Highlights
“Siapalah Saya Nak Suruh Orang Bersabar, Bertahan. Saya Pun ‘Struggle’ Dengan Mental, Emosi. Memang Susah…” Sharifah Amani
Industri kreatif yang merangkumi pelbagai cabang seni dan hiburan antara yang paling terkesan susulan pengumuman pelaksanaan PKP3.0. Para karyawan perlu akur tidak dibenarkan melakukan sesi penggambaran, persembahan, pertunjukan dan sebagainya. Pendek kata, tidak boleh bekerja buat masa ini. Lantaran itu, seperti masyarakat lain ramai dalam kalangan anak-anak seni sebenarnya turut terasa tempias kesukaran yang dilalui kebanyakan daripada kita ketika ini.
Terpanggil untuk membantu, satu inisiatif digerakkan atas nama #ApaKhabarAnakSeni yang kian mendapat sambutan di media sosial. Objektifnya untuk bertanya khabar, bertukar cerita dan paling penting salurkan semangat sebagai tanda solidariti bahawa setiap jiwa anak seni masih bersatu dalam gagasan tersendiri. InTrend berkesempatan menemubual pelakon berkaliber, Sharifah Amani mengupas serba sedikit mengenai kempen ini.
Kredit Foto: IG Sharifah Amani
Memandangkan industri kreatif tidak dibenarkan untuk terus berfungsi waktu PKP, apa yang Nani lakukan untuk isi masa yang ada?
Saya memang sibukkan diri dengan menolong yang mana termampu. Yalah, kita nak cari geng-geng kru yang tengah susah atau pelakon-pelakon kita yang tak boleh kerja. Ada juga beberapa projek tapi tertangguh sebab tak boleh shooting waktu PKP.
Siapa yang usahakan dan gerakkan kempen ini?
Sebenarnya ia adalah ilham Delegasi Anak Seni (DAS) yang terdiri daripada kumpulan penggiat seni seperti pekerja industri, pengarah, pelakon, penerbit, kru produksi dan ramai lagi. Kita faham sebenarnya rata-rata berhadapan dengan masalah yang berkait antara satu sama lain. Jadi kami fikir untuk bergabung bersama-sama dan tolong setakat mana yang mampu.
Kredit Foto: IG Sharifah Amani
Adakah #ApaKhabarAnakSeni sama macam kempen #BenderaPutih utk salurkan bantuan kepada penggiat seni industri kreatif?
Yes and no in a way. Kita tahu Bendera Putih ni mereka letak atau kibarkan untuk minta bantuan. Secara peribadi saya faham dan kami amat menyokong usaha juga kempen ini. Tapi dalam masa sama, kami tak mahu ‘menumpang’ kempen ini yang sememangnya sudah menjadi perhatian masyarakat. Ia adalah usaha daripada rakyat demi rakyat. Dan Apa Khabar Anak Seni juga sama, cuma lebih khusus daripada anak seni untuk anak seni.Ya, kami nak salurkan bantuan tapi dengan memberi semangat. Dan secara peribadi juga ada dalam kalangan kami turut bantu mereka yang memerlukan menerusi kempen Bendera Putih. Cuma Apa Khabar Anak Seni nak kuatkan semangat demi karya mereka. Contohnya, waktu sekarang apa yang mereka sibuk lakukan. Daripada situ kita boleh nampak usaha untuk eratkan silaturahim sesama anak seni lebih-lebih lagi dalam waktu sekarang.
Apa yang kami perasan dalam industri kreatif ini, kita ada ramai indvidu penting dibelakangnya. Kita ada model, pelukis, penyanyi, pemuzik dan banyak lagi cabang pekerjaan dalam bidang ini. Jadi apa yang kami usahakan adalah sebulat suara untuk menyatukan kita semua.
Apa keluhan yang selalu Nani dengar daripada mereka selama tempoh PKP ini?
Oh, memang banyak. Ada yang tak boleh nak bayar sewa rumah, tak cukup bantuan nak bayar bil dan banyak lagi. Kadang-kadang orang cuma ingat industri kreatif ini hanya artis dan selebriti. Tapi sebenarnya bukan mereka saja, ramai lagi. Dan jujurnya, ada dalam kalangan mereka ini seperti kru produksi misalnya yang tak mampu nak tampung diri semasa PKP ini. Jadi kami tampil untuk beri bantuan kepada mereka juga dalam masa sama beri semangat kepada yang lain.
Kredit Foto: IG Sharifah Amani
Cara kerja industri kreatif lain. Dan mungkin ramai yang tak jelas atau tak faham. Kalau ada offer, job atau projek adalah duit gaji. Itu pun masih perlu tunggu pembayaran dan lain-lain. Jadi, survival anak-anak seni lebih terasa waktu sekarang. Komen Nani?
Sebenarnya kita perlu ada perubahan dalam sistem ini yang berpihak kepada anak-anak seni. Kita perlu tengok semula kontrak yang diterima, hak untuk harta intelek (Intelectual Property Rights) juga perkara-perkara asas lain yang kebanyakannya industri lain amalkan tapi sebagai anak seni kita tiada penekanan dalam hal ini.
Kerja anak seni tak ubah macam kais pagi makan pagi. Kalau ada, adalah. Kalau tak ada memang tak adalah. Memandangkan kebanyakan daripada kami bekerja sebagai freelancers, jadi ada keperluan untuk kaji semula sistem ini kenapa ia tidak menjana ekosistem yang sihat untuk melindungi pekerja-pekerja industri kreatif. Sejauh mana keberkesanan kempen ni untuk reach out anak-anak seni? Sebab mungkin ada yang segan, malu nak minta bantuan, suarakan masalah.
Alhamdulillah sejak dua hari lepas, kami terima banyak sambutan daripada selebriti yang ada jutaan pengikut di laman sosial masing-masing, pemuzik, kru produksi, penggiat teater. Pendek kata semua orang berganding bahu untuk menyuarakan dan beri semangat. Kalau dilihat #ApaKhabarAnakSeni ramai dalam kalangan anak-anak seni kongsi karya mereka, apa yang mereka buat. Dan secara tak langsung ia berhasil kerana niat kami untuk ketengahkan perkara ini supaya orang ramai tahu kami anak-anak seni masih ada dan kami masih berjuang untuk berkarya demi negara.
Kami bukan sekadar menghiburkan orang ramai tapi suara orang seni sebenarnya sangat dekat dengan rakyat kerana itu tugas kami. Apa cerita kita hari ini, kisah hidup rakyat kita tulis, jadikan filem, dan saya lakonkan watak-watak yang mewakili masyarakat kita. Itulah perjuangan kami.
Kredit Foto: IG Sharifah Amani
Cara orang ramai untuk sokong dan turut sama bantu pula bagaimana?
Anda boleh gunakan #ApaKhabarAnakSeni untuk bertanya khabar kepada kami. Mungkin juga boleh kongsi apa yang anda semua rindu tentang dunia seni. Contohnya rindu nak tengok teater, konsert dan lain-lain. Sejauh mana karya atau seni tempatan beri impak dan makna kepada anda. Kenapa pentingnya seni Malaysia dipelihara. Bahkan dipihak kami, untuk mendengar dan tahu kenapa masyarakat rindu dengan karya-karya kita, apa yang membuatkan mereka suka dengan hasil karya kita dan sebagainya. Secara tak langsung ia menaikkan semangat kita.Sejujurnya saya faham, bukanlah sesuatu yang senang malah tak semua daripada kita dalam waktu ini mampu untuk berikan duit atau beli barang demi nak membantu. Jadi sekurang-kurangnya kita bertanya khabar dan salurkan semangat, itu sudah memadai. Insya-Allah.
Harapan Nani untuk semua anak-anak seni supaya sabar dan bertahan dalam waktu sukar ini?
Oh… (seakan melepaskan keluhan yang berat) saya tak boleh suruh orang bersabar dan bertahan. Sebabnya kita sendiri maklum memang sukar berhadapan dengan situasi hari ini. Tapi daripada perspektif lain, ini caranya untuk kita tunjukkan bahawa kita bersatu sebagai anak-anak seni. Siapalah saya nak suruh orang bersabar dan bertahan. Sedangkan saya pun sedang struggle dengan mental, emosi. Jadi kesimpulannya apa yang kita hadapi ini memang susah untuk semua orang.
Kredit Foto: IG Sharifah Amani
Jadi kalau sedikit sebanyak sebagai anak seni kita boleh bantu ringankan beban, Insya-Allah kita akan mampu mengharunginya. Dari segi bantuan, nak salurkan semangat maka inilah tempatnya. Lebih-lebih lagi mereka yang tinggal seorang diri, ini juga cara kami nak bantu untuk menyatakan mereka tidak keseorangan melalui ujian ini. Kita akan sentiasa ada untuk kita.
Must-Watch Video