Highlights
“Syukur Tak Menang Tangan Masa PKP.” – Rosmaliza, ‘Personal Shopper’. Allah Rezekikan Untuknya Saat Insan Lain Diuji.
Benarlah apa yang selalu kita dengar dan baca selama ini. Bahawasanya rezeki setiap daripada kita berbeza. Masing-masing tak sama jalan ceritanya. Ada yang perlu menunggu lama. Ada pula yang diberi sejumlah besar dihadapan mata, sekejap saja. Dan betapa rezeki Allah itu luas menjangkaui apa yang kita fikirkan. Kalau difikirkan pada musim PKP ini, apalah agaknya jenis perniagaan yang boleh memberi pulangan? Sementelah ramai yang risau tidak dapat keluar berniaga mencari rezeki, tetapi bagi segelintir insan; waktu beginilah Allah bentangkan jalan rezeki seluasnya. Bahkan berlipat kali ganda pulangannya. Semuanya atas usaha sendiri juga dengan izin-Nya.
Kredit Foto: Rosmaliza Abdul Hamid
Inilah yang dirasai Rosmaliza Abdul Hamid atau mesra disapa Rose. Biarpun baru setahun bergelar personal shopper, dia tetap bersyukur dikurniakan rezeki saat-saat genting ini. Tatkala peniaga kecil dan penjaja lain terputus rezeki, lain pula kisahnya bagi Rose. Sungguhpun begitu, walau mampu menjana pendapatan, dia juga tidak terkecuali berdepan dengan ujian dan cabaran. Ikuti kisahnya.
Sudah berapa lama menceburkan diri sebagai personal shopper?
Rose mula menceburi cabang pekerjaan ini tahun lepas. Secara tak sengaja sebenarnya. Kalau nak imbas semula, waktu itu Rose nak shopping ‘Jovian Sale’. Sambil shopping, kawan-kawan kirim untuk minta tolong belikan item yang mereka mahukan. Dan rentetan itu, terus set up group untuk mudahkan komunikasi sesama kami. Balik ke rumah dari shopping dan selepas buat kira-kira, terkejut juga. Rupanya lepas item yang Rose shopping ada lebihan lagi. Sejak itu Rose fikir, kenapa tidak Rose cuba cari duit dengan cara ini. Perlahan-lahan dan lama-kelamaan, Alhamdulillah mampu cari duit poket lebih untuk tampung perbelanjaan keluarga.
Kredit Foto: Rosmaliza Abdul Hamid
Apa jenis barangan yang dijual? Adakah terhad kepada barangan keperluan rumah sahaja atau bagaimana?
Sebagai personal shopper, Rose lebih gemar sertai event seperti Jualan Gudang, antaranya Bath&Body Work, pelancaran Duckscarves dan lain-lain. Kiranya barang-barang yang Rose suka dan ramai yang meminatinya. Tapi memandangkan kita sekarang berada dalam tempoh PKP, jadi Rose terus fokuskan kepada barangan keperluan Covid-19 seperti topeng muka, sanitizer, sarung tangan dan barangan penjagaan yang lain.
Contohnya ketika PKP baru bermula; ramai yang mencari stok sarung tangan, topeng muka dan lain-lain. Permintaan terlalu tinggi tapi tawaran pula tak mampu tampung. Kalau ada sekalipun, ia dijual dengan harga yang mahal. Bagaimana Rose berhadapan dengan situasi ini?
Ketika PKP bermula, permintaan terhadap barangan keperluan Covid-19 terlalu tinggi sehinggakan ada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga. Jadi untuk mendapatkan stok, Rose terus berurusan dengan pembekal dan ada juga Rose membuat pesanan terus dari China seperti topeng muka. Jadi harganya lebih murah.
Kredit Foto: Rosmaliza Abdul Hamid
Bisnes terjejas atau tidak sepanjang musim PKP?
Sepanjang musim PKP, sejujurnya memang tak menang tangan kerana kebanyakan orang mencari barang dari rumah. Disitulah ada kelebihan kepada kami sebagai personal shopper. Dan memandangkan Rose memang mempunyai ‘group ‘telegram’ maka dari situ banyak pesanan masuk dan boleh dikatakan meningkat berkali ganda daripada item yang biasa dijual. Syukur, ada juga rezeki untuk Rose dan keluarga, Alhamdulillah.
Ada cabaran atau halangan untuk proses pengeposan dan penghantaran?
Walaupun masih dalam fasa PKP ‘StayHome’, proses mengambil stok dan penghantaran barang masih boleh diatasi. Misalnya untuk mengambil stok, Rose menggunakan khidmat runner untuk terus hantar ke rumah tanpa perlu keluar. Bagi proses penghantaran barang pelanggan, Rose menggunakan beberapa khidmat kurier. Halangan tetap ada kerana ada barang tertentu seperti cecair (sanitizer) tidak boleh dihantar ke Sabah dan Sarawak dengan menaiki kapal terbang.
Kredit Foto: Rosmaliza Abdul Hamid
Karenah pelanggan sepanjang musim PKP ini bagaimana? Ada yang merungut?
Sebagai personal shopper, Rose cuba memberikan khidmat yang terbaik dan melakukan yang terbaik dalam kawalan kita. Umpamanya, sehabis baik akan Rose lakukan untuk penuhi permintaan dan pesanan pelangga. Alhamdulillah tiada yang complain. Cuma yang diluar kawalan seperti servis kurier sebab kebanyakannya masalah yang timbul lebih kepada soal penghantaran. Bagi memastikan barangan diterima dalam keadaan baik dan selamat, Rose perlu kreatif dalam pembungkusan. Alhamdulillah, setakat ini pelanggan berpuas hati dan parcel diterima dalam keadaan baik dan selamat.
Komen Rose kalau ada yang berkata personal shopper ambil kesempatan 'untung atas angin' sepanjang PKP, komen?
Jika harga agak naik sedikit, kadang kala ada juga masalah untuk Rose dapatkan bekalan stok dari pengeluar. Ini kerana harga yang kami perolehi sudah meningkat dan melebihi daripada kadar yang biasa. Contoh mudah, seperti peniaga ayam di pasar. Kalau harga meningkat, bukan salah mereka sebenarnya (walau mungkin bukan semua peniaga sesuka hati menaikkan harga). Tetapi disebabkan harga yang ditetapkan dan apabila sampai ke tangan mereka sudah meningkat naik. Jadi Rose kurang bersetuju kalau ada yang berkata personal shopper ambil kesempatan atau sekadar mengaut untung atas angin semata-mata. Kami juga perlu tanggung kos-kos lain. Dan harga yang ditawarkan kepada pelanggan sebenarnya mengambil kira semua faktor. Jadi pelanggan ada pilihan. Kalau mahukan barang sampai di depan mata tanpa perlu keluar rumah, sudah pastinya ada sedikit kos yang perlu dibayar.
Kredit Foto: Rosmaliza Abdul Hamid
Cabaran dan kesukaran yang terpaksa dihadapi ketika PKP?
Kesukaran dalam tempoh PKP yang dirasai adalah proses pengambilan stok. Tapi walau sesukar mana sekalipun, ia masih boleh diatasi dengan menggunakan khidmat runner. Tapi cabaran paling besar adalah soal harga. Mungkin ramai yang tidak tahu, ada dalam kalangan pembekal mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati. Dan cabaran seterusnya adalah stok tidak mencukupi. Contohnya pada awal tempoh PKP, stok sanitizer amat terhad dan perlu menunggu lama untuk bekalan sampai ke tangan. Ia berlaku disebabkan masalah proses pengeluaran yang dihadapi pembekal kerana mereka terpaksa hentikan proses pengeluaran pada awal bermulanya PKP.
Harapan atau kata akhir daripada Rose?
Suami seorang usahawan dan apa yang membuatkan Rose bersyukur adalah dia tidak halang apa yang Rose ingin lakukan. Dia sering menasihati, jika nak lakukan sesuatu, carilah apa yang diminati. Dan Rose memang minat shopping. Lantaran itu, sebagai personal shopper Rose memang enjoy dengan apa yang dilakukan selama ini. Seperkara lagi ialah apabila barang yang dipesan pelanggan diterima dalam keadaan yang baik dan selamat. Itu juga menjadi kepuasan bagi Rose. Umpamanya walau bergelut dengan masa, tetapi saat pelanggan mengirim WhatsApp atau Telegram barang mereka selamat diterima; lega rasanya. Bukan senang mahu sempurnakan kepercayaan yang diberi pelanggan. Rose lihat ini semua sebagai tanggungjawab dan amanah yang perlu dilakukan dengan sebaik mungkin. Segala rungutan atau komen pelanggan, Rose akan cuba perbaiki dari masa ke semasa. Insya-Allah barulah berkat rezeki yang diterima.
Kredit Foto: Rosmaliza Abdul Hamid