Sheila Rusly Kongsi Petua MENJEMPUT REZEKI – Masak Dengan Cinta, Berkongsilah Rezeki Dengan Orang.
Afiza Kamarulzaman
27/08/2020 09:30 MYT
27/08/2020 09:30 MYT
Ketika ditemui di majlis anjuran Maggi baru-baru ini, Sheila Rusly melahirkan rasa syukur kerana kerjasamanya bersama Maggi berlangsung untuk tahun ke lima. Selain kepakarannya memasak, tentunya inilah yang dinamakan rezeki tak salah alamat, apabila namanya terus dikekalkan untuk bersama jenama terkemuka itu.
Ketika ditanya, apakah tips untuk menyedapkan masakan di rumah? Kata Sheila, “Saya tidaklah belajar atau menuntut apa-apa ilmu untuk memasak. Semuanya main agak-agak tapi saya percaya kita harus cook with love. Maka, masakan menjadi enak sendirinya. Yang penting keseimbangan bahan-bahan yang diadun.”
Masakan Menyatukan Hubungan
Sheila juga dilihat antara yang suka meraikan keluarga dan teman-teman dengan masakan dan berkongsi makanan, tidak kira di rumah atau lokasi penggambaran. Bagaimana Sheila melihat ini sebagai satu amalan yang sangat harmoni? “Saya percaya bahawa makanan itu bisa menyatu dan mengeratkan hubungan.”
Malah, menurut Sheila lagi walaupun memasak itu suatu pekerjaan yang renyah namun jika dilakukan dengan keikhlasan dan cinta, ia pasti dapat dirasai oleh mereka yang menikmatinya. Untuk memudahkan proses memasak, kita harus ada perancangan yang baik, tema, konsep dan siapkan semuanya agar proses memasak menjadi mudah.
Sheila juga percaya dengan berkongsi rezeki akan menambahkan lagi rezeki kita sendiri. “Tidak semestinya dengan masakan, kalau dibeli dan dikongsi pun akan memberikan manfaat kepada orang yang dirai itu. Rezeki harus dikongsi kerana dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain di dalamnya. Alhamdulillah, rezeki sis sendiri tak putus-putus...” Ujarnya tersenyum.