“Sapa Ada Mak Lagi Syukurlah Walaupun Tak Boleh Balik,” – Nourul Nangis Sambil Buat Kuih Teringat Arwah Mak.

Afiza Kamarulzaman
Mei 23, 2020 02:01 MYT
Pada perkongsian Nourul atau Nurul Wahab beberapa hari lalu di akaun Instagramnya, dia berkongsi kesedihannya mengenangkan arwah Mak yang sudah pergi menyahut panggilan Illahi. Ketika sibuk membuat biskut Peanut Butter, Nourul tidak dapat menahan sebaknya apabila terkenangkan memori kala bersama arwah Mak menjelang Lebaran ketika arwah masih hidup. Biskut tersebut antara yang mesti mereka dua beranak sediakan pada Hari Raya.
Nourul berkata untuk posting tersebut, dia tidak mampu untuk merakamkan video kerana pasti akan menangis nanti. Jadi, hanya sekeping gambar itu dimuatnaiknya.
Sebaik Mana Mak Mentua Tetap Tak Sama
Sesesiapa yang rajin follow Nourul di Instagramnya pasti tahu yang dia mempunyai hubungan yang sangat baik dengan ibu bapa mentuanya. Mereka kelihatan sangat mesra dan boleh tinggal bersama. Walaupun ibu mentuanya sangat baik, namun kata Nourul ia tetap tidak sama dengan ibu sendiri. Maklumlah, kita lahir dari rahimnya dan membesar daripada tapak tangannya, pastilah tiada siapa mampu menandingi kasih-sayang itu.
Nourul anak ke empat. Ibu Nourul yang bernama Salmah itu seorang misi dan disifatkannya sebagai seorang yang sangat hebat, suka membantu orang, penyabar dan baik hati.
Tak Dapat Balik Tahun Ini, Insya Allah Tahun Depan Ada Lagi
Seperti yang berlaku kepada kebanyakan perantau tahun ini, ramai yang tidak dapat merentas negeri untuk pulang berhari raya bersama ibu ayah dan keluarga. Nourul menitipkan nasihat agar kekal bertenang dan sabar kerana sesungguhnya ini hanyalah sebahagian daripada ujian kecil. Tidak dapat balik tahun ini tapi masih boleh buat video call, telefon dan mendengar suara mak ayah.
Bagi mereka yang sudah terpisah dari dua alam berbeza, lagi meruntun hati, saban tahun tidak mungkin dapat meraikannya bersama lagi. Jadi, jangan dustai nikmat yang masih Tuhan kurniakan itu. Nourulmohon semua pengikutnya berdoa banyak-banyak agar wabak Covid-19 ini segera dapat ditumpaskan dan kita boleh kembali kepada kehidupan seperti biasa.
Al-Fatihah buat kedua orang tua Nourul dan juga semua yang telah kehilangan orang tua mereka. Semoga kita bertemu mereka di syurga nanti. Amin. Selamat Hari Raya.
#Nurul Wahab #Ibu #Nourul Depp