Berbuat baik sesama suami isteri sememangnya dituntut dalam memastikan kerukunan rumahtangga sentiasa terpelihara. Isteri menghormati suami, suami menyayangi isteri maka bertimbal baliklah hendaknya. Insya-Allah pasti sejahtera seisi keluarga. Dan berbicara soal rezeki dalam rumahtangga, sebenarnya bukan bergantung kepada doa dan usaha kita semata-mata. Tetapi ia terlaksana menerusi perbuatan kita. Bagaimana suami melayani isteri, bilakah kali terakhir suami menghadiahkan sesuatu kepada isteri dan sebagainya.


Bahagiakan Isteri Juga Salah Satu Punca Rezeki Suami

Tidak susah untuk menggembirakan hati isteri. Malah para isteri juga maklum dengan kemampuan suami masing-masing. Baik daripada segi wang ringgit, harta dan sebagainya. Dah lama kahwin kan, pastilah ‘masak’ benar bila masanya suami kering duit poket, bila duit suami mengalir deras macam air terjun dan lain-lain. Apa yang penting adalah persefahaman. Tetapi percayalah, walau sedikit yang ada dengan menggembirakan hati isteri pasti Allah hadirkan rezeki suami. Dari mana? Hanya Dia sahaja yang Mengetahui. Bagaimana cara bahagiakan isteri yang dimaksudkan?
Kredit Foto: Google
  1. Hadiahkan Isteri
Tak perlu yang mahal-mahal, memadai dengan kemampuan suami. Yang penting tak perlulah sampai berhutang atau meminjam sana sini. Jika mampu berikan sehelai baju, tudung dan seluar yang dibeli di pasar malam sekalipun; jika ia hasil daripada duit yang halal; yakinilah Allah akan melipatgandakan rezeki suami yang berbuat kebajikan kepada isterinya. Sekali gus membuatkan isteri berasa dirinya dihargai. Beri kejutan hadiah kepada isteri, Allah akan ‘surprise’kan dengan rezeki buat kalian. Lagipun, bukan untuk orang lain. Isteri anda juga.


Kredit Foto: Google
  1. Bantu Uruskan Kerja Rumah
Usai pulang ke rumah dari tempat kerja, kadang-kadang isteri tak sempat salin baju dan bersihkan diri. Terus ke dapur ‘kelentang keletung’ itu dan ini. Apa peranan suami? Bantulah uruskan anak-anak. Mandikan dan siapkan mereka. Atau mungkin boleh kemas ruang tamu yang bersepah dengan alat mainan anak-anak. Selesai saja memasak, pasti tenang hati isteri melihatnya.


Kredit Foto: Google
  1. Bawa Isteri Keluar
Percayalah, bukanlah isteri mahu minta yang lebih. Kalau dapat keluar pergi kedai atau pasar malam sahaja pun sudah memadai. Hatinya sudah berbunga dan segala kekusutan bagaikan hilang begitu sahaja. Beri ruang dan masa untuk isteri keluar seketika daripada duduk terperap di rumah, pasti energinya bisa dipulihkan. Malah seisi rumah akan kembali ceria dan gembira.

Kredit Foto: Google
  1. Sesekali Bawalah Pergi Bercuti
Kalau isteri sedang leka ‘scroll’ Booking.com, Agoda dan lain-lain aplikasi tempahan hotel tu, faham-faham sajalah ya. Malah banyak tawaran menarik dengan harga terbaik musim sekarang. Suami hanya perlu lakukan sedikit ‘effort’ saja. Kalau tak mahu terbeban dengan sejumlah wang yang banyak untuk dikeluarkan, bolehlah kumpul duit sedikit demi sedikit. Atau sediakan tabung bercuti lebih awal.

Lebih baik sebelum isteri minta, suami terlebih dahulu menghulurkan sesuatu. Tidak kiralah sama ada besar atau kecil, isteri takkan sekali menolak hadiah pemberian suami. Mahal atau tidak itu soal lain. Kerana isteri akan lebih menghargai pengorbanan suami yang bersusah payah menghadiahkannya walau apa jua bentuk sekalipun.

Jika para suami berasa sempit, periksa balik hubungan kalian dengan isteri. Bila kali terakhir kalian bahagiakan dia? Rasa bahagia yang buat dia tersenyum sepanjang hari dan mampu melupakan seketika masalah yang ada. Takkan pernah rugi andai suami bahagiakan isteri kerana disebaliknya ada keberkatan dan rezeki yang Allah redai. Begitu juga isteri, selalulah berbuat baik dan hargai apa jua yang dilakukan suami. Barulah rumahtangga kekal harmoni.