bertenaga,” tambah Nourish.
Nourish tidak menolak faktor genetik juga turut menyumbang pada bentuk fizikal Amy yang kekal kurus dan ‘kecil’ itu. “Dia ikut genetik ibunya yang memang kecil dan kurus saja. Makanlah banyak mana pun, tetap berat tak naik.”
Saya turut memuji kulit wajah abang Amy yang kelihatan masih cekang, mulus dan kurang kedutan, apa rahsianya? Jawab Nourish, “abang pakai apa saja skin care yang saya pakai. Tiada specific untuknya. Alhamdulillah, mungkin kerana abang mempunyai kulit yang mudah dijaga, jadi dengan penjagaan biasa pun sudah membantu.”
Pada usia emas ini, Nourish juga bersyukur suaminya tidak mempunyai sebarang penyakit. Setakat demam pening itu biasalah. “Saya mendoakan semoga Abang sentiasa dilindungi dan berada di bawah rahmat Nya.”