Highlights
“Saya Cuma Pembasmi Virus. Doktor dan Nurse Jauh Lebih Berjasa.” – Daniel Segan Diangkat Sebagai FRONTLINER.
Daniel Shaffiq Zainuri tidak sangka daripada kerjaya sebagai pembantu teknikal syarikat penghawa dingin, dia terpilih untuk menyertai skuad pembasmi virus Covid-19. Kebetulan syarikatnya mendapat kontrak tersebut dan pada ketika dia direhatkan daripada tugasan asal, Daniel terfikir mengapa tidak dia menyertai projek ini? Daniel tanpa berfikir panjang, terus menerima tawaran tersebut.
Ia bukan lagi tentang gaji atau upah, tetapi lebih kepada rasa tanggungjawab untuk menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat dan negara. Kalau semua menolak dan menarik diri, siapa pula yang mahu ke depan untuk melakukan kerja-kerja ini? Pada usia dan tenaga yang masih muda, Daniel berasakan inilah peluang keemasan yang mungkin akan menjadi sejarah paling berharga sepanjang hidupnya nanti.
Bila memulakan pekerjaan memasmi virus tersebut?
Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan Perdana Menteri, memang syarikat tidak membenarkan kami bekerja lagi. Jadi, saya tidak buat apalah di rumah. Tidak lama selepas itu, bos Locus Inspire Sdn. Bhd. menghubungi saya menawarkan jika saya beminat untuk menyertai skuad pembasmi virus Covid-19. Pastinya saya bersetuju. Pada 6 April kami memulakan projek ini.
Di mana kawasan yang sudah Daniel ‘jelajahi’?
Kami beroperasi di ibu kota. Antara tempat yang sudah dibasmi ialah PPR Salak Selatan, PPR Kampung Limau, PPR Perkasa dan beberapa kawasan awam seperti masjid.
Apa kata keluarga ketika Daniel memberitahu mahu mengikuti projek ini?
Ibu dan Ayah pastilah susah hati pada mulanya. Apatah lagi, ini adalah kejutan pertama kepada kita, rakyat Malaysia terhadap wabak Covid-19 dan kita tahu betapa bahayanya virus ini terhadap nyawa manusia. Sebolehnya semua orang mahu duduk di rumah dan mengelakkan diri terdedah kepada virus ini, tapi saya pula sebaliknya, lagi mencari virus Corona, hahaha.. Tentulah mereka risau. Namun, setelah saya terangkan dengan baik, Alhamdulillah mereka restui. Setiap hari sebelum dan selepas memulakan tugasan, saya akan menghubungi mereka untuk membuat laporan, hehehe.. Sekarang ini, mereka pula yang excited, setiap hari bertanyakan perkembangan terkini Covid-19.
Bagaimana dengan jadual tugasan setiap hari?
Kerja membasmi virus ini kami lakukan sekali sehari sahaja. Dari jam sembilan pagi hingga dua petang. Kemudian, boleh balik berehat.
Bagaimana prosedur melakukannya?
Kami melalui SOP yang ketat bagi memastikan keselamatan pekerja terjamin. Semua pekerja diwajibkan memakai PPE yang telah diluluskan sepanjang melakukan kerja-kerja pembersihan. Memang agak panas dan merimaskan uniform tersebut tetapi ia tidak boleh ditanggalkan selagi kerja belum habis. Usai tugasan, kami akan berkumpul di satu tempat untuk seluruh badan kami pula disembur pencuci kuman. Dan, PPE ini akan ditanggalkan dengan berhati-hati sebelum kami mandi dan membersihkan diri.
Tidakkah bersarang perasaan takut sepanjang melaksanakan tugasan tersebut?
Takut itu pastinya ada. Namun, anggap sahajalah ini amanah dan tanggungjawab murni yang tidak semua orang berpeluang menikmatinya. Jadi, takut itu akan bertukar menjadi perasaan teruja dan mahu cepat-cepat menyelesaikannya. Sebelum memulakan kerja, saya akan memanjatkan doa kepada Allah semoga dilindungi daripada sebarang bahaya dan penyakit. Saya juga mohon kepada Ayah dan Ibu untuk doakan saya setiap hari. Apa lagi daya kita sebagai manusia biasa, kan? Tawakal sahajalah setelah semua langkah keselamatan sudah kita ikuti dengan sempurna. Bahaya ada di mana-mana.
Apa perasaan Daniel selepas selesai menyiapkan tugasan?
Sangat puas hati. Gembira apabila dapat melihat orang lain berasa selamat kembali untuk menginap di tempat yang sudah dibasmi virus tersebut. Saya dan pasukan amat berbangga dapat menyalurkan walau sekelumit budi kepada negara. Ia mungkin tidak sebesar pengorbanan seorang doktor atau jururawat yang merawat pesakit Covid-19, namun ia adalah kenangan paling berharga untuk kami sepanjang hayat. Setidak-tidaknya nanti, kami akan ada satu cerita menarik untuk kami turunkan kepada anak cucu kami. Buat rakyat Malaysia, teruskan perjuangan kita untuk menentang Covid-19. Kita mesti dan akan menang, Insya-Allah.