Ramai para suami hari ini menganggap ‘beli jiwa’ isteri itu sebagai perkara ‘poyo’ yang tidak perlu dilakukan. Apatah lagi, untuk sesuatu yang ‘menghakis’ duitnya. Sedangkan yang menghakis itu isterinya, yang telah berbakti siang dan malam untuknya juga menggadai nyawa memanjangkan zuriat keturunannya.


Jadi, adalah tidak wajar untuk suami ada perasaan berkira dengan isteri sendiri, apatah lagi mengungkitnya kembali setelah diberi. Sangat buruk sikap suami yang sebegini. Sedangkan kalau mahu diungkit balik apa yang dilakukan isteri itu, pasti kamu tidak mampu untuk mendengarnya sehingga habis. Terlalu panjang senarainya.



Kredit Foto: Google



Sila Beri Juga Kepada Isteri Yang Bergaji


Ada sesetangah suami bertuah memiliki isteri yang pandai mencari duit sendiri. Apa lagi jika gaji isteri itu lebih tinggi daripadanya. Boleh dikatakan banyak komitmen di rumah isteri yang tanggung dan sempurnakan. Di sinilah, ada sesetengah suami mengambil kesempatan dengan langsung tidak mahu berbagi dengan si isteri.


Sedarlah suami, duit isteri adalah hak mutlak si isteri. Jika diberi, ia dikira sedekah si isteri kepada suami. Ada suami yang langsung tidak pernah membelikan apa-apa untuk isterinya atas alasan isteri mampu membelinya sendiri. Namun, fikirlah kembali, semua isteri memiliki jiwa yang sama. Mahu dikasihi suami dengan sesuatu pemberian atau hadiah.


Jadi, tidak salah sesekali tunjukkan rasa cinta dan penghargaan itu dengan memberikan sesuatu hasil daripada wang kamu sendiri, walaupun ya dia pasti lebih mampu untuk membelinya. Namun, sesuatu daripada tangan suami itu pasti lebih besar ertinya untuk isteri yang sudah banyak berkorban untuk suami.




Kredit Foto: Google



Isteri Yang Tidak Bekerja Apatah Lagi


Sudahlah tidak bergaji, mahu membeli pun jauh sekali, maka dipendam hasrat hati. Betul, tidak semua suami berkemampuan untuk memberikan semua idaman isteri. Dapat diberi makan, minum dan keperluan harian pun sudah memadai. Namun, jika ada rezeki lebih mengapa tidak diberi sedikit ‘bonus’ kepadaa isteri yang tidak bekerja itu?


Kadang-kadang, isteri mintanya bukanlah yang mahal-mahal pun, dapat beg tangan cap ayam pun sudah riang hatinya, janji dapat benda baru. Dibawa jalan-jalan balik ke kampungnya juga sudah seribu rahmat. Percayalah, banyak yang diberi kepada isteri, banyak yang kamu dapat kembali. Kata kuncinya, jangan kedekut dengan anak isteri.


Dan, ingat seperkara ini, jika sudah diberi, jangan sesekali diungkit. Selain, ia mengguris hati isteri, ia juga menggugurkan pahalamu. Firman Allah SWT yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat." (Surah al-Baqarah, ayat 264).