Hal suami curang ini sebenarnya agak jelak untuk diperbincangkan. Namun, inilah isu yang ‘malar segar’ kerana kekal berlaku tidak kira apa jua zaman, dari dulu hingga kini dan dilakukan oleh lelaki daripada pelbagai latar belakang, tidak kira kaya atau miskin, tua atau muda.


Orang kata, kalau sudah namanya lelaki agak sukar untuk dipercayai kata-kata dan jani manisnya. Sebaik-baik suami yang warak pun boleh tumbang imannya hanya kerana godaan seorang wanita. Maka, isteri yang selama ini dianggap bidadari syurga pun boleh dikhianati atas nama keinginan lelaki merintih.


Penulis pun tidak mahu lagi menyenaraikan faktor kenapa suami curang atau kesannya kepada rumah tangga? Kerana suami boleh curang tanpa ada satu sebab musabab pun. Dan, atas apa juga sebab kecurangan itu pasti membawa kesan negatif kepada isteri dan anak-anak, seterusnya institusi keluarga secara keseluruhan.





Kredit Foto: Google



Kalau Suami Merayu, Perlukah Diberi Peluang?


Persoalannya untuk artilel kali ini adakah perlu diberi peluang kepada suami yang telah berlaku curang? Ya, boleh kalau ia pertama kali berlaku dan jika kamu yakin bahawa kecurangan itu berlaku atas ‘kelalaian’ dia sebagai manusia biasa atau menjadi mangsa keadaan.


Kebanyakan isteri juga menjadikan alasan anak-anak sebagai sebab untuk memaafkan suami tersebut dan mahu menyelamatkan rumah tangga yang sudah lama dibina. Dan, rata-rata isteri juga mengatakan rasa sayang yang masih tebal kepada suami itu walaupun sudah diduakan di belakangnya.


Tidak ketinggalan, ada segelintir isteri tidak langsung menyalahkan suami atas kecurangan yang berlaku. Mereka menunding jari kepada skandal suami itu yang menjadi penggoda dan peruntuh rumah tangga orang. Maka, suami diberi peluang ke dua untuk berubah demi membuktikan cinta itu masih ada.




Kredit Foto: Google



Namun, Kalau Selepas Peluang Diberi, Ia Masih Berlaku?


Awas! Ia bukanlah kesilapan tanpa sengaja jika suami masih berbuat kecurangan yang sama selepas diberi peluang ke dua atau ke tiga. Sebaliknya, ia bolehlah dianggap sebagai tabiat sang lelaki yang sukar untuk diubah. Memang tercipta dia sebagai lelaki mata keranjang atau gila prempuan!


Namun, jangan salah sangka. Perkara ini agak subjektif. Ada sahaja lelaki yang berulang kali melakukan kesalahan yang sama, lama-lama dia mampu berubah mengikut anjakan umur dan kematangan diri. Ia bergantung pada kekuatan diri suami itu senditi untuk taubat dan tekad berubah.


Sama ada perlu lagikah terima semula suami dalam kehidupan isteri walau selepas berulang kali dikhianati? Ia terpulang kepada dirimu sendiri. Hanya isteri kenal siapa suaminya? Hanya kamu yang akan berdepan dengannya untuk hari mendatang. Jika kamu yakin suami akan berubah juga satu hari nanti, teruslah setia.


Pada masa yang sama, jangan gagal untuk berdoa dalam setiap sujudmu agar tabiat suamimu itu mampu berubah. Jangan sesekali ada sikap, ‘kalau suami boleh buat, aku pun boleh buat’. Daripada kamu pun melakukan dosa yang sama, lebih baiklah berpisah sahaja. Ia lebih halal daripada kamu pula menjadi isteri curang.


Apa pun, tepuk dada tanyalah orang berpengalaman dan berpengetahuan juga iman sendiri. Hanya diri kamu mampu memberikan jawapan sama ada bolehkah memberikan peluang kepada suami curang? Atau nokhtahkan sahaja hubungan kalian.