Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Sekalipun Anti Vaksin, Janganlah Sampai Mengutuk, Fitnah FRONTLINERS Kita, Sakit-Sakit Nanti Mereka Dicari

Afiza Kamarulzaman
16/08/2021 12:36 MYT
Mereka bekerja, berkhidmat untuk bangsa dan negara. Bukan semua mampu memberi komitmen seperti mereka yang sanggup mengenepikan kepentingan peribadi malah mengurangkan masa bersama keluarga demi tugasan berlebihan.


Kenapa dek fahaman kita pada satu perkara, habis diheret semua yang terlibat? Perihal golongan anti vaksin menghina dan mengecam barisan hadapan perubatan negara bukan cerita rekaan.


Ada segelintir mereka pula secara lantang dan terang-terangan menulisnya di media sosial dengan pelbagai fitnah dan kata-kata kecaman yang begitu biadap dan tanpa rasa bersalah.


Hal ini diakui sendiri oleh beberapa doktor dan jururawat yang berdepan dengan golongan sebegini. Dek menolak vaksin dan berpendapat ia adalah konspirasi semata, mereka turut menerjah warga Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai ‘dalang’, ‘dajal’, bersuhabat dan sebagainya.


Tuduhan ini sangat keterlaluan dan tidak wajar atas apa jua alasan. Ya, kita berhak bersuara tapi kita tidak layak untuk membuat tuduhan tak berasas. Tidak takutkah pada dosa fitnah? Apatah lagi kepada mereka yang berkorban demi keselamatan dan nyawa masyarakat.




Kredit Foto: Google



Seorang doktor berkongsi di Facebooknya telah berdepan dengan ramai orang seperti ini. “Mereka tidak mahu ambil vaksin kerana meraguinya. Mereka jatuh sakit dan dirujuk ke hospital. Didapati positif Covid-19, kemudian terpaksa ditidurkan. Seluruh kakitangan berusaha bertungkus-lumus menyelamatkannya.


Dengan izin Allah beliau sedar selepas beberapa hari koma. Dan, kemudian kami dapat tahu yang dia bukan hanya anti vaksin malah pembenci kakitangan KKM dengan menuduh kami dalang konspirasi vaksin dan makan duit haram!


Apa perasaan anda jika menyelamatkan orang yang selama ini menjadi penghina tegar anda?” luah doktor tersebut yang berharap pesakit-pesakit seperti ini tidak hanya kembali sihat malah dapat muhasabah diri.


Duhai, manusia! Bukalah matamu. Sekali pun tidak mahu menerima vaksin, janganlah jadi pendosa. Kamu mengatakan vaksin punca kerosakan, sedangkan tangan kamu sendiri berbuat kerosakan. Menjadi pencaci, pengecam, pemfitnah kepada mereka yang tidak bersalah.


Kita kena ingat, kita hidup di dunia memerlukan antara satu sama lain. Kita tidak mampu hidup sendiri di dunia ini. Ya, Allah ada. Namun, Allah juga menyalurkan bantuannya melalui hamba-hamba Nya yang lain.


Maka, janganlah kita berlaku sombong, angkuh dan mementingkan diri sendiri. Jangan berasa diri kita sahaja yang betul. Hormati perasaan orang saat tangan menaip sesuatu untuk dikongsi. Hari ini kita mengata orang itu, jangan terkejut esok-esok orang itu menjadi orang yang menyelamatkan kita.


Renung-renungkan. Hidup ini terlalu singkat untuk suka membenci, tuduh-menuduh dan bersangka buruk.








#KKM #Anti Vaksin #Frontliners
;