Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Personaliti

Suami Bertanggungjawab Itu Adalah Suami Yang Rela Jaga Isteri DALAM PANTANG, Susah Senang Bersama

Afiza Kamarulzaman 14/07/2021 | 13:25 MYT
Tidak ramai suami tahu cara menjaga isteri dalam pantang. Kalau ada sangatlah beruntung seorang isteri itu. Walaupun mungkin kamu tidak mampu untuk menjaga si isteri seperti seorang ibu atau bidan, tapi cukuplah adanya ‘usaha’ dan masa diluangkan kala isteri terlantar ‘kelelahan’ selepas perjuangan panjang mengandung dan melahirkan benihmu.
Seorang teman mengadu, selama tiga kali berpantang, tidak pernah sekali suami mahu menunjukan belas ihsan. Ketiga-tiga kelahiran anak akan dihantar balik ke kampung ibunya untuk dijaga. Setelah sihat selepas 44 hari, barulah dia datang ambil semula.
Dalam seminggu adalah sekali dua si suami datang melawat. Itu pun datang seperti tetamu lagaknya. Ada kala terasa malu dengan Mak Ayah dan adik-beradik lain dengan sikap suami yang seperti tidak bertanggungjawab.
Jangankan hendak tolong siapkan makan isteri atau bakarkan batu tungku, mahu salinkan lampin anak pun jauh sekali. Alasannya, tak biasa dan takut tersalah pegang si bayi yang masih lembik.
Nah, inilah sikap suami yang sangat ‘useless’. Disebabkan ada ibu si isteri menjaga, maka dia lepas tangan, cukup diberikan duit belanja dan ‘buat anak’. Urusan lain diserahkan sepenuhnya kepada isteri dan orang lain. Tiada langsung rasa tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada si anak.
Kredit foto: Google
Apa Yang Boleh Dibantu Kerja Asas Isteri Berpantang:
  • Suami boleh tolong sediakan barang masakan untuk isteri dan bolehlah ibunya yang masakkan. Dapatkan list daripada ibu dan turunlah ke pasar untuk membeli semua keperluan itu.
  • Jadilah tukang urut amatur untuk isteri walaupun dia mempunyai sesi urutan dengan profesional. Ketika isteri lenguh-lenguh, ambillah minyak panas dan sapukan ke serata tubuhnya. Percayalah waktu itu, hilang semua kesakitan isteri.
  • Tolong pakaikan stokin isteri tidak sedikit pun akan menjatuhkan ego si suami, malah menambahkan rasa cinta isteri buatmu.
  • Jika bayi menyusu badan, tidak salah untuk sama-sama bangun sebagai ‘moral support’ kepada isteri yang pasti kepenatan dan mengantuk. Ini juga bagi mengelakkan isteri terlena ketika menyusukan bayi dan untuk elak bayi ‘terlemas’.
  • Sebaik bayi selesai dimandikan, bantulah untuk pakaikan baju atau bedakkan si kecil itu. jangan lepaskan peluang keemasan ini menatap anakmu ketika dia masih merah. Sedap tau bau bayi!
  • Jika ada anak lain, bantulah menjaga anak-anak lain itu supaya isteri boleh fokus pada fasa berpantangnya dan bayi yang masih kecil.
  • Perkemaskan tempat tidur isteri juga antara kerja santai yang boleh dibantu suami. Memastikan isteri dalam keadaan selesa dan selamat adalah kewajiban suami.
  • Jadilah pendengar setianya jika ada keluhan yang ingin diluahkan. Jangan ganggu emosinya dengan kata-kata negatif dan sikap tidak peduli.
#Gaya Hidup #Suami Isteri #Berpantang
;