Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
gaya hidup

Siapa Tak ‘Koyak’ Apabila Dulu Aktif Ke Sana Sini, Tapi Kemudian Tak Mampu Bergerak?

Huda Hussain 04/06/2021 | 06:55 MYT
Luar Biasa, sebuah program realiti televisyen bual bicara siri keempat dihoskan Norman Hakim dan Shiha Zikir bakal memulakan siarannya di Astro Prima hari ini. Berkongsi informasi mengenai kepentingan dan peranan Perkeso matlamat program ini cukup jelas. Sepanjang 13 episod, pelbagai kisah pengalaman, cabaran, kisah kejayaan, suka duka yang disertai peserta terpilih Return To Work (RTW) akan diketengahkan. Semua yang dipaparkan adalah berdasarkan kisah benar dilalui pencarum dan orang berinsurans yang dianggap sebagai ‘Luar Biasa’. Bagi Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, mereka adalah wira dan wirawati yang bersemangat mengharungi suka duka sebagai OKU.
Kredit Foto: Astro Prima
Peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, ada diantaranya mengalami kehilangan upaya yang tidak serius dan serius dan sanggup tampil untuk berkongsi bersama penonton dan pencarum lain. Mengambil kira lapan juta pencarum di Malaysia, program ini wajib ditonton semua kerana bingkisan kisah mereka perlu dijadikan panduan. Mungkin hari ini kita masih sihat, tidak mengalami masalah hilang upaya kekal umpamanya dan mampu bekerja. Tetapi hakikatnya kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok. Bagaimana pula jika kita diuji seperti mereka? Apa langkah dan tindakan yang perlu diambi untuk membina kekuatan diri dan dalam masa sama kembali bekerja seperti sedia kala?
Menerusi perkongsian 13 episod ini, penonton akan lebih memahami dan cakna tentang perihal hak kita sebagai pencarum. Dan ini adalah kisah kegigihan seorang pekerja hotel yang berwibawa. Diuji dengan kemalangan yang menjejaskan pergerakannya tetapi tidak pernah sekali melunturkan semangatnya untuk bekerja seperti biasa.
Kisah Salam Majid
Kini bertugas sebagai operator di Hotel Eastin Kuala Lumpur, sebelum diuji dengan kemalangan; dia pada awalnya bekerja di bahagian F&B yang memerlukannya bergerak ke sana sini dan berdiri. Dibanding dengan sekarang, Salam tidak boleh berdiri tanpa menggunakan crutches dan special shoes. Kedua-dua alat sokongan ini banyak membantu Salam apabila bergerak dan berjalan dengan lebih stabil.
Kredit Foto: Astro Prima
Kemalangan yang berlaku melibatkan kecederaan serius pada tulang pinggang T12. Dalam masa sama, ia turut menjejaskan pergerakan kedua-dua belah buku lali yang tidak lagi boleh bergerak secara normal. Akuinya jujur pada detik mula diuji musibah ini, sebagai manusia biasa emosinya terganggu. Bagaikan tiada harapan untuk kembali berdiri seperti sebelumnya. Tetapi selepas menjalani sesi terapi di Ayer Keroh, Melaka dia lebih bersemangat dan banyak perubahan kian dirasai. Bermula dari kerusi roda, kemudian tongkat empat, kini tongkat dua dan ada kalanya dia gagahkan diri untuk berdiri menggunakan satu tongkat. Walaupun sukar tetapi dia masih lagi mampu melakukannya.
Menurut Fatimahwati Ahmad Nazir, Pengurus Kes Perkeso Selangor kecederaan yang dialami Salam pada 2011 agak serius apabila kemalangan yang berlaku menyebabkannya patah peha sebelah kiri dan patah kedua-dua pergelangan tangan. Manakala kemalangan yang dihadapinya pada Julai 2015 pula mengakibatkan Salam berhadapan dengan kecederaan lebih serius.
Kredit Foto: Astro Prima
Namun berbekalkan semangat yang kuat untuk pulih dan keinginannya mahu kembali bekerja semula, semua sesi terapi dan latihan di Pusat Rehabilitasi Ayer Keroh Melaka dilalui dengan kecekalan. Sewajarnya apa yang dilalui Salam selama tempoh menjalani rawatan dan pemulihan harus dijadikan inspirasi dan ikutan. Komitmen Salam untuk bekerja semula selain langkah penyesuaian kerja daripada pihak majikan menambah kekuatannya. Ujar Salam, “Jangan patah semangat, setiap daripada kita ada ujian masing-masing dan kita masih ada harapan,” hurainya lanjut yang kini masih lagi bekerja. Saksikan pelbagai kisah inspirasi Luar Biasa yang akan menemui penonton bermula hari ini jam 9 malam di Astro Prima
Kredit Foto: Astro Prima
#Astro Prima #Luar Biasa
;