gaya hidup
Sudah Banyak Keluarga Dijangkiti Covid-19 Melalui PEMBANTU RUMAH – Majikan Didiklah dan Vaksinkan Mereka
Pembantu rumah yang bekerja dengan majikan di Malaysia kebanyakannya terdiri daripada warga asing dari Indonesia, Fipilina, Myanmar dan sebagainya. Kebanyakan mereka ini masih tidak berapa faham dengan bahasa tempatan, apa lagi untuk memahami bahayanya serangan virus Covid-19.
Kita tidak kata semua tetapi kebanyakannya begitu, mengambil mudah perihal SOP, apa lagi tentang suntikan vaksin. Malangnya pula, ada beberapa isu berkaitan keluarga yang dijangkiti Covid-19 berpunca daripada pembantu rumah, ada kes sehingga membawa maut. Tidak kurang juga menjangkiti kanak-kanak, yakni anak asuhan pembantu rumah.
Maka, majikan akan mengeluh sudah penat menjaga SOP ketika berada di luar dan jarang keluar rumah, sedangkan terlupa pembantu rumah yang mungkin tidak melakukan hal yang sama.
Dalam menjaga keselamatan diri dan keluarga, ada majikan yang terlepas pandang untuk memastikan pembantu rumah juga diberi pengetahaun dan pemahaman yang sama mengenai SOP dan bahayanya Covid-19. Bukan kerana majikan tidak prihatin tetapi terkadang tidak perasan yang mereka ini penyumbang besar dalam menjangkiti seisi rumah kerana ‘contact rapat’.
Ada pembantu rumah yang selalu bertemu dengan jiran-jiran atau sahabat mereka di luar. Masa senggang seperti ke pasar atau membuang sampah misalnya, digunakan untuk bersosial seketika. Walau untuk beberapa minit bertanya khabar, mereka tidak perasan yang virus sudah menerap kepada mereka ini.
Tanpa memakai pelitup muka dan masuk ke rumah tanpa mencuci tangan, terus melakukan kerja rumah, menyentuh peralatan dan lebih teruk lagi mendukung anak majikan. Di sinilah puncanya virus merebak dengan pantas dalam hanya beberapa ketika dan sedikit kecuaian.
Bagaimana Menyelamatkan Pembantu Rumah Anda?
Didik dan Bertegaslah Dengan SOP
Anda tiada pilihan selain daripada bersikap tegas apabila berkaitan dengan SOP ini. Seperti mana anda sendiri dan anak-anak dilatih untuk mengikut SOP, begitulah seharusnya diterapkan kepada pembantu rumah. Jangan fikirkan mereka ‘orang luar’ jadi tidak perlu diberi penekanan kerana mereka juga ‘isi rumah’ yang duduk di rumah anda. Ya, mungkin anda tidak mampu memantaunya sepanjang masa, tetapi berilah dia sebanyak mungkin pengetahun berkenaan bahaya virus ini dan cara mencegahnya.
Pastikan Mereka Divaksin
Sama seperti taukeh kilang atau majikan syarikat besar lainnya, anda juga bertanggungjawab untuk memastikan pembantu rumah anda mendapat vaksin mereka, lengkap dua dos. Mereka mungkin akan memberi banyak alasan seperti tidak tahu dan sebagainya. Untuk kali ini, luangkan sedikit masa untuk membantu mereka mendaftar dan membawa mereka ke pusat vaksin. Anda berhak untuk menamatkan perkhidmatan mereka jika mereka tidak mahu divaksin.
Lengkapkan Peralatan Perlindungan di Rumah
Memang agak berisiko apabila mempunyai pembantu rumah, apa lagi yang bilangannya ramai. Jadi, anda harus usaha lebih sikit dengan memastikan semua kelengkapan perlindungan tersedia untuk mereka seperti mask, pencuci tangan, oximeter dan sebagainya. Sediakan semua ini untuk kegunaan seisi rumah termasuk pembantu rumah. Lindung diri, lindung semua.
Sensitif Dengan Kesihatan Pembantu Rumah
Dalam kesibukan seharian anda, jangan abaikan kesihatan pembantu rumah. Jika terdapat simptom seperti demam dan sebagainya, lekas-lekaslah membawa mereka mendapatkan rawatan. Jangan tunggu sehingga berhari-hari. Dalam keadaan sekarang, majikan perlu gandakan keprihatinan terutamanya yang berkaitan dengan kesihatan mereka.