Highlights

Suami Bantu Isteri WORK FROM HOME – Anggap Isteri Masih Dalam Waktu Kerja. Anak Tu Minta Tolong Jaga.

gempak
Afiza Kamarulzaman
20/03/2020
06:39 MYT
Sponsor Banner
Suami Bantu Isteri WORK FROM HOME – Anggap Isteri Masih Dalam Waktu Kerja. Anak Tu Minta Tolong Jaga.
Syabas kepada para majikan yang meluluskan pekerja kalian untuk bekerja dari rumah dalam jangka waktu Perintah Kawalan Pergerakan ini. Lakukanlah seperti mana yang kamu (pekerja) mampu untuk memastikan produktiviti terjamin walaupun mungkin tidak secemerlang bekerja di pejabat. Ia menjadi lebih remeh untuk wanita yang sudah bersuami dan punya anak-anak. Sudahlah anak-anak tidak boleh dihantar ke taska, pastinya mereka duduk bersama ibu bapa 24 jam!
Barulah kita para ibu tahu bagaimana gentingnya memastikan anak-anak berdisiplin dan menguruskan mereka seharian dari pagi sampai masuk waktu tidur mereka. Selama ini, kita hanya bertemu anak-anak setelah habis waktu kerja yakni petang membawa ke malam. Pada hujung minggu pula, kita sudah mengatur pelbagai aktiviti mereka seperti ke kelas tuisyen dan sebagainya. Nah, kali ini ujiannya nyata berbeza!
Kredit Foto: Google
Hikmah Menjadikan Ibu Lebih Cekal dan Cekap
Para ibu pasti boleh lakukannya! Jika tidak, masakan kita mampu melahirkan anak-anak ke dunia ini, betul? Apa yang penting adalah disiplin daripada kita sendiri dalam mengatur jadual dan kehidupan seharian. Ya, tiada siapa boleh memantau pergerakan kita di rumah dan ternyata bos sendiri pun tidak mampu mengandaikan kita benar-benar bekerja atau sebaliknya? Maka, jujurlah dengan diri sendiri.
Kemasi masa kamu sebaik mungkin. Jangan anggap dalam waktu ini sebagai waktu santai atau membuat set dalam minda bahawa ini masanya untuk kamu melakukan apa yang kamu suka di rumah. Tidak sama sekali! Sebaliknya, beri sedikit ‘tekanan’ dalam diri bahawa, ini waktunya untuk kamu harus melipatgandakan usaha untuk menjalani kehidupan 14 hari ini dengan lebih berdisiplin dan teratur. Tugasan lebih mencabar dan berganda!
Kredit Foto: Google
Tips Bekerja Dari Rumah
  • Bangun seawal pagi seperti hari kamu perlu ke pejabat dan menyiapkan anak ke sekolah. Begitu seharusnya setkan dalam otak. Bukan berlengah-lengah atau melepak lebih lama di atas katil.
  • Siap-siapkan anak-anak terlebih dulu, mandi, suap makan pagi dan sebagainya. Jika mahu memasak, lakukannya seawal pagi sebelum memulakan urusan kerja. Jika dilakukan pada pertengahan waktu kamu sedang bekerja, percayalah kamu akan gagal!
  • Letakkan semua keperluan anak-anak pada tempat yang mudah untuk anak-anak mendapatkannya. Contohnya barang permainan, buku-buku dan jajan mereka.
  • Mulakan pekerjaan kamu pada jam 9 pagi dengan membuka email dan sebagainya.
  • Pastikan juga keperluan untuk kerja kamu sudah sedia di atas meja kerja seperti charger, minuman, kudap-kudap dan sebagainya.
  • Pastikan ada jarak antara ruang kerja kamu dan ruang santai anak-anak. Ini untuk memastikan fokus kamu tidak lari.
  • Disiplinkan anak-anak untuk tidak menganggu ruang dan waktu kerja kamu. Cakap elok-elok dan sedikit ketegasan agar mereka faham.
  • Jika pekerjaanmu tidak memerlukan kamu duduk mengadap komputer atau lap top, pastikan pula kamu sentiasa dalam keadaan bersedia dengan sebarang panggilan telefon atau pesanan WhatsApp daripada majikan.
  • Paling penting, dapatkan kerjasama daripada suami juga. Sokongan suami amat penting untuk memastikan semuanya berjalan lancar agar kamu, suami dan anak-anak boleh ‘duduk diam-diam’ dalam rumah dengan aman harmoni tanpa tekanan selama 14 hari ini.
Kredit Foto: Google
Suami, Tolong Bantu Isteri!
Jika suami juga jenis yang perlu bekerja dari rumah dengan komitmen yang lebih kurang sama dengan isteri, berbagilah kerja-kerja rumah itu secara adil. Pertamanya, suami dan isteri perlu bermesyuarat seketika, bentang dan luahkan apa komitmen kerja masing-masing agar persefahaman dapat dicapai. Tidaklah nanti masing-masing berasakan pasangan tidak banyak kerja.
Hakikatnya, memang kebanyakan tugasan di rumah tersandang di bahu isteri. Namun, dalam keadaan sebegini, suami harus punya rasa tanggungjawab yang lebih tinggi untuk membantu meringankan bebas isteri. Dapat tengok-tengokkan anak pun memberi kelegaan kepada isteri. Maka, mudahlah isteri untuk melaksanakan semua komitmen pejabat dan bereskan kerja-kerja rumah.
Kalau isteri sudah memasak, mengapa tidak suami bantu pula untuk mengemas dapur. Kalau tidak mampu untuk lakukan selama-lamanya pun, cukuplah untuk 14 hari ini.
Sebenarnyakan, pada waktu arahah ‘duduk rumah diam-diam’ ini, banyak hikmah dan pengajaran yang boleh kita ambil. Para suami perlu celik mata melihat secara ‘live’ bagaimana perjuangan isteri ketika di rumah. Ia bukan semudah melihat dengan mata sekali-sekala. Ia perlu dilihat secara ‘real’.
Dan, waktu ini juga sebenarnya memberi peluang kepada suami untuk muhasabah diri menjadi lebih sayang kepada keluarga, menghargai isteri, mengenali anak-anak dan melekat di rumah lebih lama kerana di sinilah akar keluargamu dibina oleh diri kamu sendiri. Jangan sekadar mengadap telefon, melayari media sosial memuat naik tazkirah kepada orang luar, sedangkan di kiri kananmu lebih memerlukan perhatian dan kata-kata hikmatmu.
Semoga kita dapat ‘duduk rumah diam-diam’ selama 14 hari ini dengan tenang, aman dan dipenuhi dengan hikmah setiap hari.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live