Highlights
SELF REWARD! Teringin Untuk Ada 1 Tas Tangan Berjenama - Ini 7 Jenama Beg Yang Boleh Diintai Sebagai Koleksi Pertama!
Orang kata, sudah penat bekerja bertahun-tahun, mahu jugalah ‘lekatkan’ duit itu pada sesuatu yang ‘nampak’dan dapat memberi kepuasan. Memiliki sekurang-kurangnya satu beg tangan berjenama mewah antara cara memberi ‘reward’ kepada diri sendiri.
Ada orang kata, buat apa? Membazir saja, nanti tak boleh jual seperti emas. Siapa kata? Kalau dibeli yang original, ia tetap ada nilai pelaburan. Walaupun tidak setinggi emas tetapi kelebihannya ia meletakkan kamu pada kelas sosial yang lebih tinggi dan memupuk keyakinan berbeza.
Malah, ia juga boleh dianggap satu penjimatan kerana sifatnya yang tahan lama, lasak dan boleh dijadikan aset penginggalan kepada anak cucu nanti. Beli satu sudah memadai untuk dipakai sepanjang hayat (jika kena dengan cara penjagaan dan penggunaan).
Tidak seperti tas tangan berkualiti murah yang kebiasaannya dipakai beberapa tahun, terpaksa dibuang dan diganti baru.
Ini antara tujuh tas tangan yang InTrend sarankan untuk kamu yang mahu mula membeli beg tangan berlabel pereka terkenal sebagai koleksi sulung.
Prada Saffiano Lux tote
Ia memiliki ciri klasik yang boleh digayakan dari siang ke malam. Materialnya diperbuat daripada kulit Saffiano yang tahan lasak berbanding kulit biasa. Material beg ini tidak mudah untuk dicalarkan, malah bentuknya akan sentiasa kekal seadanya walau sudah diguna lama.
Mulberry Lily
Beg berharga paling mampu milik antara ke semua senarai ini. Rekaan begnya yang klasik menjadikan ia boleh saja digayakan tidak kira musim. Beg ini mempunyai rantai yang sama fungsinya seperti rantai beg Chanel: yang boleh kamu gayakan sandang di bahu atau silang pada badan. Ia mungkin kelilhatan agak kecil tetapi punya ruang yang mencukupi untuk baranganmu.
Balenciaga City Bag
Ia antara beg yang sangat hangat diperkatakan sejak 00's sehingga ke hari ini, yang menjadikannya salah satu beg klasik yang wow! Ia bersifat ringan dan lembut yang pastinya sangat sesuai untuk kegunaan harian. Harga beg ini munasabah untuk pembelian beg mewah pertamamu, sesuai dengan kualiti yang dijanjikan.
Chloé Drew
Boleh dikategorikan sebagai ‘pendatang baru’ dalam pasaran beg pereka, namun ia bukan bermakna ia tidak mampu menjadi rekaan klasik baru yang akan diburu. Harganya juga antara yang ‘mesra bajet’ sebagai beg mewah pertamamu. Rekaannya terletak molek yang membolehkan ia digayakan bersama apa jua persalinan.
Louis Vuitton Neverfull
Beg yang menjadi buah hati kepada ramai orang, Louis Vuitton Neverfull. Rekaannya yang solid dan punya ruang luas, sangat sesuai untuk dijadikan beg kerja. Ia juga bersifat versatil untuk dibawa ke apa jua majlis. Beg ini boleh diterbalikkan untuk rupa yang berbeza. Kamu umpama memiliki dua beg!
Chanel classic flap bag
Ia pasti ada dalam senarai setiap wanita apabila bercakap soal tas tangan impian. Jika sudah dimiliki, ia pasti menjadi tas paling disayangi dalam koleksi. Kualitinya mengagumkan dengan rekaan malar segar. Harganya mungkin sedikit tinggi untuk koleksi pertama tetapi buat sebuah beg vintaj seperti ini, ia pembelian yang tidak merugikan!
Céline Trio bag
Beg ini memberikan efek Mary Poppins yang sangat besar. Bentuknya mungkin kelihatan sangat kecil tetapi ia didatangkan dengan tiga ruang berasingan yang mana mampu memuatkan barangan asasmu. Material kulitnya yang sangat cantik dan cetakan logo yang tidak keterlaluan menjadikannya beg ringkas yang praktikal untuk kamu yang sukakan gaya simple.