gaya hidup
“Saya Tahu Dia Masih Bertanggungjawab Ke Atas Emaknya, Tapi Takkanlah…” – Dilema Bersuamikan ‘Anak Emak’
Perkahwinan tak menjanjikan kebahagiaan berterusan dan berpanjangan dari detik mula ijab kabul dilafazkan hingga hujung nyawa yang memisahkan. Tetapi ia perlu melalui pelbagai fasa dan warna. Ada masa susah, ada waktu senang, ada ketika bertengkar, ada masa bermanja dan banyak lagi ragam juga fiil yang menghidupkan sesuatu rumahtangga.
Kredit Foto: Google
Tetapi dalam menempuhi pelbagai liku dan warna ini, kesabaran, toleransi, persefahaman dan komunikasi perlu menjadi pegangan antara suami isteri. Kedua-duanya perlu memainkan peranan. Bagaikan mengayuh basikal, perlu seimbang dan tidak boleh berat sebelah hinggalah sampai ke destinasi yang ingin dituju. Waima dalam apa jua perkara sekalipun, tidak boleh membelakangi keluarga hanya kerana menurut kata isteri semata-mata. Dan tidak juga sentiasa menyebelahi keluarga walau hakikatnya ahli keluarga sendiri yang memulakan onar dalam hubungan anda dan pasangan.
Benar, syurga lelaki pada perempuan iaitu ibu. Manakala syurga perempuan pada lelaki iaitu suami. Dan sehebat-hebat susuk suami, dia tetap perlu patuh pada ibu. Juga, sehebat-hebat ibu dia juga perlu patuh kepada suami. Pokok pangkalnya antara suami isteri perlu faham dan jelas dalam soal ini.
Tanggungjawab Anak Terhadap Ibu Bapa
Tanggungjawab terhadap ibu bapa merupakan satu kewajipan yang utama dan termasuk dalam perintah berlaku ihsan pada kedua ibu bapa yang dituntut dalam agama.Berlaku ihsan pada ibu bapa ini pula meliputi ketaatan kepada perintah kedua ibu bapa kita, menyantuni dan melayan keduanya dengan baik dan menggembirakan hati mereka. Malah menjaga dan memberi nafkah bagi menampung keperluan hidup mereka juga termasuk dalam erti kata berlaku ihsan kepada kedua ibu bapa. Dalam hal mentaati ibu pula, diberikan penekanan yang sangat jelas oleh Rasulullah s.a.w. dalam menunjukkan betapa kedudukan ibu itu sangat tinggi dalam agama. Ini dapat dilihat melalui sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.:
“Seseorang datang kepada Rasulullah s.a.w. dan berkata: “Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti?” Nabi s.a.w. menjawab: “Ibumu!” Dan orang tersebut kembali bertanya: “Kemudian siapa lagi?” Nabi s.a.w. menjawab: “Ibumu!” Orang tersebut bertanya kembali: “Kemudian siapa lagi?” Beliau menjawab, ‘Ibumu.’ Orang tersebut bertanya kembali: “Kemudian siapa lagi.” Nabi s.a.w. menjawab: ‘Kemudian ayahmu.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Kredit Foto: Google
Antara Ibu Dan Isteri, Mana Lebih Utama?
Namun suka diingatkan, bahawa tanggungjawab seorang anak lelaki terhadap kedua ibu bapanya juga tidak akan berakhir walaupun dirinya telah berkahwin. Cuma berbeza dengan ketika sebelum bernikah, keutamaan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab barunya sebagai seorang suami dan bapa.
Kegagalan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa kerana lantaran terlalu sibuk dengan ibu atau bapa sendiri sehingga mengabaikan keluarga baru iaitu isteri dan anak-anak juga merupakan sesuatu yang dilarang agama.
Untuk menilai keutamaan antara ibu atau dan keluarga sendiri bagi mereka yang sudah berumahtangga juga merupakan satu perkara yang subjektif, dan sukar untuk diberikan jawapan yang konsisten kerana ia kembali kepada contoh dan senario yang tertentu, yakni lain keadaan dan masa, lain pula keutamaannya.
Kredit Foto: Google
Dalam isu hubungan antara suami bersama isteri dan ibu atau bapa, banyak keadaan di mana si suami kadangkala terhimpit di tengah-tengah, iaitu antara mengikut kata ibu atau isteri. Atas sebab itu, penting bagi seorang suami mempunyai kepimpinan yang tinggi dan berani membuat keputusan yang tepat, walaupun kadangkala menyinggung hati isteri ataupun ibu, jika itulah yang terbaik di sisi agama.
Situasi 1:
“Kau tak payahlah pindah Man. Duduk aje dengan mak, ayah. Lagipun bukannya ada siapa tinggal sini. Kak Long, Angah kau pun hujung minggu baru datang,” pinta si emak dengan nada memujuk. Wani pula sudah menendang-nendang kaki suaminya tanda tidak setuju.
Dalam soal ini, menjadi tanggungjawab bagi suami menyediakan tempat tinggal yang selesa buat isterinya. Tempat yang mana si isteri boleh bebas melakukan apa sahaja mengikut kemahuannya. Tak perlu sentiasa menutup aurat, menjaga itu dan ini. Bahkan digalakkan untuk suami isteri tinggal berasingan supaya dapat merasai dan mempelajari bagaimana sukar atau senangnya memulakan fasa baru dalam hidup bergelar suami isteri. Terangkan dengan baik kepada ibu bapa, pasti mereka dapat memahaminya tanpa ada yang bermasam muka.
Kredit Foto: Google
Situasi 2:
“Asyik awak aje yang sibuk nak jaga emak. Kak Lin, Kak Ina, Kak Ayu tak ambil peduli langsung pasal emak. Saya perati aje perangai diaorang. Ini tak, semuanya atas bahu kita. Pampers, susu, ubat, follow up doktor semua kita yang tanggung. Diaorang tahu datang sini jenguk kejap, makan, lepas tu balik. Tak adalah nak bawa emak tinggal sekali ke apa ke. Hulur duit pun tak. Saya pun ada emak juga yang nak kena ziarah walaupun emak saya tak sakit.” Puas rasanya Ruby dapat meluahkan apa yang terpendam selama ini. Halim pula diam seribu bahasa. Tersepit dan terhimpit, itu yang membelenggu dirinya. Walau pedih telinga mendengar, tapi itulah realitinya. Kakak-kakak tak beri kerjasama. Hanya kerana dia dilabel sebagai ‘anak emak’ tanpa disedari mereka ambil kesempatan ke atasnya. Dan yang makan hati, Ruby. Buatlah semua kerja walau terkejar-kejar nak uruskan rumahtangga dengan ibu mentua yang terlantar sakit.
Benar dalam keadaan ini, wajib si anak memberi keutamaan kepada orang tua dan tinggal bersama mereka atau membawa mereka tinggal bersama isteri dan anak-anak, walaupun keputusannya ini mendapat bangkangan keras dari si isteri. Ini kerana menurut hak isteri dalam situasi ini adalah amat tidak wajar, malah isteri perlu menunjukkan keihsanan terhadap mertuanya kerana keadaan yang sudah disebutkan tadi.
Kredit Foto: Google
Ingatlah, kegagalan berbakti kepada ibu bapa dalam senario ini boleh mengakibatkan kita sukar untuk sampai ke pintu syurga, sebagaimana yang disebutkan hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
“Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: “Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya telah tua, namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).” (Riwayat Imam Muslim)
Sedangkan jika si suami mengikut alasan isteri, maka dalam jangka panjang hubungan isteri dan anak lelaki bersama si ibu boleh menjadi keruh, dan tidak mustahil ini boleh menjejaskan perkahwinan mereka berdua kelak dalam jangka masa panjang.
Ingatlah, bagi setiap keadaan dan situasi mempunyai keutamaan yang berbeza-beza. Setiap keputusan pula perlulah objektif dan berlandaskan perintah agama secara menyeluruh. Jika ini dapat dilakukan, Inshaallah selaku anak dan suami, mereka bakal mendapatkan penghormatan dari ibu dan isteri. Ibu dan isteri pastinya tidak selalu setuju dengan keputusan anak lelaki atau suami, tetapi jika keputusan kita adalah jelas dan melihat kepada kesan jangka panjang bagi keluarga dan menurut ruh ajaran Islam, maka lambat laun sesudah keadaan menjadi tenang, keduanya akan dapat memahami rasional di sebalik keutamaan dan keputusan yang dilakukan.
Sumber: www.islamituindah.us
Must-Watch Video