Orang kalau dah cantik, pakai tudung lagi cantik. Itulah yang sering penulis dengar apabila berbicara soal berhijab. Bagi golongan selebriti umpamanya, kecantikan mereka lebih terserlah apabila tampil mengenakan hijab sebagai pelengkap diri. Menyorot kembali antara selebriti yang kini lebih anggun dan ayu dan berhijab, banyak membuka mata kita agar lebih mensyukuri dengan nikmat pemberian-Nya.


Betapa benarlah hidayah itu milik Allah. Diberi dan dilepaskan kepada hamba-Nya tepat pada masa dan tempatnya. Bahkan kisah berhijab dalam kalangan mereka rata-ratanya ramai yang sudah memasang nawaitu pada awalnya. Namun dek kerana sebab tertentu, ia tertangguh ataupun mungkin terhalang kala itu.


Apabila sudah membulatkan tekad dan azam, maka muncullah mereka dengan imej baharu. Yang dilihat lebih manis, ayu dan jauh lebih sopan. Redup dan sejuk mata memandang. Sepasang mata yang melihat dari jauh ini hanya mampu menitipkan doa agar hati dan keimanan mereka terus dipandu. Kekal istiqamah dan kuat menempuh ujian mendatang. Kerana keimanan kita itu berbolak-balik sifatnya, maka sebaiknya disirami dengan peringatan dan berdamping dengan ilmu yang mendekatkan kita pada Dia Maha Pencipta. Semoga selepas ini semakin ramai barisan selebriti kita yang berhijab dan pada mereka, moga kekal istiqamah hendaknya.

Hari ini datang kenduri jiran bersama suami @asyrafkhalid ❤️

A post shared by Tya Arifin (@tyaarifinnw) on

Kredit Foto: IG Tya Arifin
  1. Tya Arifin – Februari 2020

Mulanya dia memuat naik foto berhijab di Instagram. Sudah pasti sangkaan awal kita sebagai orang luar, mungkin dia sekadar mencuba atau mencari gaya hijab sesuai. Dan itu diakui Tya sendiri apabila dia sekadar cuba berhijab. Dan usai beberapa muat naik foto berhijab, barulah dia berkongsi cerita. Mengakui bahawa dirinya sedang mencuba dan membiasakan diri bertudung, Tya mahu belajar untuk menjadi lebih baik. Ujarnya lagi dalam kenyataan kepada sebuah akhbar tempatan, “Bukan mudah untuk istiqamah. Dalam hidup ini, apa yang pasti, kita sentiasa mahu menjadi insan yang lebih baik. Malah, dengan apa yang saya nikmati saat ini daripada Allah, saya fikir saya belum jadi hamba-Nya yang baik.” Tumpang gembira melihat kejayaan dan keberhasilan yang diusahakannya selama ini. Terbukti rezeki Tya kian melimpah ruah usai dia memilih untuk bertudung. Moga dipermudahkan dan kekal istiqamah hendaknya.

❤❤❤❤❤

A post shared by @ erniezakri on

Kredit Foto: IG Ernie Zakri


2. Ernie Zakri – Mac 2020

Hikmah tempoh PKP Mac lalu nyata bawa khabar gembira buat penyanyi kecil molek, Ernie Zakri. Tiada siapa menyangka malah tidak kurang ramai yang terkejut dengan penampilan terbaharu Ernie pada saat kariernya semakin melonjak naik. Pada ketika dirinya berehat daripada sebarang urusan kerja sepanjang tempoh PKP lalu, Allah makbulkan hajatnya yang sudah lama kepingin untuk berhijab. Gembira dan menyifatkan dirinya seakan lengkap setelah menyarung tudung, tunang Syamel ini mohon terus dikuatkan hati untuk meniti hari-hari mendatang. Agar kekal istiqamah dan sentiasa cuba memperbaiki kekurangan diri.

?

A post shared by Kilafairy (@kilafairyofficial) on

Kredit Foto: IG Kilafairy


3. Kilafairy – Jun 2020

Selepas tular muat naik IG Story di Instagram Neelofa yang ketika itu menaiki kereta yang dipandu Kilafairy, hati terus menitipkan syukur. Ramai yang terkejut dengan berita penghijrahan Kilafairy atau nama sebenarnya Syakila Nisya ini tampil dengan imej bertudung. Mengakui tindakannya berhijab tanpa desakan dan paksaan sesiapa, sebaliknya ia dilakukan dengan penuh kerelaan hati. Juga berkat doa kedua ibu bapa dan mungkin juga secara kebetulan keberkatan bulan Syawal ketika itu mendorongnya untuk terus nekad bertudung. Lantaran itu, selepas beberapa hari tampil dengan imej baharu, Kila terus memadam foto-foto terdahulunya yang tidak menutup aurat. Perkongsian video di Instagram Kila yang memperlihatkan ayahnya pada awalnya sekadar mengusiknya berhijab saat memasuki rumah bagaikan mengusik emosi. Lantas berpelukan keduanya sambil mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi. Titipan doa kami agar semuanya terus dipermudahkan untuk Kila menjalani hidup sebagai hambaNya yang lebih bertakwa.

Hi Jibby, I’m back! ?? Shawl: @sopandsantunhq

A post shared by Cik Manggis | De Fam (@cikmanggis) on

Kredit Foto: IG Cik Manggis

4. Cik Manggis – Julai 2020

Siapa sangka kelincahan dan lagaknya berdansa, Allah gerakkan hatinya untuk bertudung. Lebih dikenali Cik Manggis berbanding nama sebenarnya Nurshazwani Shamsuddin; anggota kumpulan DeFam ini memilih untuk bertudung secara senyap-senyap tanpa menghebahkan kepada sesiapa. Baginya ia lebih bersifat peribadi kerana soal penghijrahan bukanlah untuk tatapan ramai. Memetik kenyataannya dalam satu temu bual bersama akhbar tempatan, dia sendiri yang mendorong untuk berhijrah. "Sebab kita semua hidup dalam proses memperbaiki diri. Setiap hari, kita mahu menjadi yang lebih baik. Jadi, saya mahu mendorong diri menjadi lebih baik dalam pelbagai aspek,” jelasnya. Walaupun tampil dengan imej baharu, ia sama sekali tidak menghalang untuk Cik Manggis meneruskan karier sebagai penyanyi.

Muharram 2, 1442. Berkat hari Jumaat, penghijrahan Mawar telah pun bermula ❤️ . Doakan Mawar sentiasa beristiqomah untuk sentiasa mendapat keredhaan Allah SWT. Aamiin ? .

A post shared by MAWAR RASHID (@mawarashid) on

Kredit Foto: IG Mawar Rashid

5. Mawar Rashid – Ogos 2020

Hasrat untuk bertudung sudah lama tertanam dalam hatinya. Namun dek kerana sifat hati dan keimanan sentiasa diuji dan berbolak-balik, maka impian Mawar untuk bertudung tertangguh seketika. Dan sepanjang Ramadan lalu, dia mengambil inisiatif untuk cuba bertudung. Katanya dia mahu merasai bagaimana perasaannya kala menyarung hijab. Dan selepas menghadiri kelas pengajian agama di Kelantan, setelah mula mempelajari serba sedikit tentang ilmu agama, barulah dia menemui kekuatan untuk terus bertudung. Syukur Alhamdulillah. Jika kami gembira, apatah lagi suaminya yang tercinta. Ia disifatkan khabar dan momen paling syahdu lagi menggembirakan apabila dia tampil menyarung hijab. Berkongsi khabar gembira ini di Instagramnya ketika Awal Muharam lalu, Mawar terus berdoa agar diberi kekuatan untuk kekal istiqamah dalam melalui perjalanannya selepas ini.

Bismillah?

A post shared by Hannah Delisha (@hannahdelisha) on

Kredit IG: Hannah Delisha

6. Hannah Delisha – September 2020

Pelakon kelahiran Singapura, Hannah Delisha juga tampil mengenakan hijab baru-baru ini. Telah lama menyimpan nawaitu untuk berhijab sejak Ramadan lalu, namun dek komitmen kerja dia menangguhkannya seketika. Mengakui jiwanya kini tenang dan masih dalam proses untuk memperbaiki kekurangan diri, ujarnya dalam satu kenyataan kepada sebuah akhbar, dia hanya menunaikan tanggungjawab kepada Allah SWT. “Dalam hidup, kena sentiasa berubah dan memperbaiki kekurangan diri. Saya mahu menjadi muslimah yang baik. Insya-Allah. Saya juga bersyukur kerana keputusan dibuat pada saat tiada hutang penggambaran yang memerlukannya tidak bertudung," terangnya. Semoga perjalanan karier Hannah dan rezeki selepas ini dilipat gandakan juga dipermudahkan.