Highlights

“Saya Tak Pernah Mekap,” – PAVITHRA. Jurusolek Kongsi Momen Mekap Isteri SUGU; Fotogenik dan Lembut Orangnya!

gempak
Afiza Kamarulzaman
22/06/2020
15:04 MYT
Sponsor Banner
“Saya Tak Pernah Mekap,” – PAVITHRA. Jurusolek Kongsi Momen Mekap Isteri SUGU; Fotogenik dan Lembut Orangnya!
“Oh, ini macam make over ya?” Begitu kata Pavithra sebaik penata rias menyerahkan baju untuk beliau gayakan di satu penggambaran portal digital baru-baru ini. InTrend berkesempatan menemu bual jurusolek yang ditugaskan untuk ‘mencantikkan’ Youtuber popular itu tentang pengalaman beliau menata rias isteri kesayangan Sugu itu. Walaupun diberi masa yang sangat singkat, ternyata ia antara pengalaman berharga buat jurusolek berbakat besar, Razzi Musa.
Kredit Foto: Razzi Musa
Sebelum tu, nak tanya, sempat tak makan masakan Pavithra?
Hahaha.. Mereka ada bertanya kami sudah makan ke belum kerana kami sampai awal pagi itu. Kebetulan, memang kami sudah siap bersarapan sebelum sampai ke rumah mereka. Dan, kami pun bawakan nasi lemak juga untuk dimakan bersama. Jadi, tidak merasalah air tangan beliau.
Kalau boleh Razzi kongsikan pengalaman pertama kali mendapat tawaran menyolekkan Pavithra?
Sebenarnya, saya sudah kenal siapa Sugu Pavithra ini sebelum mereka viral lagi yakni sebelum bermulanya musim PKP. Saya pun suka memasak jadi Youtube mereka antara yang selalu juga saya tontoni. Dan, apabila team shooting mengusulkan saya untuk tugasan memekapkan Pavithra, saya terus saja bersetuju tanpa bertanyakan tarikh dan bayaran. Saya memang teringin benar melihat dia in person. Saya pun terkejut juga apabila dia bersetuju untuk melakukan penggambaran ini kerana seperti yang kita tahu mereka agak keberatan untuk tampil di mana-mana media. Nak dijadikan cerita, rupanya shooting ini diadakan di rumah Pavithra sendiri di Perak kerana beliau agak keberatan untuk keluar jauh dek kengkangan masa dan tiada siapa boleh tengokkan anak.
Jadi, setelah bersua, bagaimana persepsi Razzi terhadap pasangan ini?
Bagi saya, mereka pasangan yang sangat polos. Sugu pada mulanya agak keberatan juga untuk mengizinkan isterinya difotografikan, tapi mungkin kerana sudah berjanji dan boleh lihat sendiri Pavithra agak teruja juga untuk photoshoot ini, jadi Sugu memberi lampu hijau. Mungkin mereka masih tidak biasa dengan situasi shooting dan berjumpa dengan ramai orang, jadi mereka agak berhati-hati dengan setiap yang dilakukan. Kami faham dan hormati pendirian mereka.
Kredit Foto: Razzi Musa
Apakah konsep solekan Razzi pada hari itu?
Seperti yang dibincangkan oleh team, mereka tidak mahu ‘over do’. Dan, saya sendiri memang mahu menonjolkan Pavithra dalam personaliti diri dia sendiri, dia semula jadinya mempunyai raut wajah manis yang disenangi sesiapa sahaja yang melihat. Saya mahukan kulit aslinya itu. Tapi, dalam masa yang sama, mesti ada satu sentuhan segar dan suntikan moden pada air mukanya itu. Awalnya, kami mahu shoot di estet untuk memaparkan beliau dalam gaya hidup sebenarnya tapi ada kesulitan di situ. Maka, kami tukar plan shoot di rumahnya saja dan di padang depan rumah.
Bagaimana kondisi kulit beliau? Mudah tak tugasan menyolekkannya?
Pavithra mempunyai kulit yang agak kering tetapi tona kulitnya sekata. Jadi, ia agak mudah untuk disempurnakan. Kekeringan itu boleh diatasi dengan menyapukan pelembap yang extra moist. Saya boleh katakan dia mempunyai kulit yang cantik jadi, saya tidak menggunakan tempekan bedak yang tebal. Solekan saya lebih kepada healthy skin dengan percikan glowing, itu yang penting buat dia nampak segar dan ‘sesuatu’ dari kebiasaan kita melihat gayanya yang simple di dapur.
Kredit Foto: Razzi Musa
Apa yang paling mencabar mengemudi tugasan ini?
Kami hanya mempunyai masa empat jam saja untuk selesaikan semuanya kerana menurut Sugu mereka ada tetamu selepas itu. Kalau ikut dalam kepala, banyak benda yang ingin saya karyakan hari itu tetapi kita harus bersikap profesional dengan menghormati masa yang diberikan klien. Jadi, apa yang mampu saja saya berikan. Selepas clean look itu, saya tambahkan sedikit calitan eyeliner tebal untuk lebih dramatik bagi baju seterusnya. Hanya itu yang sempat. Walaupun subjek kami hanyalah seorang Pavithra tapi cabarannya bagaikan shoot untuk backstage kerana ada lima baju untuk digayakan dan sepatutnya setiap baju perlu ubah mekap. Namun, kita perlu ada plan B apabila masa yang diberikan memang sangat limited.
Setelah beberapa jam bersama Pavithra, apa pandangan peribadi Razzi terhadap beliau?
Apa yang boleh saya katakan, beliau seorang yang cepat belajar. Dia mudah untuk tangkap apa yang berlaku di sekelilingnya. Walaupun, masa terhad tapi dibantu oleh gaya pose yang bersahaja ketika shooting, mudah saja dapat apa yang dimahukan. Saya suka gaya effortless yang diberikannya. Awalnya, beliau ada memberitahu yang inilah pertama kali dia dimekapkan oleh jurusolek. Ketika kahwin dulu pun, hanya kawan yang tolong mekapkan. Nampaklah keterujaannya setelah siap dirias.
Dan, dari sisi seorang isteri, beliau sangat patuh kepada suaminya dan ibu yang sentiasa mendulukan anak-anak. Kalau waktu makan, Pavithra akan menemani anak-anak makan sehingga selesai, barulah dia uruskan kerja lainnya. Bagi saya, Pavithra cantik luar dan dalam. Tutur katanya juga sangat lembut seperti yang kita tonton di videonya. Itulah dia. Sepanjang penggambaran itu pun, suaminya juga sentiasa ada bersama memastikan isterinya okey. Ada juga dia membantu terutamanya apabila perlu perkemaskan baju Pavithra dan sebagainya. Sugu sangat menjaga isterinya. Mereka pasangan yang saling melengkapi. Kesimpulannya, dunia glamor bukanlah sesuatu yang mereka dambakan, mereka hanya berkongsi kelebihan yang mereka ada dengan cara mereka sendiri, yang akhirnya memberikan mereka rezeki yang tak disangka-sangka.
Kredit Foto: Razzi Musa
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live