Highlights
Seronoknya Ramai Adik-Beradik Perempuan — Boleh Kongsi Barang, Membawang, Kawan Gaduh Pun Ya Juga!
Bukan bermakna punya anak-anak lelaki tidak meriah. Ada juga kegembiraannya cuma adik-beradik lelaki ini situasinya berbeza sedikit. Kebanyakannya agak senyap, pendiam dan lebih suka buat hal sendiri.
Berbeza dengan sebuah keluarga yang punya adik-beradik perempuan lebih dua orang, maka rumah itu akan sentiasa gamat dan riuh.
Sudah namanya pun perempuan pastilah sifat dan tabiat seorang perempuan itu lebih kuat bercakap, banyak manja dan mengadanya, kuat bertelagah, suka bersaing dan selalu berkongsi cerita. Banyak aktiviti yang boleh tercipta dalam sebuah keluarga yang dihuni ramai anak-anak perempuan.
Kredit foto: IG rozitachewan1
Geng Kongsi Barang
Inilah part paling menyeronokkan apabila kita ada kakak atau adik perempuan yang tak jauh beza umur dan saiz badan, maka kita boleh berkongsi barang yang ada. Yang paling kerap dikongsi bersama tentulah baju, tudung, aksesori, handbag dan kasut.
Ada yang jenis main ‘rembat’, ada juga yang berhemah, minta baik-baik dan pulangkan pun dengan cermat.
Selain menjimatkan wang (tidak perlu beli banyak isi wardrobe), skim perkongsian ini juga dapat mempelbagaikan stail kita. Tidaklah itu-itu saja yang kita gayakan dalam penampilan sehari-hari. Kakak atau adik itu juga boleh menjadi perunding atau pengkritik imej buat kita.
Pasti mereka lebih jujur daripada kawan kita sendiri dalam memberi pendapat. Kalau buruk, memang siaplah kena lahar.
Kredit foto: IG rozitachewan1
Geng ‘Membawang’
Jangan tipu kalau kamu tidak pernah ‘membawang’ dengan adik-beradik perempuan kamu. Berilah apa sahaja topik, pasti akan dikupas dari A hingga Z, dari siang bawa ke malam. Kata orang, kalau sudah mula bersembang tu, macam dah bertahun tak jumpa walaupun sebenarnya berkongsi bilik.
Cerita seorang kawan penulis namanya Leeya, dia dan adik perempuannya berbeza dua tahun sahaja. Sekarang dia berusia 23 tahun dan adiknya 21 tahun. Mereka belum berkahwin, hanya abang sulung yang sudah berkahwin. Menariknya, mangsa membawang mereka ialah kakak ipar mereka itu. Hahaha…
Setiap kali bertandang ke rumah Mak, ada sahaja sikap kakak ipar mereka itu yang dijadikan bahan ‘membawang’. “Mana taknya, kakak ipar kami tu kalau datang rumah Mak, pemalas yang amat.
Pinggan sebutir pun tak boleh nak basuh. Mentang-mentanglah ada adik-adik ipar perempuan ni. Geram juga tengoknya. Nak diluah nanti, Mak pula marahkan kami. Jadi, antara saya dan adiklah tempat melepaskan geram masing-masing. Ala, tapi marah kami setakat itu saja. Tak dibawa keluar.”
Kredit foto: IG Diana Nasir
Geng Luah Rasa, Beri Pendapat
Kalau adik-beradik perempuan itu jarak usia tak jauh beza, memang selalu dijadikan tempat meluahkan perasaan dan berkongsi pendapat. Kadang-kadang susah untuk percayakan kawan baik sendiri pun. Paling selamat tentulah adik-beradik sendiri terutamanya hal-hal yang terlalu peribadi.
Kalau ketika masih kecil, kita akan berkongsi rahsia tentang gagal dalam ujian atau ponteng kelas. Meningkat remaja, hal cinta dan teman lelaki pula yang akan selalu kita kongsikan bersama adik perempuan kita.
Minta dirahsiakan hubungan itu daripada Mak Ayah atau minta dia jadi tali barut untuk menemani kalau mahu berjumpa teman lelaki itu supaya tak dihidu Mak Ayah.
Setelah berumah tangga, hubungan itu tetap utuh dan ada adik-beradik perempuan masih berkongsi perasaan tentang rumah tangga mereka pula. Malah, lebih banyak bercerita dengan kakak atau adik perempuan berbanding mak dan ayah. Hal suami atau anak-anak.
Kredit foto: IG rozitachewan1
Geng Bercuti
Kalau adik-beradik ramai, memang seronok plan percutian keluarga bersama atau family’s day. Yang lebih mudah memberi kata putus tentulah adik-beradik perempuan. Keterujaan perempuan dalam hal bercuti ini memang lain macam.
Kenangan terindah apabila melancong bersama adik-beradik yang pelbagai perangai.
Selain lebih mudah untuk merancang, bercuti dengan adik-beradik juga akan menjadikan kenangan itu lebih manis untuk dikenang sehingga tua. Mak dan Ayah juga tentu sejuk hati melihat anak-anaknya sentiasa bersatu hati dan kemana-mana pun bersama. Mengingatkan mereka pada zaman kalian kecil-kecil dulu.
Kredit foto: IG Linda Rafar
Geng Akif WhatsApp
Haaa… ini yang paling meriah. Dalam sebuah kumpulan WhatsApp, pastik adik-beradik perempuan yang aktif berbalas-balas teks. Ada sahaja perkongsiannya, sama ada yang penting atau tidak. Hal-hal kecil pun mahu ditanya di dalam grup tersebut.
Yang krikk.krikk pula pasti kena sindir. Jadi, suka atau tidak semua ahli mesti saling aktif, barulah grup tidak bersawang.
Di sinilah tempat untuk menyambung silaturahim bagi ahli keluarga yang tinggal jauh atau punya kekangan masa bersama. Walaupun jarang berjumpa, meriahnya tetap sama, seperti duduk serumah lagi!
Kredit foto: IG Noor Kartini
Geng Gaduh
Gaduh-gaduh – baik semula. Air dicincang tak akan putus. Begitulah keadaannya apabila sudah ramai dalam sebuah rumah. Macam mana baik pun hubungan kekeluargaan itu, pasti ada sesekali bermasam muka, berselisih pendapat, tak bertegur atau berkelahi seketika. Kadang-kadang, gaduh itu penambahbaikkan hubungan seterusnya.
Apabila sudah lama bergaduh, mulalah rindu dan berbaik semula. Apabila ada yang tiada, pasti teringat-ingat. Itu yang dinamakan kawan gaduh – kawan baik. Siapa yang tak sayang adik-beradik, kan? Busuk-busuk pun darah daging sendiri.
Kredit foto: IG Siti Sairah
Must-Watch Video