gaya hidup
SKANDAL – Dari 10 Kes Cerai, 9 Darinya Berpunca Daripada Orang Ke tiga, 7 Kes Melibatkan Suami dan Isteri Orang!
Statistik penceraian yang berlaku di Malaysia berpunca daripada tiga kategori utama iaitu isu kewangan (17,359 kes), gangguan pihak ke tiga (6,574 kes) dan penderaan fizikal dan mental (4,884 kes).
Bercerita isu skandal dalam rumah tangga ini, selebriti Bella Astillah tidak terkecuali pernah mengalaminya sendiri dan pernah menjadi topik hangat yang diperkatakan kerana berlaku berulang kali.
Ujarnya, “Semakin hari, semakin banyak isu ini berlaku, cuma kes Bella menjadi perhatian kerana ia didedahkan di media sosial. Ramai yang DM Bella mengadu pengalaman mereka sendiri melalui dilema yang sama.
Bagi Bella, kedua-dua pihak, lelaki dan perempuan sama-sama salah dalam hal ini. Bertepuk sebelah tangan tak berbunyi.
Jujurnya, Bella kongsikan di sini, sewaktu Bella berpisah seketika dengan Aliff ada suami orang yang ganggu Bella. Dalam hati Bella terdetik betapa kesiannya kepada isteri mereka ini. Jadi, inilah peranan kita agar tidak sama-sama melayan.”
Lebih Rumit Jika Kehadiran Orang Ke Tiga Bukan Mahu Berkongsi Tapi Mendominasi
Menurut Pakar Kaunseling Keluarga, Puan Suzana Ghazali menerusi statistik kes yang datang kepada beliau, daripada 10 kes, sembilan daripadanya berpunca daripada gangguan orang ke tiga. Dan, tujuh daripada kes itu melibatkan suami dan isteri orang.
Kes gangguan ini menjadi lebih rumit apabila orang ke tiga itu hadir dalam rumah tangga mereka bukan hanya mahu berkongsi tetapi mendominasi. Maka, yang menjadi mangsa dan tempat melepaskan marah pastinya anak-anak.
Perlukah kes rumah tangga dan kecurangan ini dikongsi di media sosial? Jawab beliau, “tidak! Jangan sesekali kongsi hal rumah tangga kita di media sosial dan ibu bapa. Bayangkan jika setelah berkongsi, kemudian kita beri peluang kepada pasangan dan berbaik semula, selepas itu kita dikutuk. Selagi boleh, selesai cara baik.”
Ramai Isteri Jadi ‘Spy’ dan Berjaya Tangkap Suami
Tidak dinafikan juga, kata Puan Suzana banyak kes kecurangan dan skandal suami berjaya dihidu oleh isterinya sendiri. Apabila ada saja keragua dalam perilaku suami, isteri pasti dapat merasainya seperti tiba-tiba handphone ada password, tengah tidur suami menghilang jauh dengan handphone tersengeh-sengeh dan sebagainya.
Apabila ditanya bagaimana Bella menangkap kecurangan suami?
Kata Bella, “Bella percaya kalau hati kita ikhlas, Tuhan pasti beri petunjuk, dan dapat mengetahui kecurangan suami. Bella bukan jenis perempuan yang suka serang-serang orang. Bella akan cari bukti, panggil suami dan orang ke tiga itu bersama keluarga untuk berdepan.
Bella tak suka selesa menerusi telefon. Bersemuka itu yang terbaik. Bella akan cakap kepada perempuan itu kalau betul dia mahukan suami Bella, ambillah! Namun, selalunya perempuan itu pula yang akan melenting seolah-olah Bella yang bersalah. Hahaha...”
Di akhir perbualan, Bella menasihati semua wanita agar jangan berlebih-lebih apabila ada suami orang yang ‘mengayat’. Jangan ambil kesempatan jika lelaki itu meluahkan masalah. Cukup sekadar mendengar tanpa perlu dilanjutkan dengan bantuan apa-apa.
Puan Suzana turut menambah, “jika mahu menjernihkan hubungan, jangan sesekali diungkit kesilapan lama pasangan. Beri peluang dan sama-sama bantu dia untuk bina kehidupan dan hubungan baru yang lebih baik.”
Must-Watch Video