gaya hidup
Selain GAJI, Dapat Bos Yang Baik, Kawan Sekerja Yang BEST Adalah Rezeki Paling Indah Dalam Bekerja – Betul Tak?
Ada orang ditawarkan gaji yang tinggi tapi tetap berhenti kerja. Apabila ditanya kenapa? Katanya tidak gembira. Dapat bos yang terlalu ‘demand’ dan kawan-kawan sekerja yang tidak boleh bekerjasama.
Ada pula yang gajinya paling minimum tapi bertahan bertahun-tahun lamanya di syarikat yang sama. Apabila ditanya, tak mahukah mencari kerja lain yang lebih besar gainya? Jawabnya, dia sudah selesa di situ. Bos baik, kawan-kawan pun sekepala.
Begitulah ragam apabila bekerja makan gaji. Ada positif dan negatifnya. Ada yang menerima gaji bulanan tinggi tetapi suasana bekerja tidak membantu. Ada pula gajinya rendah tetapi hatinya tenang dan gembira setiap hari ke tempat kerja.
Beruntunglah buat mereka yang memiliki kesemuanya; gaji yang bagus, bos yang baik dan kawan-kawan yang menyenangkan.
Pastikan Kita Tahu Apa Yang Kita Mahu Dalam Bekerja
Itu sajalah kata kuncinya apabila membuat keputusan untuk berkhidmat pada sesebuah syarikat. Tidak semua yang kita jangkakan akan berlaku. Ada yang mampu bertahan lama ada, yang semangat luntur di pertengahan jalan.
Bagi yang mempunyai jodoh yang panjang dengan kerjanya, berasa tenang untuk menuju ke tempat kerja setap hari, alhamdulillah. Itulah rezeki yang harus disyukuri.
Apa pun pilihan kita, tepuk dada tanya kemampuan. Pastikan kamu tahu apa yang kamu mahukan dalam meneruskan kerjaya. Jika semangat sudah luntur dan hasil kerja pun tidak memuaskan, masanya untuk fikirkan sesuatu yang lebih baik.
Namun, jika terfikir untuk meneruskan apa yang sudah dimulakan, carilah jalan untuk berasa gembira dan tidak kusut sepanjang bekerja. Jika mempunyai masalah dengan bos atau rakan sekerja, selesaikan sebaik mungkin.
Pasti tidak seronok, kan kalau bekerja dalam situasi yang bertoksid? Kalau hari-hari kena mengadap bos yang kuku besi atau rakan-rakan yang negatif, pasti kita pun tidak ikhlas mencurah bakti.
Apa pun, walau macam mana besar pun ujian yang didepani dalam menjalankan tugas, pastikan kamu cari keberkatan gaji yang diperoleh. Ini paling penting. Kalau pun, kamu tidak seronok bekerja, jangan pula dilepaskan amarah itu dengan hasil kerja yang menjunam.
Jangan sesekali cemari keberkatan gaji kita dengan melakukan kezaliman ke atas diri sendiri. Ingat inilah rezeki yang akan menjadi darah daging, bukan hanya untuk kita tetapi dibawa pulang buat keluarga juga.
Doa banyak-banyak diberi petunjuk dan jalan yang lurus dalam menentukan pilihan masa depan, okey! Chill, jangan stres-stres.