gaya hidup
Stop Kejap Content Tayang Kekayaan, Rumah Besar, Kereta Mewah. Ambil Peduli KESENGSARAAN Orang
Muak. Sudah-sudahlah. Berpijak di bumi nyata untuk seketika, tinggalkan ‘dunia tipu-tipu’ ini sementara untuk kembali menyantuni sifat kemanusiaan dan ambil peduli. Jangan jadi pengguna laman sosial tanpa perasaan atau bersikap pentingkan diri.
Ya, itu hak individu untuk menayang apa sahaja di media sosial peribadi, namun ingatlah kita hidup bikan untuk diri kita sendiri. Dan, kita kaya pun bukan atas usaha sendiri. Entah-entah, orang yang sedang susah sekarang inilah yang pernah ‘like’ posting kamu atau menjadi pembeli pada produk jualan kamu itu.
Jangan kata, ‘aku susah tak minta tolong orang’. Jangan angkuh, jangan mendongak langit. Tiada satu pun kejayaan datang dengan hasil diri sendiri, paling utamanya ia dengan izin Allah SWT. Dan, pasti ada saluran lainnya yang turut menyumbang pada kekayaan dan rezeki yang dimiliki.
Ingat, tiada satu pun harta di dunia ini hak mutlak kita. Semuanya pinjaman cuma, jadi kenapa kita berasa angkuh dan tidak tahu malu menayangkan sesuatu yang hanya ‘pinjaman’?
Jaga Perasaan Orang Susah dan Amalan Kita
Allah berfirman dalam surah al-Anbiya ayat 35, "Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan."
Ingatlah, kekayaan dan kemewahan yang dimiliki di dunia ini bukan hanya tanda Allah sayang tetap ia juga ujian yang Allah berikan kepada umatNya untuk melihat sejauh mana golongan ini menggunakan kekayaan dan kelebihan yang dimiliki?
Kekayaan dan kesenangan itu bukanlah untuk ditunjuk-tunjuk dengan rasa megah dan riak (atas apa jua alasan), dan kemudian disulami pula sikap kedekut dan menidakkan hak orang lain ke atas nikmat yang Allah pinjamkan itu. Sedangkan dalam rezeki kita pasti ada hak orang lain.
Pesan Rasulullah SAW kepada Abu Dzar r.a, ialah: “Sukailah orang-orang miskin dan dekatilah mereka.”
Dan, apabila sudah menunaikan tanggungjawab bersedekah kepada yang memerlukan, jangan pula diungkit-ungkit dan disakiti hati mereka itu dengan apa juga cara seperti memarahi, membuka aib mereka dan sebagainya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat." (Surah al-Baqarah, ayat 264).
Keluar Sekejap Dari Kelekaan Itu
Keluar seketika daripada buaian nafsu dengan ulitan kesenangan dan kemewahan di rumah yang mewah dan selesa itu. Carilah seberapa ramai orang susah yang sedang kelaparan atau kesulitan hidup. Bagaimana kita boleh tidur lena dan makan sekenyang-kenyangnya sedangkan ada di luar rumah agam kita orang yang menderita.
Kalau ditolak sedikit harta kekayaan yang dimiliki untuk membantu mereka di luar sana, alangkah bagusnya? Tidak mungkin terkurang harta yang ada, malah Insya Allah akan diberi keberkatan lagi. Kalau tidak dari segi duit, mungkin kebahagiaan dan ketenangan hidup.
Kurangkanlah kehidupan lagha dengan asyik bersuka-suka, bergelak ketawa, bergelek menabur wang di depan kamera. Makan lazat-lazat, hidup penuh keselesaan. Bagaimana agaknya orang miskin di luar yang melihat ragam nafsu kamu kala itu?
Mungkin ada yang kata, itu hak dia untuk meraikan kehidupannya. Baiklah, kalau itulah cara pemikiran orang kaya zaman media sosial, teruskanlah. Namun, ingatlah hidup ini seumpama roda. Ada masa kita di atas dan di bawah. Adakah kita suka melihat situasi yang sama kala diri dirundung malang? Dalam keadaan duit tidak berbaki? Hutang keliling pinggang? Perut kelaparan? Anak-anak kesayuan... fikirkan dengan hati dan perasaan kemanusiaan.
Wallahualam.