Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
gaya hidup

Syukur Dapat Peluang Jaga Emak, Emak Mentua Meniti Usia Emas. Inilah Masa Nak Balas Jasa Mereka.

Huda Hussain 29/12/2020 | 10:30 MYT
Tiada apa yang diharapkan seorang anak apabila diberi peluang dan kesempatan untuk berbakti dan menjaga kedua ibu selagi hayat mereka masih ada. Apatah lagi tidak terlalu sibuk dengan pekerjaan, bak kata orang sudah ‘settle down’ dan mampu berikan tumpuan kepada kedua ibu bapa pastinya menjadi dambaan semua anak-anak.
Tidak kiralah sama ada ibu bapa masih sihat, dipinjamkan kudrat yang tersisa atau terlantar sakit, inilah masanya untuk kita berbakti dan membalas jasa serta pengorbanan mereka. Walaupun hakikatnya kita takkan mampu membayar segala titik peluh, limpahan air susu dan keringat mereka membesarkan kita selama ini. Tetapi apabila diberi ruang dan peluang pasti kita takkan mahu melepaskannya bukan?

A post shared by umieaida ?? (@umieaida9)

Kredit Foto: IG Datin Paduka Umie Aida
Bahagia dan bersyukur mungkin itu yang dirasai Datin Paduka Umie Aida. Malah penulis tumpang gembira apabila melihat muat naik yang dikongsikannya merakam aksi dan gelagat lucu emak dan emak mentuanya. Berhibur sambil bernyanyi, berjoget sambil bersenam cukup menyenangkan hati. Tiada apa lagi yang perlu dikejar ataupun dirisaukan. Puas rasanya apabila dapat menjaga dan melihat kedua-dua susuk wanita yang menjadi tulang belakangnya selama ini dihadapan mata. Sakit pening mereka, makan minum mereka semuanya terbela.
Masa dan perhatian itulah kuncinya. Bagi ibu bapa yang meniti usia emas, tidak banyak yang diinginkan. Dua perkara inilah yang sering didambakan daripada seorang anak. Kerana kitaran hidup mereka ada yang sudah kembali bagaikan anak kecil. Mahukan perhatian, sering berbual dan mahu kita sentiasa ada disamping mereka. Dan itulah juga yang perlu kita korbankan untuk mereka ketika ini. Jika masa kecil kita terlalu banyak yang mereka lakukan demi memastikan hidup kita sempurna dan seadanya, ini masanya untuk kita lakukan perkara yang sama.

A post shared by umieaida ?? (@umieaida9)

Kredit Foto: IG Datin Paduka Umie Aida
Bahkan jika mampu berikan yang lebih itu lebih bagus. Mereka tidak meminta wang ringgit kita walaupun mereka tahu kita mampu untuk memberikannya. Tetapi perhatian dan kasih sayang saat masa masih berpihak kepada kita, itulah yang seharusnya direbut dan dimanfaatkan sebaiknya. Jangan nanti apabila mereka sudah tiada, barulah kita nak menyesal. Ralat dan terkilan sudah tiada gunanya lagi.
Selagi mereka masih ada, berbaktilah semampunya. Usah mengeluh melayani kerenah mereka. Sematkan dalam fikiran, ada ganjaran dan pahala menanti buat kita. Kerana tidak mustahil masa tua kita nanti, perilaku kita juga seperti mereka. Jadi, berlapang dada dan tatanglah mereka selayaknya seperti apa yang pernah mereka lakukan semasa usia kecil kita.
#Emak #Datin Paduka Umie Aida #Emak Mentua
;