Oleh: Afiza Kamarulzaman

Kredit foto: @afizakamarulzaman

Dalam sebuah mahligai cinta yang dibina, pasti mengangankan kehadiran cahaya mata sebagai pengerat antara keduanya. Namun, tidak semua ‘impian’ itu terbina dengan mudah. Doa yang dipohon, ada kala Tuhan pegang seberapa lama sebelum dilepaskan pada waktu yang tepat.

Ini kisah saya, yang melalui perjalanan yang panjang bersama suami untuk memiliki zuriat sendiri. Menulis pengalaman ini tidak semudah mendepaninya sendiri. Bacalah dengan lapang dada, jika ada kebaikannya untuk dijadikan kekuatan buat yang memahami…

A post shared by afizakamarulzaman (@afizakamarulzaman) on

Ambil berat, busy body atau doa?

Berkahwin awal, pada usia 23 tahun, saya merancang untuk punya anak seawal usia. Impian saya, biarlah anak itu apabila dewasa nanti, dapat saing sama ibunya bagaikan teman tak jauh usia. Lagipun, saya ingin menikmati sebanyak masa yang boleh bersama mereka.

Ya, ajal maut di tangan-Nya, namun tidak salah berangan-angan. Saya panjatkan doa agar dapat melihat mereka merangkak, bertatih, berjalan, berlari, ke tadika, ke sekolah rendah, menengah, menara gading dan bekerja.

Kemudian, berteman, bertunang, berkahwin, saya pula dihadiahi cucu dan mungkin cicit. Saya kepingin melalui momen itu dengan izin-Nya. Jadi, pada fikiran saya jika saya punya anak pada lewat usia, mampukah usia saya lanjut ke saat-saat itu? (pada pemikiran singkat seorang manusia normal).

Tahun demi tahun menunggu, akhirnya kami harus akui, ada ‘something wrong somewhere’ untuk pengharapan kami itu. Kesibukan kerja ada kala menjadi pengubat buat kami leka dengan masa yang berlalu.

Namun, tidak lama. Apabila pulang ke rumah, pasti ada terdetik rasa sunyi. Apatah, lagi soalan favourite kalangan teman dan saudara pastinya; “bila lagi?”, “anak berapa orang?”, “merancang ke?”, “tak pergi ikhtiar ke?”, “sibuk kerja ye?”

Eh, tapi jangan salah anggap! Bagi saya sendiri, tidak pernah sekali terasa hati dengan soalan-soalan ‘ambil berat’ itu. Ya, mungkin ada segelintir wanita yang senasib dengan saya akan berasa begitu tertekan atau tersinggung.

Namun, sungguh saya kata, saya tidak pernah langsung terusik apabila ditanya soal anak. Kerana, bagi saya itu menunjukkan mereka prihatin dan manalah tahu ada mulut-mulut yang bertanya itu mendoakan dari hatinya? Jadi, positif. Jangan cepat bersyak-wasangka apabila ada yang busy body.

~24032007~ 9th yrs of anniversary. Thanks Allah. A long journey. A lot of story. Happiness. Sadness. Fighting. Masam-Masam Manis. *ada mkn suap2??? #throwback #wedding #anniversary

A post shared by afizakamarulzaman (@afizakamarulzaman) on

Katakan Apa Saja Ikhtiarnya…

Berurut? Sudah tentu. Tidaklah seluruh pelusuk negeri saya tembusi untuk menyerah perut ini kerana suami sendiri tidak berapa gemar dengan rawatan tradisional sebegitu. Bukan tidak percaya, cuma katanya perlu juga ada waspada, bimbang lain yang ingin dirawati, lain pula yang jadi.

Namun, hati isteri yang sangat berkeinginan, diturutkan juga sekali-sekala. Adalah beberapa bidan dan tukang urut yang saya cuba rawatan mereka. Rata-rata mengatakan rahim okey, cuma ada sedikit masalah ‘tersumbat’.

Bagi saya, mungkin yang berkaitan dengan hormon. Jujurnya, saya mempunya masalah datang bulan yang tidak tetap. Pernah sekali, tidak datang hampir setahun! Badan naik mendadak. Stres jangan cakaplah.

Susah sama-sama susah, sakit sama-sama sakit. ???

A post shared by afizakamarulzaman (@afizakamarulzaman) on

Beberapa tahun setelah mencuba urutan, ubat-ubatan dan jamu, saya disarankan oleh seorang teman untuk mencuba rawatan Intra Uterine Insemination (IUI) yang lebih murah berbanding rawatan In Vitro Fertilization (IVF). Saya pernah membuat rawatan IUI di LPPKN.

Namun, keputusannyaa mengecewakan apabila telur saya tidak mampu diproduktifkan pada kadar yang sepatutnya. Masih terngiang-ngiang kata-kata doktor itu. “Rawatan puan berakhir di sini kerana telur tidak mungkin dapat disenyawakan. Baliklah. Cuba secara manual manalah tahu ada rezeki.” Hampa? Pulang dari klinik itu saya terus masuk ofis.

Destinasi pertama… ke tandas, dan apa lagi, menangislah. Hancur harapan bersama seribu lebih duit waktu itu (kos separuh jalan rawatan). Saya tidak menyambung rawatan IUI itu. Suami pun tidak mahu.

Saya teruskan kembali dengan rawatan alternatif seperti berurut, makan supplemen, jamu, buah zuriat dan pada masa yang sama cuba menurunkan berat badan. Seperti kata beberapa pakar, masalah berat badan juga antara penyumbang kesuburan.

Oh, sebelum itu, saya ada juga menemui doktor di HUKM untuk rawatan kesuburan. Pada rawatan awal, saya diberikan Clomid dan beberapa ubat subur lainnya (maaf, lupa nama ubatnya), untuk melancarkan kembali haid saya. Namun, ia membuatkan badan saya naik mendadak dan buat saya bertambah stres. Tidak sampai tiga kali janji temu, saya berhenti.

Ada juga yang menyarankan saya mengambil anak angkat. Bukan tidak mahu tetapi saya kata, nantilah. Suami pun tidak pernah mengeluh apatah lagi mendesak. Dan, seperti kata kebanyakan doktor dan bidan yang kami temui, kami masih muda dan masih ada banyak masa untuk berusaha.

Tidak mudah membesarkan anak orang seperti anak sendiri. Tanggungjawab dan amanah yang besar. Jika tersalah nawaitu, bimbang memakan diri dan kasihan kepada anak itu. Jadi, saya kata itu mungkinlah pilihan terakhir jika benar ditakdirkan kami tidak mampu punya zuriat sendiri.

Kredit foto: Afiza Kamarulzaman

Beberapa minit sebelum prosedur Embryo Transfer dilakukan. Suami agak gementar menemani.

Jemputan Ke Tanah Suci Mengusung Hajat

Walau terus diuji satu demi satu, rupanya Allah menyimpan hadiah lain sebagai ganti buat kami tersenyum gembira. Rezeki datang tanpa dirancang. Kami dijemput Sang Pencipta untuk ke tanah suci, Mekah.

Seruan umrah datang menjemput. Dengan persiapan serba ringkas dan saat-saat akhir, kami berangkat ke Madinah dan Mekah membawa doa yang pastinya semua pun tahu apakah kandungannya?

Kredit foto: Afiza Kamarulzaman

Tahun 2014, kami dijemput menunaikan umrah. Di Madinah, sempat mengutus doa di Raudhah dengan linangan air mata syahdu penuh rasa kerdil di bumi Allah.

Berat bagasi yang dipikul, berat lagi harapan yang kami bawa dari tanah air ke tanah suci itu. Jangan ditanyalah berapa kali kami mengangkat tangan memohon, merintih, basah kedua pipi, terduduk tertangkup di depan kaabah demi ‘memaksa’ doa kami itu diangkat setinggi-tingginya.

Kebetulan pula, rezeki kami pergi pada bulan Ramadan. Allahuakbar. Besar sungguh rahmat-Mu buat kami yang kerdil dan penuh dosa ini, dijemput pada bulan yang penuh barakah. Selain melakukan ibadah wajib, kami mengambil peluang besar dengan membanyakkan sedekah.

Pesan ustaz yang menamani, sebelum berangkat siap-siaplah duit kecil di dalam saku. Jika terdapat orang susah seperti tukang cuci di sana nanti, bolehlah dihulurkan. Ya, kami sahut saranan itu.

Setiap kali terjumpa dan berkesempatan menghulurkan wang, saya terus doa dalam hati, “Ya Allah, jika adalah pahala daripada sedekahku ini, kau gantikanlah dengan pemberian zuriat buatku dan suami.” Sebaik pulang ke tanah air, ada juga yang bertanya jika ada terjadi apa-apa yang ‘istimewa’ di sana?

Tidak pula terfikir apa-apa yang pelik. Semuanya berjalan lancar dengan izin-Nya. Cuma, yang menjadi ralat apabila buah zuriat dan delima yang saya beli di sana keciciran entah di mana.

Namun, tidak pasti adakah itu termasuk dalam peristiwa aneh? Kata orang yang selalu di sana, beg berisi makanan memang selalu hilang selepas check in. Entahlah…

Debaran menunggu jam 830am. Ya Khaliq...Ya Bari...Ya Musawwir...

A post shared by afizakamarulzaman (@afizakamarulzaman) on

Akhirnya, IVF Sebagai Penentuan

Beberapa bulan selepas pulang dari menunaikan umrah, saya dan suami akhirnya sepakat. Dengan rezeki yang ada, kami buat keputusan kemuncak dalam menjadikan impian ini satu kenyataan. Kami mahu melakukan rawatan IVF! Maka, pada bulan Februari 2015 kami memulakan rawatan itu.

Saya merujuk ke beberapa laman web untuk meninjau hospital fertiliti yang ada menawarkan prosedur tersebut. Puas mencari dan menimbang tara, akhirnya saya memilih Kuala Lumpur Fertility Centre (KLFC) sebagai pusat rawatan.

Selain perkongsian beberapa pasangan yang berjaya, lokasinya yang agak strategik dan boleh dikatakan hampir dengan rumah kami menjadikannya pilihan. Bagi saya, lokasi hospital juga harus diambil kira kerana selepas ini nanti, kami akan kerap berulang-alik untuk proses yang pastinya rumit dan berulang-ulang.

Kredit foto: Afiza Kamarulzaman

Sebahagian proses rawatan IFV yang memerlukan saya melakukan suntikan di rumah. Ini hanya sebahagian kecil kos rawatan yang dikenakan.

Ketika menghubungi KLFC, saya sudah nyatakan hasrat untuk memilih Dr. Natasha Ain sebagai doktor IVF saya. Selain kerana saranan seorang teman yang juga seorang doktor, saya memilih beliau juga atas faktor jantina. Agak selesa untuk saya bekerjasama dengannya kelak.

Setelah melalui proses pengenalan dan menjalani rawatan awal yang biasa, Dr. Natasha mendapati saya mempunyai masalah Polycystic Ovary Syndrome (PCOS) dan suami normal. PCOS dalam erti kata mudah; berkaitan masalah keseimbangan hormon. Saya memiliki banyak telur tetapi tidak berkualiti untuk menetas dengan baik.

Justeru, tidak hairanlah apabila saya selalu berdepan masalah datang bulan yang tidak tetap. Seterusnya, bermulalah episod kehidupan kami yang mula turun naik KLFC saban minggu dan bulan untuk meneruskan rawatan yang sudah diatur.

Percaya atau tidak, rawatan yang bermula pada awal Februari itu hanya berakhir pada Ogos selepas saya akhirnya dikhabarkan berjaya hamil! Begitu panjang perjalanan rawatan IVF saya.

Menurut Dr. Natasha, lain orang lain masalahnya dan berbeza pula proses yang dijalani. Lagi rumit masalah yang dihadapi, lebih panjang masa yang diambil dan lebih banyak proses yang terpaksa direntasi.

Namun bagi kami, jika sudah sampai ke tahap ini, setakat menunggu beberapa bulan itu, tidaklah menjadi apa. Kami redha dan berserah segalanya kepada Allah swt semoga hati kami terus kuat dan sabar melalui semuanya. Ubatan-ubatan, suplemen dan suntikan menjadi darah daging selama proses IVF itu.

Kredit foto: Afiza Kamarulzaman

Gambar imbasan si kecil ketika berusia enam bulan. Allahuakbar, besar sungguh kuasamu.

Pada masa yang sama juga, doktor menasihati saya untuk menjaga pemakanan agar dapat menurunkan sedikit berat badan. Alhamdulillah, berkat kesungguhan dan impian yang diburu sekian lama, turun juga beberapa kilo sepanjang waktu itu.

Antara prosedur penting yang masih saya ingat sepanjang rawatan IVF adalah OPU (Oocyte Pick Up), yakni proses telur diambil daripada dalam rahim. Ingat lagi, tepat jam lapan pagi pada tarikh 30 April 2015, kami sudah sampai di bilik rawatan.

Saya diberikan ubat pelali membuatkan saya tertidur sepanjang proses telur diambil. Telur akan diambil menggunakan jarum halus. Folikel-folikel matang yang mengandungi telur atau ovum itu akan disedut menerusi tebukan halus di lapisan atas faraj.

Tidak lama proses itu, lebih kurang 40 minit saya sudah terjaga dan keadaan agak mamai sehinggalah saya dibenarkan pulang usai rawatan. Oh, pada hari yang sama juga suami diminta untuk memberikan sampel spermanya.

Pakar embrio kemudiannya mempersenyawakan sperma suami dan ovum saya yang diperolehi tadi. Saya dimaklumkan sebanyak 20 biji telur berjaya diambil, namun itu tidak menjamin bahawa semua telur itu mampu survive selepas disenyawakan dengan sperma.

Beberapa hari selepas itu, saya diberitahu hanya tiga embrio berjaya survive. Dan disebabkan saya mempunyai masalah PCOS, doktor tidak menyarankan saya melakukan proses embryo transfer dalam masa terdekat itu.

Harus menunggu sekali pusingan haid untuk saya membawa masuk embrio tersebut ke dalam rahim. Justeru, ketiga-tiga embrio itu terpaksa dibekukan dan akan dicairkan semula selepas waktu yang saya sudah sedia untuk lakukan. Hebat bukan teknologi sekarang!

Kredit foto: Afiza Kamarulzaman

Sudah siap sedia untuk melakukan proses pemindahan embrio. Sebelum embrio dikeluarkan, doktor bertanyakan nama untuk memastikan embrio itu benar-benar milik ibunya.

Memandangkan waktu itu sudah menghampiri bulan Ramadan dan kemudian Syawal, saya mengambil keputusan untuk menangguhkan proses Embryo Transfer selepas hari raya sahaja. Dan, hanya pada 13 Ogos 2015, barulah saya menjalani proses memindahkan dua embrio saya itu ke dalam rahim.

Manakala, lagi sebiji embrio terus dibekukan untuk penggunaan masa akan datang. Waktu itu Tuhan saja yang tahu perasaan saya. Suami dibenarkan untuk menemani sepanjang proses pemindahan dan saya lihat dia duduk agak jauh (katanya dari awal lagi, dia nervous), sambil mulutnya berkumat-kamit berdoa.

Alhamdulillah, prosesnya tidak menyakitkan dan berlangsung dengan pantas. Sempat juga saya melihat Dr. Natasha berdoa usai proses permindahan itu dilakukan. Saya diminta berehat seketika sedangkan waktu itu rasa hendak membuang air kecil yang amat sangat. Maklumlah, sebelum proses pemindahan tadi, saya diminta minum sebanyak mungkin air putih.

Proses pemindahan embrio tidak menyakitkan. Cuma, pesan Dr. Natasha tempoh hari, jika berlaku sebarang komplikasi, lekas-lekas ke hospital. Saya yakin tiada apa-apa yang merisaukan. Dan, tiga hari selepas prosedur itu, saya dan suami ke Melaka mahu menziarahi mak saudara.

Sesekali penat jd org KL, pulanglah ke kg sebentar. Menjenguk kekanda2 arwah Mak yg tinggal hanya berdua (umur pun dah 80). Jgn nanti dikata lupa asal usul. Santapan air tgn org tua walau dihidang atas tikar berlainan pinggan tetap btambah nasinya. Alhamdulillah, walau tak brapa sihat, mimpi arwh Mak tempoh hari memaksa diri utk pulang juga. Dpt pula rasa gulai lemak bunga durian!

A post shared by afizakamarulzaman (@afizakamarulzaman) on

Di sana, saya disajikan lauk-lauk kampung yang sangat menggoda selera termasuklah gulai lemak bunga durian. Pertama kali melihatnya, pasti saya mahu mencuba. Saya makan sedikit dan kemudian pulang semula ke Kuala Lumpur malam itu. Pada jam 1.30 pagi, ketika sedang tidur, tiba-tiba saya terasa sakit perut yang amat sangat.

Mula-mula, sekadar terasa angin memusing. Saya cuba bertahan lagi. Namun, apabila sampai ke tahap dada mula rasa sesak, saya kejutkan suami. Saya katakan kepadanya saya sudah tidak tahan.

Suami cuba urut-urut belakang saya tetapi ia langsung tidak membantu. Saya tidak mampu berdiri atau duduk. Hanya merukuk di atas katil. Akhirnya, kami berkejar ke Hospital Pantai, Bangsar.

Disebabkan Dr. Natasha sudah memberi peringatan, jika ada apa-apa sila ke Hospital Pantai, jadi mudah urusan kami waktu itu kerana semua rekod perubatan sudah diketahui.

Setelah diperiksa, diambil urin, darah dan sebagainya, saya diberi ubat dan minta berehat untuk beberapa jam di situ. Doktor sendiri tidak pasti adakah ia berpunca daripada proses OPU atau kerana makanan yang saya makan semalam. Apa pun, pengalaman itu sangat memberi makna.

Aali Luthfi bersama doktor IVFnya, Dr. Ain Natasha. Walaupun rawatan kami berbayar, tetapi jasa dan budi Doc melebihi dari apa yg telah kami belanjakan. Terima kasih atas kesungguhan Doc sepanjang rawatan, kata2 nasihat & segala panduan yg diberi sehingga usaha kita dimakbulkan Allah swt. Insyallah, ada rezeki jmp lagi. Aali Luthfi dah ada adik tunggu dlm frozen lab. Hahaha... Oh, teknologi! #AaliLuthfi #ivfbaby #ivfjourney

A post shared by afizakamarulzaman (@afizakamarulzaman) on

Ya Khaliq, Ya Bari, Ya Musawwir…

Antara nasihat Dr. Natasha sepanjang tempoh menunggu hasil pemindahan embrio itu, banyakkan berehat untuk tempoh sehari dua tetapi tidak perlu sampai terlantar di atas katil sahaja (bed rest).

Oh, baru saya tahu rupa-rupanya maksud bed rest itu bukan bererti, kita sampai tidak boleh turun dari katil. Boleh sahaja, cuma hadkan pergerakan. Tambahnya lagi, elakkan tekanan dan sentiasalah berfikiran positif.

Hubungan intim harus dielakkan sehingga keputusan IVF diketahui, kurangkan pengambilan kafein, minum banyak air putih dan seeloknya jauhi makan nenas dan betik. Teruskan mengambil ubatan-ubatan yang disarankan beliau.

Paling penting katanya lagi, mohonlah doa kepada yang Maha Berkuasa dan amalkan zikir seperti Ya Kaliq (Maha Pencipta), Ya Bari (Maha Perancang), Ya Musawwir (Maha Pembentuk) 100 kali setiap zikir.

Sepanjang tempoh berehat itu, memang tidak dinafikan agak ‘memeritkan’. Kamu seolah-olah dipenjarakan di dalam rumah sendiri. Walaupun, masih boleh bergerak, namun apa perasaannya kala kamu mahu berjalan, kamu harus sentiasa ingat ada sesuatu yang ‘berharga’ di dalam rahimmu.

Saat kamu menunduk, kamu tahu ada sesuatu yang ‘bernilai’ sedang cuba survive di dalam perut itu. Maka, serba-serbi tidak kena. Saya mengambil jalan selamat dengan hanya melakukan kerja-kerja ringan. Bersolat pun duduk di atas kerusi.

Semoga Allah terima ibadah saya waktu itu. Dan ya, itulah yang saya amalkan sepanjang tempoh ‘berehat’. Berdoa, berzikir, dan memohon hanya kepada-Nya. Tidak ketinggalan juga melakukan solat taubat, solat hajat dan solat tahajjud. Sebolehnya suami turut sama melakukannya agar isteri rasai sokongan dan kerukunan itu.

1st shopping trip for unborn baby ? *saya sebenarnya sedih tak dpt dress merah yg diimpikan---sold out! ???

A post shared by afizakamarulzaman (@afizakamarulzaman) on

Pelihara Kucing, Sedekah, Layan Anak Kecil

Oh, sebelum itu, ingin juga saya kongsikan beberapa amalan baik yang mungkin boleh saya kongsikan bersama pasangan lain. Sebelum melakukan rawatan IVF itu juga saya ada membela kucing. Kata orang, elok bela kucing sebagai pendekat rezeki.

Namun, niat kami membela sebenarnya lebih kepada mahu mengisi kekosongan di dalam rumah. Adalah juga teman bermain bagaikan anak kecil. Menariknya, pada satu peristiwa, kami membawa balik seekor kucing betina pemberian teman.

Beberapa minggu selepas itu, kami dikejutkan dengan kehadiran dua ekor anak kucing yang tiba-tiba dilahirkannya tanpa kami sedari rupanya kucing itu sedang bunting ketika kami mengambilnya. Saya bisik kepada suami, apalah petanda ini? Moga-moga ia membawa khabar yang gembira buat kita.

"Kami adik-beradik. Kdg kami gaduh, kdg kami baik, kdg kami rebut brg, kdg kami sharing is caring. Cuma kalau kami terkurung dlm laci kami tak mampu nak selamatkan each other" -Tarra & Terry #mypet #meow #cats #sibling

A post shared by afizakamarulzaman (@afizakamarulzaman) on

Saya juga percaya dengan bersedekah mampu memberikan 1001 kebaikan dan rahmat yang tidak terhingga. Berniatlah selalu di dalam hati, jika ada pahalanya ya Allah, tunaikanlah perminatan aku. Jamu orang makan juga sesuatu yang selalu kami amalkan.

Berilah makanan terbaik kepada orang yang ingin dijamu agar mereka rasa gembira dengan kekenyangan yang dinikmati itu. Jangan lupa juga gembirakan anak kecil hatta dengan hanya memberi sebiji gula-gula atau sekeping not seringgit.

Jangan malu untuk meminta mereka mendoakan hajat kamu kerana waktu ini hati mereka masih suci bersih dan pastinya apa sahaja yang mereka mohon, tiada hijab untuk doa itu.

Ready for 2nd raya! #2syawal #kosongkosong #kukuhkanukhuwah #inikanraya #hangatnyaraya #jinggamanis

A post shared by afizakamarulzaman (@afizakamarulzaman) on

Saya juga masih ingat, beberapa hari sebelum menjalani proses IVF, saya memohon maaf kepada seberapa ramai orang yang boleh terutamanya adik-beradik, dan kenalan rapat.

Saya mohon mereka doakan saya. Saya tidak pasti jika ada yang suka untuk merahsiakan tentang rawatan IVF ini atas alasan malu? Bagi saya, tiada apa yang ‘kotor’ tentang menjalani rawatan IVF. Ia halal dan tidak perlu juga malu untuk mengkhabarkannya kepada orang.

Dan mintalah orang-orang itu mendoakan. Manalah tahu, antara banyak-banyak doa yang dipanjatkan, ada satu dua yang Allah kabulkan atas keikhlasan mereka? Semua ini rahsia yang di atas sana. Jadi, berlapang dadalah untuk menerima perjalanan hidup yang sudah ditentukan ini.

Siapa agaknya kamu 'Nak' yg menjadi pilihan Tuhan utk mengisi ruang itu?

A post shared by afizakamarulzaman (@afizakamarulzaman) on

Hari Yang Paling Mendebarkan

Tepat tempoh masa yang ditetapkan selepas proses pemindahan embrio; ujian urin.. Malam sebelum tanggal 25 Ogos 2015, saya akui saya tidak mampu lelapkan mata. Jantung berdebar-debar Tuhan saja yang tahu. Keputusan IVF akan saya ketahui menerusi ujian urin esok pagi.

Namun, pada jam lima pagi, saya sudah bangun dan ke tandas. Awal-awal lagi saya sudah beli pregnancy test untuk saya buat sendiri di rumah. Saya tidak mampu memujuk hati untuk bertahan. Tidak mampu mengawal rasa ingin tahu selekasnya.

Saya mahu huraikannya secepat yang boleh. Tak tertahan menanggung debar dan sesak di dada. Suami masih tidur di sebelah dan saya bangun perlahan-lahan pada subuh itu. Usai solat hajat, saya ke tandas dan melakukan sendiri ujian air kencing. Saya tutup mata rapat-rapat.

Air mata bagai mahu meluncur sekarang, walau keputusannya belum pasti. Beberapa detik saya tunggu. Saya letak pregnancy test itu jauh sedikit. Saya jelling dari hujung anak mata.

Bergerak sedikit dan sedikit dan kemudian… Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar! Saya angkat pregnancy test itu. Saya renung dekat-dekat. Inilah pertama kali saya lihat ada dua jalur setelah puluhan cubaan saya lakukan sebelum ini memberikan hasil hanya satu jalur.

After almost 9yrs of waiting and uncountable tests. Im blessed. Thank You Allah. Lama saya bfikir sblm nak share benda ni. Sekadar mahu bkongsi kgembiraan dgn org yg telah mdoakan saya. Mohon lanjutkan doa itu shingga slmt ke akhirnya ya. *dlm perjalanan yg berduri itu pasti ada penawar di hujungnya. Insyallah... Amin... #3months #pregnantlife #ivf

A post shared by afizakamarulzaman (@afizakamarulzaman) on

Saya pegang kemas-kemas pregnancy test itu. Bimbang kalau-kalau merosakkannya nanti (fikir saya). Saya keluar dari tandas. Kembali ke katil. Saya kejutkan suami. Saya kata saya sudah buat. Dia tanya buat apa? Saya tunjuk pregnancy test itu. Dia soal apa ni?

Saya kata dua jalur. Dia tanya lagi, maksudnya? Saya kata, “SAYA PREGNANT!” Terus hilang riak ngantuk pada wajahnya. Dia senyum lebar dan paling manis waktu itu. “Jomlah siap!” Ujarnya. Kerana kami harus ke hospital untuk melakukan pengesahan menerusi ujian urin dan bacaan darah.

Agak lucu, pada jam 7.30 pagi kami sudah tiba di perkarangan hospital. Saya kata kepada suami, jangan beritahu sesiapa lagi ya. Janjinya ya, tetapi rupanya ketika keluar subuh tadi, dia sudah beritahu kawan dan kakaknya. Hermmm…lelaki susah nak percaya ya.

Selepas jururawat menjalankan ujian urin, jawapannya juga sama positif cuma perlu menunggu keputusan darah yang hanya boleh diketahui petang nanti. Jadi, kami pun pulang dahulu. Dalam hati masih berbelah bahagi.

Bimbang juga kalau keputusan urin itu kurang tepat kerana hanya keputusan darah yang mampu memberikan keputusan paling nyata. Dan, kira-kira jam 12 tengah hari, jururawat tadi menelefon saya dan mengutuskan khabar paling bahagia, “tahniah ya puan, puan confirm hamil.

Bacaan darah lebih dari 100.” Tidak mampu saya ukirkan dengan tulisan ini tentang bagaimana perasaan saya waktu itu. Hanya Allah yang lebih tahu rasa itu, satu rasa yang sangat menakjubkan.

Kredit foto: Afiza Kamarulzaman

Indah Sungguh Aturan-Nya

Hari demi hari, minggu demi minggu dan bulan berganti bulan. Saya lalui detik itu dengan satu lagi jiwa lain yang ada dalan rahim ini. saya hebahkan kepada ahli keluarga terdekat dan teman-teman rapat terlebih dahulu.

Ingin saya kongsi rasa ini kepada dunia. Bukan terlalu taksub tetapi rasa takjub dengan kebesaran Allah. Betapa indah rahmat-Nya kepada kami memakbulkan doa yang selama ini dipegang erat dan hanya dilepaskan pada waktu yang benar-benar pasti.

My first kiss for Aali Luthfi. Benarlah kata org tiada apa yg dpt menandingi pengorbanan seorang ibu. Percayalah tiada lelaki yg mampu lakukannya. Ketakutan diusung ke blk bedah bt saya tfikir kenapalah saya bt semua ni? Namun, keinginan nak tatap wajah anak sdiri, nak hadiahkan waris kpd suami dan mahu adanya syurga di bwh tapak kaki ini menguatkan diri. Alhamdulillah tanggal 22 April 2016, Jumaat, jam 9.44am lahirlah dia; tangisan plg merdu yg pernah saya dgr. Terharu. Dramatik. Tmbh2 waktu dgr azan suami ke telinganya. Saat nurse hulur dia ke atas dada, ciuman pertama ke pipinya. Terasa lembut kulitnya...wangi mulutnya... Inilah kamu yg kami nanti. Tidak byk yg kami minta, hanya jadilah anak yg baik, anak yg baik dan anak yg baik. Finally, i can wish this for myself....Happy Umi's Day for me & for all great moms in the world ❤️ #AaliLuthfi #ivfbaby #miraclebaby

A post shared by afizakamarulzaman (@afizakamarulzaman) on

Alhamdulillah pada tanggal 22 April 2016, jatuh pada hari Jumaat penuh bakarah, lahirlah permata hati kami, Aali Luthfi. Tangisan pertamanya pada pagi itu tidak mungkin dapat saya dan suami lupakan.

Tangisan paling merdu, paling manis menusuk terus ke jiwa saya yang sudah bergelar ibu dan suami yang memangku tanggunjawab sebagai bapa. Lama Nak. Sembilan tahun umi dan abi menunggu, baru kini dapat menyentuh tanganmu, menguis pipimu, mencium dahimu, memeluk erat tubuhmu. Terima kasih ya Allah atas hadiah dan peluang ini.

"Hai, assamualaikum semua! Nama saya Aali Luthfi. Sebab Ummi saya skrg busy, saya kenalkan diri saya sdiri ya. Hari ni Jumaat kedua saya tgk dunia. Seronok tgk Ummi & Abi senyum sambut saya lps 9tahun tunggu. Ummi tanya kenapa lama sgt saya duduk di atas sana? Saya kata sbb 'penjaga' saya tahu Ummi mampu diuji. Ummi pesan saya jgn kemana2 lagi. Saya kata sampai ke syurga saya temani Ummi. Insyallah... Love both of you Ummi & Abi. Terima kasih kerana sabar menanti..." #AaliLuthfi #mybaby #ivfbaby #miraclebaby

A post shared by afizakamarulzaman (@afizakamarulzaman) on

Doa kami kepada pasangan di luar sana yang masih menunggu anugerah ini, semoga Allah lepaskan ikatan doa itu pada waktu yang paling tepat untuk kalian. Teruslah berdoa, berharap dan berusaha.

Andai kata tiada juga rezeki itu di sini, yakinlah ada ganjaran paling agung menunggu kalian di alam sana nanti. Hanya itu yang mampu saya utuskan buat memujuk hati kalian. Sabar dan bertabahlah…

A post shared by afizakamarulzaman (@afizakamarulzaman) on

A post shared by afizakamarulzaman (@afizakamarulzaman) on