Ya Allah, ampunilah, rahmatilah, bebaskanlah dan lepaskanlah dia. Dan muliakanlah tempat tinggalnya, luaskanlah jalan masuknya cucilah dia dengan air yang jernih lagi sejuk, dan bersihkanlah dia dari segala kesalahan bagaikan baju putih yang bersih dari kotoran, dan gantilah rumahnya dengan rumah yang lebih baik daripada yang ditinggalkannya, dan keluarga yang lebih baik, dari yang ditinggalkan,. Masukkanlah dia kedalam syurga, dan lindungilah dari siksanya kubur serta fitnahnya dan dari siksa api neraka. Al Fatihah (dibaca) Semoga Allah menempatkan roh-roh Allahyarham, Allayharhamah sesiapa jua yang telah pergi menemui Ilahi mendahului kita diletakkan pada makam yang mulia disisi-Nya. Amin.
Kredit Foto: Huda Hussain
Ini adalah coretan peribadi penulis mengenai susuk wanita bergelar nenek yang kami panggil Mak Tok. Menjadi adat bagi mereka yang berasal dari Utara tanah air, panggilan Mak Tok adalah gelaran bagi nenek. Dan syukur, penulis berkesempatan menumpang kasih dan bermanja dengan arwah Mak Tok sejak lahir hinggalah berusia 23 tahun. Allahu, saat terkenang kembali memori dan momen istimewa ini terasa bertuah mempunyai nenek sepertinya.
Menarik Dan Istimewanya Arwah Mak Tok
Penulis percaya, setiap daripada anda yang pernah membesar, diasuh dengan penuh kasih sayang seorang nenek pasti menyimpan kenangan dan momen tersendiri bersama mereka bukan? Begitu dengan Mak Tok. Berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang; Hjh Salasiah Saad mempunyai kelaziman tersendiri menyambut bulan puasa dan membuat persiapan menjelang Hari Raya.
Kredit Foto: Google
Persiapan arwah Mak Tok sepanjang Ramadan memang meriah. Selain meluangkan waktu mengaji Al-Quran pada waktu pagi setiap hari, arwah memang gemar memasak sendiri kuih-muih. Semuanya dimasak menggunakan pelengat (Loyang, acuan) besar untuk diberi kepada jiran tetangga, anak-anak dan cucu-cicit. Antara kuih-muih yang sering dimasak adalah agar-agar merah, seri muka, tepung talam, kaswi, karipap dan banyak lagi. Mak Tok akan mula menyediakan kuih selepas solat Zohor.
Dalam pada itu, menjadi rutinnya juga untuk berpuasa dan bersahur di setiap rumah anak-anaknya. Memandangkan semua anak-anak tinggal berhampiran (bandar yang sama) maka ia sama sekali tidak menjadi isu besar untuk Mak Tok meluangkan masa bersama anak, menantu dan cucu-cucu seadilnya.
Menjelang Hari Raya Dan Selepas Raya
Kredit Foto: Google
- Juadah Istimewa Hari Raya
Sewaktu masih tinggal di Kg Potong Pinang dahulu; Mak Tok akan menjemur tepung dan kacang untuk dibuat rempeyek. Juga, dia akan memasak lemang lopeh yang dikukus lembut. Selain itu, ketika kudratnya masih ada; Mak Tok memasak sendiri dodol, halwa maskat dan pulut kacau (wajik). Manakala anak-anak perempuannya akan memasak kuih bahulu. Bukan mudah sebenarnya mahu memasak juadah ini. Mana lagi kaedah dan teknik memasak yang memakan masa, menuntut kesabaran dan kerajinan tetapi itu semua dilakukan demi kepuasannya untuk memasak. Puas baginya apabila dapat memasak sendiri. Dan penulis percaya, perihal yang sama dilakukan nenek dan ibu kita kan?
Kredit Foto: Google
- Telekung, Baju Kurung, Baju Kedah Dan Kain Batik Baharu
Sekitar beberapa minggu sebelum menyambut Hari Raya Aidilftri, arwah Mak Tok akan memastikan kelengkapan ini disiapkan terlebih dahulu. Menjadi rutinnya untuk memastikan ada sepasang telekung baharu untuk dipakai ketika solat sunat Aidifitri. Selain itu, Mak Tok akan meminta pertolongan anak atau cucunya untuk membeli kain ela material kapas untuk dijahit buat baju kedah. Barangkali sehelai atau dua helai, asalkan ia baharu untuk dijadikan baju rayanya. Begitu juga dengan kain batik baharu untuk disuai padankan dengan baju kurung dan baju kedah. Semuanya dijahit menantunya untuk dipakai pada pagi raya.
- Barang Kemas
Jika ada duit lebih, Mak Tok akan membeli seurat dua gelang tangan, rantai tangan atau cincin. Ia dibeli mengikut kemampuan dan bukannya menjadi agenda wajib. Cukup sekadar bertukar barang kemas baharu.
- Cadar Baharu
Di rumah kami tersedia bilik khas untuk Mak Tok. Maka, menjelang Hari Raya Mak Tok akan pastikan ada cadar kain kapas dengan corak petak lengkap sarung bantal baharu dibeli untuk menyuntik dan membangkitkan mood beraya. Walaupun bukan beraya dibilinya, tetapi sedaya mungkin Mak Tok akan pastikan biliknya tetap berseri merai kedatangan Aidilftri. Bertambah semerbak dan harum biliknya dengan kuntuman bunga melur dan daun pandan sekali gus mencetuskan aura cukup mendamaikan. Allahu… Rindunya bau bilik Mak Tok…
Kredit Foto: Google
- Memakai Inai
Tidak lengkap kalau menyambut Hari Raya tanpa inai di sepuluh jarinya. Beberapa hari sebelum 1 Syawal, Mak Tok akan memakai inai. Mungkin baginya ia satu simbolik dan kemeriahan tersendiri apabila memakai inai. Lebih istimewa, inai ditanam dan digiling sendiri. Memang menjadi kepuasan bagi Mak Tok melalukannya semua sendiri.
- Tak Lupa Tunaikan Zakat Fitrah, Sedekah Untuk Masjid
Berbekalkan duit pemberian anak, menantu dan duit-duit raya daripada cucu-cucu selain wang diperoleh hasil bendang yang diusahakan saudaranya, Mak Tok tidak pernah lupa tunaikan kewajipan ini. Setiap tahun sebelum raya, dia bersama cucu akan pergi menziarahi seorang warga emas yang daif, serba kekurangan jika dibandingkan dengan kehidupannya. Walaupun jika diikutkan Mak Tok bukanlah orang berada, tetapi kewajipan ini tidak pernah sekali diabaikannya. Selain itu, Mak Tok akan pastikan hasil duit bendang yang diperolehnya (RM50) disedekahkan ke masjid di kampung juga di masjid taman perumahan kami yang menjadi tempat kediamannya.
Kredit Foto: Huda Hussain
- Bermaafan Di Pagi Raya
Arwah Mak Tok adalah insan yang paling teruja dan gembira setiap kali pagi raya. Semua anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cicit akan berkumpul untuk bersalaman dan bermaafan bersamanya. Sambil menghulur tangan bersalaman, titisan air mata tanda kesyukuran dan simbolik keinsafan mengisi segenap suasana. Menangis kerana bersyukur masih berpeluang menyambut Hari Raya bersama selain menginsafi segala salah dan silap yang sengaja dan tidak sengaja diperlakukan terhadap dirinya. “Mak cheq minta maaf banyak-banyak na. Dari hujung rambut sampai hujung kaki. Halalkan makan minum cheq, yang mana terkasar bahasa cheq minta ampun dan maaf na Mak” begitulah antara butiran permohonan maaf daripada anak-anaknya. Sambil sesekali Mak Tok akan berkata, “Ya, samalah Mak pun” seraya berpelukan dan kucupan diberi. Rindunya momen ini.
Ada keluarga yang datang beraya sebelum solat sunat Hari Raya dan ada yang meluangkan masa bersama setelah selesai menunaikan solat Hari Raya. Dan rumah kami menjadi tumpuan saudara-mara memandangkan arwah Mak Tok memang tinggal bersama sejak berpindah dari Kg Potong Pinang.
- Menziarahi Saudara-Mara Terdekat
Setelah selesai menunaikan puasa sunat enam, arwah Mak Tok akan meluangkan masa menziarahi saudara-mara terdekat. Dan arwah memang menitik beratkan silaturahim sesama ahli keluarga.
Arwah Mak Tok menghembuskan nafas terakhir pada usia 88 tahun tanggal 26 Mac 2007, Isnin sekitar jam 6 pagi selepas Subuh akibat sakit tua. Arwah Mak Tok meninggalkan empat orang anak, 16 cucu dan 12 cicit. Sungguh, walaupun 13 tahun sudah berlalu tetapi kenangan yang kini menjadi memori paling indah bersama Mak Tok sentiasa abadi dalam ingatan kami. Seorang nenek yang cukup istimewa, kaya dengan sifat pemurahnya dan sentiasa dirindui semua yang pernah mengenalinya. Damai dan tenanglah di sana bersama rampaian doa dan sedekah yang telah diniatkan ke atasnya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah Mak Tok, Hjh Salasiah Saad yang sentiasa kami ingati dan rindui. Al Fatihah.
Kredit Foto: Huda Hussain