Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Sebelum Sibuk Tolong Orang Lain, Tengok Adik-Beradik Kita Dahulu. Ada Masalahkah, Susah Atau Senangkah?

Huda Hussain
13/08/2020 07:56 MYT
Bukan tak pernah berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Sebaliknya ada yang beranggapan ‘nama saja ada adik-beradik’ tapi… Allahu, pertalian dan ikatan yang takkan putus waima dicincang air ini amat penting untuk dipelihara. Walau susah mana sekalipun, jangan sekali-kali abaikan keluarga.


Bagi segelintir daripada kita, tidak dinafikan ada yang lebih mendahulukan kawan-kawan daripada ahli keluarga sendiri. Puncanya pula mungkin dipengaruhi pelbagai faktor. Antaranya hubungan sesama adik-beradik itu sendiri yang renggang sejak kecil. Apabila semakin meningkat dewasa dan mula mengenal dunia mulalah membawa haluan sendiri. Tidak kurang juga ada yang berlaku kerana pertelingkahan atau perselisihan faham. Akibat amarah ataupun dendam terbawa-bawa hingga dewasa bahkan mungkin seiring dengan peningkatan usia.


Kredit Foto: Google

Adik-Beradik Tak Memahami
Apabila mengganggap kawan yang lebih memahami daripada adik-beradik sendiri, berilah apa jua hujah sekalipun tetap kawan yang dicari. Bukankah membelakangi keluarga itu satu perbuatan yang tidak wajar dilakukan? Ya, dalam hidup ini kita saling memerlukan antara satu sama lain. Ada masanya kita perlukan bantuan kawan-kawan. Tetapi dalam masa sama, ada juga dalam kalangan adik-beradik kita memerlukan pertolongan kita. Takkanlah pula tidak boleh membandingkan mana satu yang lebih utama, antara kawan dan adik-beradik kandung sendiri?


Tidak dinafikan, bagi sesetengah orang lebih senang meluahkan perasaan dan berkongsi cerita dengan kawan masing-masing. Mungkin itu pendirian dan pendekatan tersendiri. Tetapi, janganlah pula mengabaikan tanggungjawab terhadap ahli keluarga sendiri. Sekali-sekala tanyalah khabar. Tak perlu bersusah-payah ke rumah mereka andai itu disifatkan sebagai sesuatu yang berat. Cukup sekadar menelefon atau mengirimkan pesanan melalui Whats App dan lain-lain.

Kredit Foto: Google

Tengok Di Media Sosial, Bukan Main Lagi…
Bayangkan bagaimana luluhnya hati apabila melihat Instagram atau Facebook kakak, abang atau adik kita lebih mengutamakan orang luar daripada adik-beradik sendiri. Outing dengan kawan, bercuti dengan kawan, berkelah dengan kawan. Pendek kata semuanya dengan kawan. Hinggakan ada yang sanggup bersusah-payah malah orang luar yang tiada pertalian darah itu dianggapnya seperti adik-beradik sendiri. Sedangkan adik-beradik sendiri makan hati. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah kehilangan kedua ibu ayah. Pastilah terasa. Dan lama-kelamaan hubungan adik-beradik kian menjauh dan sukar untuk kembali rapat dan bertaut erat. Sayang kan? Tidak kurang juga ada yang sering melontarkan kata-kata seperti “Kau masa senang kawan-kawan yang kau cari. Kalau kau sakit, susah apa ke; ada kawan kau yang datang tolong? Adik-beradik sendiri yang datang dulu”.

Kredit Foto: Google

Berkawan Biarlah Berpada
Sungguh, dalam menjalani kehidupan sebagai manusia memang kita perlu dikelilingi pelbagai orang. Ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara, kawan-kawan, jiran tetangga, rakan sepejabat dan ramai lagi. Kerana kita saling memerlukan antara satu sama lain. Tetapi dalam pada kita berkawan itu, beringatlah. Ada yang lebih utama perlu didahulukan. Kawan boleh dicari, tetapi adik-beradik… Ia adalah satu anugerah pemberian Allah melalui ibu bapa sebagai perantaranya. Seboleh mungkin peliharalah hubungan dan ikatan yang terbentuk daripada darah daging yang sama ini. Kerana kelak akan ditanya mengenai tanggungjawab kita terhadap adik-beradik kita.
#Adik Beradik #Kekeluargaan
;