Highlights

Taknak Kalah Dan Tak Boleh 'Blah'! Moga Dijauhkanlah Berjiran Dengan Orang Yang Macam Ini.

gempak
Huda Hussain
17/09/2020
12:45 MYT
Sponsor Banner
Taknak Kalah Dan Tak Boleh 'Blah'! Moga Dijauhkanlah Berjiran Dengan Orang Yang Macam Ini.
Sibuk Dewi mengajak Raden menemaninya pergi melihat rumah contoh nun di Elmina Pavilion, Shah Alam. “Temanlah aku Raden, Sham datang tapi lewat sikit. Dia suruh aku pergi dulu tengok-tengok,” ujar Dewi di hujung talian. Ikutkan hati, malas Raden nak ke mana-mana tambahan pula hujung minggu begini. Tapi dek kerana kakak kesayangan beria-ria mengajak, Raden gagahkan jua. Sanggup dia memandu dan menjemput Raden di rumah lantas kami sempat bersarapan ala-ala Inggeris di The Loaf. Selesai sarapan, BMW 3 Series Dewi memecut laju melintasi lebuhraya dan sepanjang perjalanan, soal rumah sahaja yang diborakkan. Bermula daripada perabot hingga sekecil-kecil item bilik mandi semuanya dikupas satu persatu.
“Banyak duit kau dan Abang Sham eh hingga mampu beli rumah kedua,” komen Raden melihat kemampuan kewangan mereka yang gemar membeli rumah untuk dijadikan aset pelaburan. “Ukur badan sendiri Raden. Lagipun Sham aktif bab-bab nak beranakkan duit ni. Ada aje melabur sana, saving sini dan yang lain-lain tu hasil daripada projek kecil-kecil yang kami buat. Bukanlah kaya mana sangat pun setakat mampu hidup selesa saja. Nak mewah lebih-lebih tak mampu,” jelas Dewi panjang lebar.
Kredit Foto: Google
Tatkala kereta Dewi memasuki kawasan perumahan Elmina Pavilion, selamba Raden bersuara, “Tak mewah kata kau Dewi? Aku tengok rumah contoh ni pun dah boleh agak berapa anggaran kasar harganya,” disambut dengan ketawa kecil Dewi. “Orang berduit aje yang mampu duduk sini Dewi termasuklah macam kau dan Sham,” sambung Raden lagi kala melihat kereta-kereta import sahaja yang memarkir kawasan sekitar rumah contoh. Mungkin dek kerana hujung minggu, ramai bakal pembeli yang mengambil kesempatan untuk melihat rumah contoh dan tak kurang juga yang datang dengan bank draf untuk membayar wang pendahuluan bukti pembeli berminat untuk memiliki rumah tersebut. Mengambil kira lokasi strategik yang berhampiran dengan stesen komuter Seremban selain Sham yang dinaikkan pangkat dan perlu berpindah ke Seremban menyebabkan mereka memilih untuk menetap disini. “Habis rumah di Ara Damansara dengan kondo Bukit Jalil tu nak jualkan ke”? soal Raden sekadar ingin tahu perancangan mereka. “Sayang kalau jual, lagipun dah habis bayar jadi kami sewakan aje, adalah income ekstra sikit buat belanja dapur,” ujar Dewi berseloroh. “Duit sewa rumah kau buat belanja dapur aje Dewi? Mewah sungguh kakak aku ni rupanya,” komen Raden lagi.
Saat kaki ingin melangkah ke ruang dapur, terlihat kelibat suami Dewi, Sham dan Raden biarkan sahaja mereka berbual sama ejen hartanah dan wakil pemaju di ruang tamu. Terdetik di hati kecil Raden, kalaulah aku ada duit berkepuk-kepuk macam rambut wanita depan mata aku ni, rumah macam ini senang-senang aje boleh beli. Bungkus, ikat tepi! Namun itu hanyalah anganan semata sambil nak feeling lagak orang ada-ada kala melihat segenap ruang di dalam rumah ini. Dewi memilih rumah kembar dua, dua tingkat. Cukup elegan dan sempurna dengan gaya mereka suami isteri. Entah kenapa, Raden rasakan ada aura memanggil yang seakan ‘mendesak’ mereka agar memiliki rumah ini. Cuba untuk memejam sebelah mata kala Raden melihat sepintas lalu harga yang ditawarkan pemaju untuk rumah ini. Bermula pada RM800,000 Raden hanya mampu menelan air liur sahaja. Tak terjangkau berapakah aset sebenar kakak dan abag ipar Raden ini. “Itu belum masuk segala perabot, katil, karpet, chandelier, pasu bunga, mega dan pelbagai lagi kelengkapan rumah, mesti cecah RM2 juta kalau tambah semua,” Raden berkira-kira dalam hati.
Kredit Foto: Google
Itu rezeki Dewi, bersuamikan orang biasa namun otaknya ada sahaja idea untuk ‘beranakkan’ duit berbekalkan kemahiran dan kepakarannya dalam bidang kewangan. Tidak pernah berlagak jauh sekali nak menunjuk-nunjuk kekayaannya, Sham Raden sifatkan sebagai seorang yang suka merendah diri dan aktif dalam kerja-kerja amal dan kebajikan. Mungkin perihal itu berkat rezekinya bertambah dari hari ke hari. “Bilik ini untuk Ummi dan Abi, senang dekat dengan tandas dan tak perlu ke tingkat atas,” kata Sham kala melihat bilik bahagian bawah. “Itupun kalau dia nak tinggal dengan kita. Puas dah pujuk, susah sungguh nak stay permanently dengan kita B,” ngomel Dewi merujuk kepada kedua ibu bapa kami yang enggan meninggalkan rumah di kampung untuk tinggal dengan Dewi.
Asyik dan ralit kami melihat setiap inci dan sudut di dalam rumah contoh itu, tiba-tiba Dewi disapa seorang wanita. “Eh, you pun datang sini juga? Nak berjiran lagilah nampak gayanya ni. Macam tiada orang lainkan Yang, asyik-asyik terserempak dengan you all aje,” ujar wanita yang sangkaan Raden hampir sebaya dengan Dewi. Mimik mukanya angkuh dan seolah mendabik dada bangga untuk membeli rumah ini seperti Sham dan Dewi. Dengan riak wajah bangga, spontan Dewi membalas “We all pun mampu juga nak beli dan tinggal di rumah macam ni, bukan you seorang saja Iza” jawab Dewi sinis. Hati Raden mula berteka-teki mengapa Dewi yang pada hemat Raden cukup lembut tutur budi bahasanya melontarkan kata-kata dengan angkuh sedemikian rupa. Melihat raut wajah Iza Raden rasakan seperti pernah bertemu dengannya sebelum ini tetapi tidak pasti di manakah lokasi dan bila waktunya. “You all lainlah Iza, Mail. Saving berkepuk-kepuk. Pergi melancong oversea memanjang. Berkereta pula buatan Eropah, manalah kami mampu nak saing. Agaknya setakat rumah macam ni celah gigi kau saja kot Mail,” celah Sham pula dengan nada merendah diri sambil mencuit bahu Mail. Atau mungkin juga mahu meredakan suasana yang sedikit tegang sebentar tadi.
Kredit Foto: Google
Masih lagi berlarutan drama masing-masing nak up dan tak mahu kalah itu, Raden mengundurkan diri dan pergi ke tingkat atas untuk melihat keluasan dan dekorasi setiap bilik. Terpacul jua wajah Dewi yang rengsa dengan wanita tadi masuk ke bilik utama di tingkat atas. “Siapa tu Dewi”? soal Raden ala-ala kak nam. “Takkanlah kau tak ingat Raden? Si Iza jiran sebelah rumah aku tu. Yang berlagak tak ingat langit tinggi rendah tu,” jawab Dewi panjang lebar. Raden cuba lagi untuk mengingati momen-momen atau insiden yang membuatkan Dewi naik hantu dengan Iza. Lantas di tepuk bahu Raden “Si Iza yang pakai BMW tu, ada basikal beribu ringgit gantung di dinding yang at last jatuh hempap anak aku, Daniel. Tak ingat lagi?” beria-ia Dewi cuba ingatkan Raden dan mujur Raden mampu ingat insiden basikal jatuh yang menghempap Daniel beberapa bulan lalu. “Si burung merak tu pun nak beli rumah ni juga ke?” Raden cuba mencetuskan provokasi hingga bikin Dewi potong mood.
“Kalau nak bergosip, mengumpat mengata bagai apa kata you all balik aje rumah. Soal booking nanti I uruskan dengan Kelvin,” sindir Sham cuba memberi laluan untuk kami dua beradik menyambung gosip. Sham bukan jenis lelaki yang sibuk dan ambil pusing tentang hal peribadi jiran apatah lagi nak tumpang tokok tambah macam Raden. Lantas kami pulang dan lepak minum di kafe berhampiran dengan laluan masuk perumahan baru ini. Selesai memesan minuman, Dewi yang sejak tadi tak tertahan meluahkan gosip mengenai jirannya itu. “Chemistry aku dengan Iza macam kuatlah Raden. Geram pula aku. Hajat nak berjauhan dengan dia tup-tup boleh jumpa di showhouse tadi. Meluat aku dengan perangai menunjuk-nunjuk dia, tak pernah nak berubah. Yang membuatkan aku lagi marah tu sebab laki dia pun sama juga. Tak nak kalah, memanjang dia aje yang hebat. Ada serba-serbi, tukar barang-barang baik gajet atau perabot macam salin baju. Aku fahamlah mereka tu kaya nak tunjuk harta bagai tapi kalau kaya aje harta dunia, tak reti nak hormat jiran baik campak aje semua benda tu dalam laut. Nak sedekahkan pada orang memang taklah sebab sayang harta tak bertempat,” panjang lebar leteran Dewi. Raden sekadar menadah telinga mendengar keluhan Dewi. Mungkin telah lama dipendamkan akhirnya terluah juga apa yang disimpan selama ini.
Kredit Foto: Google
Kembali menyambung sesi menganyam ketupat selepas makan, kelibat Iza dan Mail pula muncul memasuki restoran. Hajat di hati ingin memotong percakapan Dewi tetapi mata Dewi lebih pantas menangkap kelibat jirannya itu. “Relaks Dewi, kau jangan bikin drama di sini pula. Tarik nafas dalam-dalam, hembus dan minum chocolate smoothie aku ni,” ujar Raden sekadar mengingatkan Dewi agar tidak naik hantu menerjah jirannya. “Aku bukan macam Iza. Fikiran aku masih waras lagi. Jom balik, aku dah tiada selera nak makan di sini,” ujar Dewi singkat. Lantas kami pulang dan topik perbualan kami sepanjang perjalanan masih lagi berkisarkan mengenai perihal jirannya. “Memang berlipat kali ganda dosa aku hari ini. Tetapi aku tetap tak puas hati Raden. Si Mail tu dah la rendang, tapi fi’il tak ubah macam budak-budak nak menunjuk-nunjuk. Sehinggakan anak-anak dia pun terikut dengan perangai si ayah. Apa-apa aje yang Sham beli atau tukar mesti dia pun sibuk nak beli. Yang Iza pun sama jadi batu api galakkan suami. Padahal hakikatnya bibik diaorang merungut dengan bibik aku asyik masak sambal ikan bilis, ikan bilis kicap dengan kentang, sardin dan meggi. Tak salah kalau nak bergaya tapi biarlah ikut kemampuan. Jangan-jangan dia datang sini sebab dapat tahu daripada bibik aku agaknya” ulasnya Dewi dengan rasa tidak puas hati.
Sambil sibuk Dewi mengomel, Raden hanya mampu merumuskan kesimpulan singkat bahawa hidup berjiran ini perlu berpaksikan kepada rasa hormat dan tanggungjawab. Beringatlah, sekiranya berlaku kecemasan jiranlah orang terdekat yang akan kita cari, minta tolong dan sebagainya. Dalam kes Dewi, meskipun dia kakak Raden tidak bermakna setiap tindak tanduknya walaupun salah tetap benar di mata Raden. Yang salah tetap salah dan sebaiknya elakkan daripada buruk sangka dengan jiran tetangga, cuba cari alternatif untuk berbaik dan eratkan silaturahim. Insya Allah dipermudahkan segalanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live