Highlights

Separuh Jiwaku Pergi – RAPUHNYA Usia, Kenyataan Yang Harus Seorang Isteri Terima Andai Suami Pergi Dulu.

gempak
Afiza Kamarulzaman
19/02/2020
05:10 MYT
Sponsor Banner
Separuh Jiwaku Pergi – RAPUHNYA Usia, Kenyataan Yang Harus Seorang Isteri Terima Andai Suami Pergi Dulu.
Kehidupan ini sesingkat subuh, usia dan ajal juga begitu rapuh. Tidak kira bila dan di mana, saat Tuhan mahu mengambilnya kembali, tiada siapa mampu menghentikannya walau sesaat. Kenyataan ini sudah kita ketahui sejak dulu lagi, namun saat ia benar-benar berlaku pada diri sendiri, ia seakan-akan mimpi yang kita tidak mahu menjadikannya realiti. Kenyataan yang sangat menyedihkan, mengerikan untuk dilalui.
Semalam, selebriti Indonesia, Bunga Citra Lestari sekelip mata bergelar balu pada usia 36 tahun apabila suami tercinta Ashraf Sinclair kembali ke rahmatullah akibat serangan jantung. Walaupun kelihatan sihat dan masih muda, siapa sangka arwah pergi pada usia 40 tahun, pastinya pada saat isteri dan anaknya masih belum puas menikmati kehidupan ini bersamanya. Masih banyak kenangan mahu mereka cipta, apa lagi anak tunggal itu baru saja berusia 10 tahun.
Sebelum itu pula, Malaysia dikejutkan dengan pemergian pelawak terkenal, Syed Umar Mokhtar atau Abam Bochey yang juga pergi mengejut ketika dalam tidur akibat demam panas. Arwah meninggal dunia pada usia yang sangat muda iaitu 32 tahun meninggalkan seorang balu, Nor Hidayah yang berusia 28 tahun. Walaupun usia perkahwinan baru mencecah dua tahun, namun, arwah sempat meninggalkan cahaya mata berusia lima bulan yang dinamakan Syed Uthman Hamzah sebagai penyambung keturunannya.
Dan, kita juga pasti tidak lupa dengan pemergian seorang lagi pengiat seni bernama Pitt Hanif, anak kepada pelakon veteran, Fauziah Nawi pada 27 Oktober 2019. Allahyarham Pitt Hanif pergi pada usia 43 tahun akibat lemas di sungai ketika memancing. Arwah meninggalkan seorang balu yang juga pelakon, Farah Ahmad dan tiga orang anak berusia antara tujuh hingga 16 tahun. Sering kali melihat status yang dimuatnaik balu Allahyarham di Instagram yang selalu mengunjungi pusara arwah suaminya dengan kata-kata penuh kerinduan dan reda.
Pasangan Bukan Hak Milik Kekal
Itulah kebenarannya. Walaupun dia menjadi suami dan kita mampunyai banyak hak ke atasnya. Namun, ia bersifat sementara, saat janjinya bersama Sang Pencipta sudah tiba, kita terpaksa memulangkannya semula ke penempatan kekal buatnya. Maka, tinggalkan si isteri bersama hartanya dan jika ada, anak-anak yang kini menjadi tanggungjawab si isteri untuk terus menjaganya dengan baik.
Maka, dari awal lagi kita harus bersedia menerima takdir ini. Sebagai manusia milik Allah swt, kita perlu sentiasa menetapkan dalam jiwa dan minda bahawa satu masa nanti perpisahan maha hebat ini akan berlaku. Ia bukan perpisahan jarak jauh seperti dua buah negara tetapi perpisahan antara alam dunia dan roh. Tiada lagi susuk suami yang akan muncul di depan mata yang dapat kita peluk dan cium. Tiada juga kedengaran suaranya yang menjadi penasihat atau pemujuk manja saat kita lara.
Ia mungkin tidak semudah dikatakan kerana hanya yang pernah melaluinya saja tahu bagaimana ‘rasanya’? Apa pun, mahu atau tidak ia pasti berlaku dan persiapkanlah diri fizikal dan mental agar sakitnya masih mampu dikawal walau ia takdir terpahit untuk ditelan.
Kredit Foto: IG Abam Bochey
Sayangi Selalu, Kurangkan Telingkah
Adat rumah tangga, ada masam manisnya, ada duka dan sukanya. Bohong! Kalaulah sepanjang perkahwinan hanya yang terindah kita sulam bersama pasangan. Pasti sesekali ada lidah yang tergigit dan muka yang mencuka dan kata-kata yang meracun jiwa. Namun, semua ini akan menjadi kenangan dalam lipatan sejarah saat salah seorang pergi dulu. Dan, inilah yang akan mewarnai nostalgia hidup berdua serumah tangga.
Jadi, renunglah kehidupan yang sementara ini pada usia yang kita tidak tahu bila dipanggil pulang? Pada waktu yang mungkin kita kata, “kenapa terlalu awal?”, “aku belum bersedia”. Hakikat, umur kita milik yang di atas sana. Janji kita sudah terpateri sejak dilahirkan lagi. Sampai masa untuk kembali, kita harus pergi. Walau, masih berbaki tanggungjawab dan amanah di bumi, apakan daya, akan tetap kita tinggalkan semuanya.
Jadi, suami dan isteri, pada kehidupan yang sangat singkat ini, mungkin di usia 20-an, 30 tahun atau dilamakan sedikit ke 40 tahun? Kita sendiri tidak pasti. Ada yang pergi sekelip mata, sakitnya sehari cuma atau pergi dalam keadaan tak terduga, dan kita hanya mampu berkata Innalillahwainnalilahhiroijun. Sayangi dan cintailah pasangan kita sepenuh jiwa seakan esok dia akan pergi. Jika ada perselisihan jangan disimpan lama-lama di dalam hati. Maafkan selekasnya.
Awak 4 hari lagi sudah 100 hari awak tak de di depan mata xde di dalam pelukan tiada gelak ketawa . Cuaca hujan dari semalam hingga ke saat ini rasa seperti sama dalam hati ini. Kalau org tanya apa yang farah nak apa farah rasa.. 1001 rasa hanya di dalam hati dan mampu aku wakilkan dgn tarik nafas dan senyum yg terkeluar dari mulut hanyalah ucapan alhamdullilah. Di saat ini mahu saja aku marah nangis segalanya mahu saja farah nak awak depan mata dan mgadu segalanya tapi itu hanya mainan emosi. Awak i wish u here me....awakkk..... Allah kekalkanlah dan lindungilah kerinduan ini buatku kerana kerinduan ini adalah kekuatanku untuk meneruskan tanggungjawap yang di amanahkan. Awak tlg always with me ye awak. Insyallah i will pegang apa yang pernah kita perbualkan. Farah akan jaga nyawa2 kita macam mn awak jaga kitaorg. Awak..ooo..awak... rindu siot hehhehe... AL-FATIHAH MOHD FIRDAUS BIN MOHAMAD HANIF ❤ #prayforpitthanif #mrmrspitt #tottiespoppies #iflife #coretansikerinting
A post shared by Farah Ahmad @artbyfarahahmad (@ifarahahmad) on
10 Persedian Asas Buat Isteri
  • Daripada segi mental harus kuat. Ingatkan diri selalu yang satu hari nanti dia pasti pergi, tidak kira pada usia berapa? Tidak dia, mungkin aku yang pergi dulu?
  • Buat anak-anak juga harus selalu diingatkan tentang ajal dan maut supaya mereka tahu asas tentang kematian ini. Inilah kematangan yang harus mereka miliki.
  • Daripada persediaan kewangan, pastikan seawal mungkin kamu tahu status kewangan pasangan dan aset yang dimiliki juga penama yang perlu dibuat.
  • Jangan lupa juga mencarum insurans untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak. Ia sandaran masa depan.
  • Pastikan ada sedikit simpanan dalam akaun sendiri. Walaupun mungkin ada ramai yang sudi membantu, namun ia penting untuk mengemudi perbelanjaan awal pengurusan arwah nanti, sementara menunggu wang yang lain. Tidaklah terkial-kial.
  • Titipkan doa yang baik-baik buat pasangan setiap hari.
  • Maafkan pasangan setiap hari dan jangan malu untuk mengucapkan rasa sayang sekerap yang boleh.
  • Ajar anak-anak berdikari sejak kecil agar dia boleh membantu kita saat kita patah sebelah sayap.
  • Pastikan kamu tahu bagaimana untuk mengemudi kehidupan nanti jika suami pergi dulu. Kalau tidak bekerja, kamu sudah tahu bagaimana mencari ‘lubang-lubang’ pendapatan. Dan jika sedang bekerja, bagaimana untuk menyusun perbelanjaan dengan kewangan yang ada.
  • Dari sekarang, jangan bergantung semuanya kepada suami. Perlahan-lahan gerakkan diri untuk tahu semua komitmen kehidupan, bagaimana menguruskan hal-hal rumah, perbelanjaan dan sebagainya?
Salam takziah kepada semua isteri yang sudah kehilangan suami. Semoga terus cekal dan mampu mengemudi kehidupan ini dengan senyuman. Yang pergi jangan dilupakan, namun yang ditinggalkan harus terus dilayari dengan baik.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live