Highlights
Sukat Kasut di Kaki Sendiri — Biarlah Orang Nak Mengata Baju Kita Murah, Beg CAP AYAM, Janji Tak Susahkan Orang!
Ukur baju di badan sendiri. Dari dulu lagi, nenek moyang kita sudah mengingatkan kita tentang bagaimana untuk berbelanja mengikut kemampuan. Jika ikutkan nafsu, memang semua mahu memiliki hanya yang terbaik. Apatah lagi pada zaman media sosial hari ini, di mana semua perkara harus ditayang untuk meraih perhatian.
Tak Semua Yang Orang Ada, Kita Perlu Ada
Melihatkan si Gayah pakai beg Chanel, kita teringin. Menengok si Minah sarung baju Gucci pun kita mahu. Sedangkan si Gayah suaminya CEO syarikat minyak dan si Minah kerjanya Peguam. Sedangkan kita kerani bergaji RM3000 sebulan. Tolak bayar ansuran kereta, rumah dan bil-bil bulanan, tinggallah RM1000 untuk duit makan minum selama 30 hari. Maka, di mana kemampuan untuk membeli beg Chanel dan baju Gucci ribuan ringgit itu kalau belanja makan pun belum tentu cukup?
Kredit Foto: Google
Selain melihat pada kemampuan membeli, tengok juga pada keperluan untuk kamu menggayakannya? Bukan menghina atau merendahkan taraf seseorang itu, tetapi berpijak di bumi nyata. Gayah dan Minah perlu untuk membeli produk jenama sedemikian demi menjaga status mereka apabila berada di khalayak masyarakat. Gayah selalu perlu menghadiri majlis korporat menemani suaminya. Manakala Minah perlu bersiap elok untuk menemui klien supaya dilihat lebih berkeyakinan dan punya karisma.
Dan, kita? Tiada keperluan yang berat untuk menggayakan, maka untuk apa membazirkan wang yang sepatutnya lebih baik disalurkan kepada perkara lain yang lebih penting? Tiada rakan-rakan sekerja yang mahu menilai beg jenama itu atau tiada kehendak kerjamu yang menuntut untuk kamu menggayakannya.
Demi Kepuasan?
Ya, ada juga yang memberi alasan ia sebagai kepuasan diri untuk memiliki sesuatu yang diidamkan setelah penat bekerja. Boleh memberi ‘reward’ kepada diri sendiri. Tetapi, biarlah sepadan dengan kemampuan pendapatan yang kita ada. Jangan hanya kerana mahu memuaskan hati, kita terpaksa berhutang dan membelakangkan pembayaran komitmen lain yang lebih perlu.
Dan, selepas memilikinya kita menyesal. Kemudian, barulah gelabah mencari penyelesaian apabila wang tidak cukup menampung kehidupan. Mulalah kita meminjam kepada kawan-kawan, keluarga dan saudara-mara. Daripada hutang itu, terciptalah pelbagai masalah lain. Hubungan retak dan hidup tidak tenteram.
Kredit Foto: Google
Bergaya Tak Perlu Mahal
Inilah realitinya. Untuk melaram dan bergaya, tidak semestinya dengan harga yang mahal dan berjenama terkenal. Ada orang menggayakan baju ‘bundle’ pun dah nampak sungguh stylish. Ada pula yang menggayakan baju Versace tetapi kelihatan seperti dibeli di pasar malam sahaja! Di manakah silapnya?
Tidak semua stail itu sesuai untuk digayakan oleh semua orang. Tidak semua barang berjenama itu cantik digayakan oleh sesiapa pun. Mengikut cara dan bagaimana seseorang itu ‘membawanya’. Jadi, kenapa mahu mendesak diri untuk berhabis kepada barang yang mahal jika kamu boleh tampak hebat dengan barang yang murah juga. Yang penting yakin dan gayakanlah dengan keselesaan kamu.
Must-Watch Video