Rumah adalah pusat kehidupan pertama anak-anak. Di situlah tempat mereka membesar, belajar, mengenali pelbagai benda, berkasih-sayang, bermain dan sebagainya sehinggalah mereka besar panjang. Disebabkan itulah orang selalu kata, keperibadian seseorang itu bermula dari rumah.


Apabila berlaku seesuatu yang tidak baik kepada anak, jangan ditunding jari pada pihak sekolah atau kawan-kawannya, sebaliknya kaji balik di mana silapnya pada diri sendiri sebagai ibu bapa. Apa kurangnya di rumah sendiri sehinggakan ia tidak mampu mengikat anak-anak untuk kekal aman di dalamnya?


Jadi, sebagai ibu dan ayah menjadi tiang seri sesebuah rumah, kendalikan ia sebaik mungkin. Bukan maksudnya, kita perlu membina rumah bak mahligai sehingga di dalamnya dipenuhi perabot mahal-mahal tetapi yang penting bagaimana kita ‘mengimarahkan’ rumah itu. Pengisian dan ‘roh’ di dalam rumah itu yang utama.



Kredit Foto: Google



Bagaimana Menjadikan Rumah ‘Syurga’ Buat Anak?
  • Lengkapkanlah keperluan anak-anak di rumah. Seeloknya, dapatkan setiap anak satu bilik tidur mereka sendiri agar ada ruang privacy setiapnya. Tidak perlu besar, asalkan ada ruang pemisah untuk adik-beradik.
  • Janganlah biarkan rumah sunyi tanpa komunikasi dan perbualan antara isi rumah. Jangan jadikan gajet sebagai jurang antara kalian. Jika tidak dapat selalu, dapat sekali sehari pun memadai untuk berkumpul dan berbual mesra.
  • Jangan jadikan rumah seperti ‘asing’ kepada anak-anak. Biarkan mereka rasa itu rumah mereka. Beri juga peluang untuk anak-anak berkongsi idea menghias atau berbuat sesuatu ke atas rumah itu agar ada rasa ‘kekitaan’ di dalamnya.
  • Solat jemaah, makan bersama dan melakukan hobi bersama antara aktiviti yang sangat baik untuk diamalkan di dalam rumah. Cubalah perlahan-lahan, ia pasti memberi kesan positif.
  • Cukupkan juga makan minum anak-anak supaya mereka tak perlu mencari di luar. Perut yang kenyang pasti membuat anak-anak sejahtera di rumah. Sesekali, masaklah menu yang digemari mereka.
  • Pastikan rumah sentiasa dalam keadaan bersih. Kebersihan itu sebahagian daripada iman.
  • Jadikan rumah sebagai ruang yang sangat peribadi untuk keluarga. Jangan semudahnya membenarkan orang tidak dikenali masuk ke dalamnya dan berbuat sesuka hati. Kita boleh menjemput ahli keluarga dan kenalan ke rumah tetapi pastikan ada batasnya agar anak-anak kekal selesa sepanjang masa.
  • Jangan sesekali benarkan anak-anak biasa tidur di rumah orang kalau bukan dengan alasan munasabah.
  • Jangan bagi anak berasa takut atau rimas ketika berada di rumah lantaran sikap mak ayah yang mungkin baran atau suka bergaduh. Cuba elakkan bertikam lidah di depan anak-anak. Selesaikan baik-baik di bilik sendiri atau di luar rumah sahaja.

Kredit Foto: Google