Ramai usahawan sekarang memilih perniagaan tudung sebagai cabang membiakkan perlaburan. Selain daripada permintaan yang deras, ia juga lebih mudah untuk diselenggarakan berbanding produk lain yang lebih rumit. Namun, kebanyakan peniaga yang berjualan tudung ini terdiri daripada kaum wanita.


Uniknya untuk label DivaScarf ini pula, ia adalah cetusan idea daripada seorang anak muda berjiwa besar. Mungkin ada yang kata, bolehke lelaki jual tudung? Bagaimana orang nak percaya jika si pemilik sendiri tidak menggayakannya? Apatah lagi orang kita suka melihat penjualan melalui contoh si pemilik sendiri.


Saya melihat sendiri kegigihan anak muda bernama Hafiz, 32 ini. Dari dulu lagi, ketika belum punya apa-apa, dia sentiasa menzahirkan impiannya, sentiasa melihat ruang positif yang diyakini mampu diisi dengan kejayaan tanpa menoleh ke belakang. Dan, ternyata, dia mengotakan apa yang dia dambakannya pada hari ini.








Bagaimana mula berjinak-jinak dengan industri hijab ini?

Sebenarnya minat ini terpupuk sejak saja mula bekerja dengan Datin Norjuma Habib. Siapa tidak kenal tudung bawal Mogul ini. Pemilik jenama tudung bawal nombor satu Malaysia! Selama lima tahun saya berkhidmat untuk beliau dan banyak saya yang belajar daripadanya daripada pekerjaan bawahan hinggalah ke bahagian pengurusan teratas. Saya tidak segan untuk menyatakan bahawa Datin Norjuma telah membuka mata saya tentang perniagaan ini.




Bagaimana terbinanya jenama tudung anda ini?

Saya tak nafikan saya seorang yang bercita-cita tinggi. Dalam pada bekerja dengan orang, saya terfikir juga sampai bila mahu makan gaji? Saya juga teringin untuk mencabar diri saya, adakah saya mampu buat sesuatu yang lebih baik daripada apa yang saya ada waktu itu? Ya, saya mahu keluar dari zon selesa semata. Usaha menubuhkan jenama ini, bermula dari bawah. Selepas berhenti kerja, saya mengambil langkah untuk membuka sendiri akaun Instagram, Facebook dan mengumpul peminat tudung. Saya ajak dua teman sekerja saya iaitu Faizah Ishak dan Faiizah Ahmad Sobri untuk turut serta memandangkan waktu itu, mereka juga mahu mencari ‘angin baru’. Maka, kami pun bersatu dan saling berbagi tugasan. Bermula daripada rekaan sehinggalah penjualan, semua dibuat sendiri.









Bagaimana anda yakin untuk mencuba industri ini walaupun ia dipelopori oleh kaum wanita?

Bagi saya, jantina bukanlah ukuran kejayaan sesuatu label itu. Ketika saya bekerja makan gaji lagi, saya belajar sesuatu yang penting dalam perniagaan iaitu pengurusan yang baik dan pasukan yang hebat adalah batu asas kepada kejayaan sesuatu bisnes. Jangan tak tahu, hijab boleh menjadi industri jutaan ringgit.



Besar potensi, besar juga saingan, bukan? Bagaimana anda melihat market bisnes tudung untuk beberapa tahun akan datang?

Percayalah, bisnes tudung akan kekal relevan sampai mati! Selagi kita berpegang pada hukum menutup aurat itu wajib dan ia perintah daripada Yang Maha Esa, selagi itulah permintaan terhadap tudung ini akan berterusan. Tanpa permintaan, tiadalah perniagaan. Yang penting, kita mesti tahu selera dan kehendak pelanggan dan sentiasa berada di paksi yang kukuh. Saya juga sentiasa percaya bahawa rezeki itu adalah ketentuan Dia yang di atas sana. Selagi kita berusaha, pasti ada cara dan habuannya.



Bagaimana untuk kekal dalam trend?

Kekal dalam trend itu sangat subjektif. Apa trend pilihan awak? Itu yang menjadi kekuatan DivaScarf. Kami punya pengikut tersendiri yang sentiasa mahukan corak yang berbeza dalam sesuatu tudung. Bagi mengekalkan trend, kami percaya dan mengikut pada kehendak pelanggan. Selagi pelanggan suka, trend kekal ada. Sebagai peniaga dan pereka, kita tidak boleh syok sendiri.









Kongsikan prinsip yang menjadi pegangan hidup anda?

Hidup kena laju, pantas! Buat semua benda dengan laju, pasti urusan menjadi mudah. Ke duanya, dalam hidup ini kena ada sikap ‘chill’ dan tidak mengambil sesuatu perkara itu secara negatif, dalam erti kata lain, jangan ambil hati sangat. Life is too short to be bitter, betulkan?




Cabaran terbesar dalam membina jenama sendiri?

Siapalah kita nak bina jenama sendiri? Hahaha.. Jujurnya, apa saja yang kita lakukan pasti disulami cabaran dan ujian. Itu lumrah kehidupan, barulah ada warna dan percanya. Jika, jalan kita lurus saja pun pasti membosankan. Apa pun, ambil semua cabaran itu sebagai pemanis dalam hidup ini, pasti kita akan redah saja apa yang ada di depan sana. Paling penting, percayalah pada rezeki dan jual benda berkualiti. Pasti akan ada yang setia dan sentiasa ternanti-nanti.