Oleh: Huda Hussain

Kredit foto: KIX HD

Percutian idaman seringkali dikaitkan dengan aktiviti seperti membeli-belah atau menikmati pemandangan pantai yang indah. Namun tidak kurang juga ada yang mahukan kelainan misalnya pengembaraan lasak ketika bercuti.

Bermula Oktober ini, saluran hiburan aksi KIX HD (Saluran Astro 729) bakal menayangkan rancangan siri realiti terbaharu, Extreme Ends, memaparkan sisi berlainan kota Hong Kong yang jarang dikunjungi pelancong.

Dibintangi empat selebriti dari empat negara Asia Tenggara, Siti Saleha mewakili Malaysia dan menyahut cabaran ini bersama suaminya Ahmad Lutfi Azhar. Mereka gemar mengembara dan disifatkan sesuai untuk melakukan aktiviti berlainan yang dipilih untuk Extreme Ends.

Setiap episod menampilkan seorang selebriti bersama tetamu istimewa mereka berhadapan tema bertentangan yang ekstrem seperti “Tinggi dan Rendah” atau “Siang dan Malam”.

Tema-tema ini secara tidak langsung memaparkan wajah Hong Kong yang jarang dilihat serta mempamerkan perbezaan ketara yang cukup menarik juga mengetengahkan ciri khas Hong Kong yang bergaya.

Ikuti temu bual eksklusif InTrend bersama Siti Saleha yang berkongsi pengalamannya sepanjang melakukan pembikinan siri realiti aksi ini.

Kredit foto: KIX HD

Mengapa memilih untuk menyertai rancangan ini?

Apabila saya terima emel dan pengurus memberitahu ia adalah rancangan realiti, perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya ialah; “Rancangan realiti? Saya tak pernah buat sebelum ini.”

Dan apabila mereka memberitahu ia akan disiarkan di KIX HD (saluran Astro 729) dan sememangnya saya menonton KIX HD sebelum ini. Saya tahu mengenai rancangan dan program aksi yang disiarkan malah lebih teruja apabila dimaklumkan saya terpilih dan saya boleh membawa bersama tetamu istimewa (suami) – saya tidak berlengah untuk katakan YA! Saya bersetuju kerana pertama, ia adalah sebuah rancangan realiti yang tidak pernah saya cuba sebelum ini.

Kedua kerana ia adalah saluran KIX HD dan ketiga kerana pihak produksi mahu fokuskan aktiviti yang ekstrim dan berbeza dengan rutin biasa yang anda boleh lakukan di Hong Kong misalnya selain daripada menaiki cruise atau berjalan-jalan sekitar ibu kotanya.

Saya benar-benar teruja melakukan aktiviti sepanjang rancangan ini.

Kredit foto: KIX HD

Momen yang tidak dapat dilupakan sepanjang menjalani penggambaran Extreme Ends?

Terdapat satu cabaran yang memerlukan saya memilih satu menu untuk diberikan kepada suami supaya dia boleh meneka malah dia juga perlu lakukan perkara yang sama kepada saya.

Dan secara kebetulan kami meneka menu yang tepat – pada saya ia cukup romantik dan secara tidak langsung kami mengenali hati budi masing-masing dengan lebih dekat lagi. Oh saya juga berpeluang merasai pengalaman mengembara di gunung Fei Ngo Shan, iaitu gunung tertinggi di Hong Kong untuk melihat pemandangan malam menakjubkan Hong Kong.

Selain itu, salah satu aktiviti yang saya lakukan adalah paintballing yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini, manakala Lutfi pula melakukan aktiviti memanah yang belum pernah dilakukannya sebelum ini.

Sejujurnya pada saya pengalaman sepanjang berada di Hong Kong sangat istimewa dan tidak dapat dilupakan! Tak sabar rasanya menunggu Extreme Ends untuk disiarkan.

Dan apa pula cabaran terbesar sepanjang penggambaran ini?

KIX HD berkisarkan aksi lasak dan salah satu aktiviti yang perlu saya lakukan adalah paintballing – yang memerlukan saya memakai pakaian seragam tentera. Saya tidak pernah melakukan paintball sebelum ini tetapi pernah melihat rakan-rakan saya melakukannya tetapi bukan dalam full gear seperti yang saya lakukan di Hong Kong.

Saya terkeluar dalam kem ini dan diserang bertubi-tubi hingga panik! Saya juga hilang keseimbangan pada satu-satu masa tetapi dari pandangan kamera, ia kelihatan seperti saya menyelam.

Mujurlah ketika penggambaran saya masih mampu melakukannya kerana saya tahu saya mempunyai team dan pasangan yang hebat yang sentiasa menyokong dan saya tidak perlu menjadi 'gadis girly'.

Saya pernah terfikir mungkin selepas ini saya perlu lebih kerap ke gymnasium kerana hampir semua aktiviti yang dilakukan menguji fikial dan mental. Tetapi ia sangat menyeronokkan sementelah ia adalah kali pertama dan pastinya saya tidak akan lupakan!

Kredit foto: KIX HD

Jadi berdasarkan aktiviti lasak yang dilakukan; apa aktiviti ekstrim yang anda sarankan buat pasangan suami isteri yang mungkin tercari-cari apa mahu dilakukan di Hong Kong?

Saya sarankan anda pergi ke Gunung Fei Ngo Shan untuk menikmati pemandangan waktu malam. Dan oh, kalau anda boleh mendaki itu lebih baik! Keseronokan untuk sampai ke puncak dan duduk santai ketika di sana cukup menakjubkan.

Dan kalau anda inginkan pengalaman romantis kala waktu malam, pergilah ke sana dan luangkan waktu semahu yang mungkin. Best!

Apa yang anda suka tentang Hong Kong?

Pemandangannya! Oh, saya jatuh cinta dengan pemandangan Hong Kong juga makanannya dan masyarakatnya. Kami di sana cuma empat hari sahaja dan saya bertuah kerana berpeluang merasai pengalaman meneroka aktiviti lasak di sini.

Apatah lagi dapat bangun dari tidur dan melihat pemandangan indah sekitar pelabuhan kala waktu pagi cukup cantik!

Kredit foto: KIX HD

Apa pula makanan halal di Hong Kong yang menjadi kesukaan anda?

Salah satu cabaran pertama saya ialah memilih hidangan Lutfi yang perlu di makan dan begitu juga sebaliknya. Saya mendapat satu hidangan yang betul dan kami perlu makan di salah sebuah restoran halal di bandar. Dan saya sukakan hidangan daging kambingnya. Memang sedap!

Apa yang mahu diuar-uarkan kepada semua yang akan menonton Extreme Ends, episod Siti Saleha pada 31 Oktober nanti di saluran KIX HD (Astro Ch 729)?

Jangan lupa tonton okey! Bukan sahaja episode yang menampilkan saya dan suami tetapi kesemua empat episod. Saya teruja ketika melihat poster rancangan ini. Saya dan Lutfi melakukan cabaran “Day vs Night” manakala pasangan lain menyempurnakan cabaran “High vs Low”, “Fast vs Slow” dan lain-lain.

Tidak sabar rasanya mahu menonton rancangan ini. Malah lebih menarik, terdapat banyak tempat-tempat menarik yang boleh anda terokai di Hong Kong yang bukan sahaja sekadar membeli-belah atau aktiviti lazim pada sebelah malam.

Anda boleh cuba pengalaman pelayaran dan bersantai atau mendaki gunung dan aktiviti sukan yang kami lakukan di Hong Kong.

Kredit foto: KIX HD

Antara anda dan Lutfi, siapa yang lebih ekstrim dalam berhadapan dengan semua cabaran?

Saya fikir Lutfi lebih bagus berbanding saya, hahaha… Apa jua aktiviti yang kami lakukan, selalunya saya banyak bergantung kepadanya. Tetapi kali ini saya boleh melakukannya sendiri. Bagus rasanya apabila saya sendiri merasai transformasi yang dilakukan sepanjang penggambaran rancangan ini.

Lutfi lebih tenang dan dia mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah. Saya selesa apabila berada bersamanya.

Ayuh, jangan ketinggalan menyaksikan episode yang menampilkan Siti Saleha dan suaminya menyempurnakan cabaran aktiviti lasak dalam Extreme Ends yang bersiaran setiap Rabu jam 9.30 malam di saluran KIX HD (Astro 729).

Kredit foto: KIX HD