Highlights
Tangan ‘Berseni’, Semua Menjadi. 'Buat Duit' Sampingan Dengan Memasak – Tym Fatimah Manfaat Masa PKP.
Wajah dan namanya tidak asing dalam lanskap fesyen tanah air. Berperanan sebagai penata gaya, sudah ramai nama-nama besar selebriti tempatan mendapatkan khidmatnya. Memastikan pakaian disarung terletak cantik dan menepati konsep ditetapkan, itu sebahagian daripada tanggungjawabnya. Dan susulan tempoh PKP ini, Tym Fatimah juga tidak terkecuali merasa tempiasnya. Tidak betah duduk diam dirumah tanpa berbuat apa-apa, dia kembali kepada minatnya yang lain daripada cabang fesyen, yakni memasak.
Bagaimana tercetusnya idea untuk buat food delivery? Adakah semata-mata nak isi masa terluang atau saja suka-suka?
Saya memang suka masak dan saya seorang yang suka makan dirumah. Lebih-lebih lagi selepas berkahwin dan suami juga memang suka makan dirumah. Selain daripada suka memasak, mungkin juga kerana darah berniaga bisnes makanan daripada emak saya warisi hingga kini. Jadi disebabkan itulah yang membawa kepada apa yang saya dan suami lakukan sekarang.
Pada awalnya memang kami rancang untuk memulakan perniagaan makanan. Malah kami sudahpun membayar tapak bazar Ramadan untuk berniaga. Tapi disebabkan keadaan sekarang, maka hasrat untuk berniaga di bazar terpaksa kami lupakan. Minggu pertama PKP lah yang tercetus semuanya. Waktu tiga ke empat hari minggu itu, masih okey lagi. Tetapi selepas seminggu duduk dirumah, tak buat apa-apa; sedikit sebanyak tekanan itu turut saya rasai.
Kredit Foto: Tym Fatimah
Jadi saya ambil langkah untuk tidak terlalu fikirkan atau fokuskan masalah ini. Sebabnya kalau terlalu diikutkan perasaan, ia hanya akan menambahkan lagi tekanan dan memburukkan keadaan. Justeru, saya alihkan sedikit tekanan itu dengan memasak. Muat naik di Instagram dengan niat sekadar suka-suka. Tetapi ada pula pengikut yang DM saya dan mengecam. Antaranya mereka berkata, “Baru minggu pertama PKP dah sibuk masak itu ini, dah nak jadi chef. Tak fikir apa yang akan terjadi seminggu dua lagi, atau sebulan lagi. Kalau PKP dilanjutkan nak makan apa”.Mulanya waktu baca komen yang ditinggalkan membuatkan saya tertanya-tanya. ‘Salah ke apa yang saya buat ni?’ kerana saya cuma nak isi masa lapang yang terluang dan alihkan perhatian stres saya. Kemudian saya bercerita kepada kawan tentang soal ini. Dan memandangkan dia tahu saya memang bercita-cita buka perniagaan, jadi dia beri idea. Dia cadangkan saya buat lunch box atau dinner secara online.
Dia jugalah pelanggan pertama yang membeli lunch box itu sebanyak 30 bungkus untuk disedekahkan. Bermula daripada situlah saya muat naik dan kongsi di Instagram mengenai jualan makanan ini. Mulanya memang saya tak sangka akan dapat sambutan. Saya ingatkan biasa-biasa saja. Tapi ramai yang DM memberi sokongan dan membeli.
Kredit Foto: Tym Fatimah
Setiap hari ambil order atau macam mana? Memang Tym seorang diri yang masak atau ada pembantu?
Pada awalnya saya rancang untuk selang selikan berniaga makan ini. Kiranya selang sehari. Tapi dah jadi seronok pula memasak ni. Saya upload menu apa yang akan dijual untuk esok. Dan kerana itu, saya hadkan berapa jumlah bungkusan yang mampu saya masak. Pertama sebab kelengkapan dan peralatan dapur dirumah bukanlah seperti mereka yang memang berniaga. Apa yang ada saja.Kerana itulah juga saya tak berani mahu ambil order dalam kuantiti yang banyak. Tetapi apabila saya muat naik order ditutup, ada pula yang komen nak order. Berbelah bagi rasanya kerana saya seolah-olah menghampakan permintaan mereka. Kasihan pula. Jadi, disebabkan tak sampai hati, saya buat juga ikut kemampuan. Tambahan pula suami pun berkata, tak baik hampakan hasrat orang. Kemudian saya fikir teruskan saja dan sudahnya setiap hari saya berniaga. Kalau ada yang tak sempat order, saya terangkan baik-baik dan maklumkan esok juga saya berniaga tetapi menu yang berlainan.
Memandangkan tempoh PKP ini pergerakan kita terhad, dan saya lakukan semua dirumah; maka saya tidak dapat ambil atau upah pembantu. Kalau diikutkan, mahu saja minta tolong kakak, adik atau anak buah. Tetapi saya tiada pilihan melainkan melakukannya sendiri. Mujur suami banyak membantu dalam semua hal. Maklum sajalah, masakan Melayu agak renyah.
Kredit Foto: Tym Fatimah
Kalau orang kata memasak ini renyah dan penat. Tapi bagi Tym bagaimana?
Ya, setuju sebab uniknya masakan Melayu ini, ada cara tersendiri untuk memasaknya. Ada rempah ratusnya, langkah dan teknik tertentu. Dan itu yang membuatkannya agak renyah. Memang diakui renyah dan penat tetapi kepenatan itu akan hilang bila dapat dihantar kepada pelanggan. Dan pelanggan juga kirimkan mesej ucap terima kasih dan sebagainya.Memandangkan kita menggunakan media sosial dengan meluas, jadi ada dalam kalangan pelanggan yang reviu masakan saya tanpa diminta atau dibayar. Mereka rela hati lakukannya dan penat memasak hilang serta-merta.
Kepuasan dalam memasak dirasai apabila?
Apabila yang membeli menghargai hasil masakan saya. Mereka beri feedback yang bagus dan secara tidak langsung saya terdorong untuk masak dan masak lagi. Hingga ada yang berkata, ‘I suka your food sebab dimasak dengan penuh kasih sayang’ dan sememangnya saya memasak sepenuh hati. Apa yang ada saya beri dengan sepenuh kasih sayang.
Kredit Foto: Tym Fatimah
Sepanjang puasa nanti, masih akan teruskan?
Insya-Allah saya akan teruskan. Mungkin saya ubah menu ataupun jika sebelum ini saya buat lunch box dan sepanjang Ramadan, mungkin saya akan jual lauk. Masih fikirkan lagi menu apa yang sesuai.
Apa pula cabaran atau kekangan yang perlu dilalui untuk pastikan semua berjalan lancar?
Dari segi pembelian barang mentah, semuanya senang didapati. Alhamdulillah. Memandangkan kawasan perumahan saya berdekatan dengan pasar besar Petaling Jaya, jadi barang dan bahan mentah mudah dibeli. Kekangannya tidak terasa sangat. Cuma cabarannya adalah saya perlu bangun awal pagi untuk siapkan semua. Menjadi tanggungjawab saya untuk pastikan semua order sampai ke tangan pembeli tepat pada masanya iaitu sekitar jam 12 tengah hari dan tidak melebih jam 1.30 hingga 2 petang.
Kos yang diperuntukkan untuk membeli bahan mentah dengan harga yang ditetapkan, berbaloi tak? Boleh balik modal?
Alhamdulillah sebenarnya berbaloi dengan harga yang saya jual. Dengan harga barang yang saya beli setakat ini tidaklah merugikan. Mulanya saya takut nak letak harga contohnya set makan tengah hari RM8. Dan kos penghantaran pula ditanggung oleh pembeli. Saya juga lakukan survey, ada sesetengah kedai makan terutamanya yang memang sudah ada nama dan dikenali, mereka tawakan kos penghantaran percuma. Tetapi dalam situasi sekarang dan saya tiada runner khusus untuk membuat penghantaran, maka kos itu perlu dibayar oleh pembeli.
Mungkin juga dalam situasi PKP sekarang, rata-rata mereka memahami. Dan mungkin juga kerana mereka mahukan masakan dari rumah, jadi tiada masalah untuk mereka bayar kos penghantaran. Alhamdulillah sehingga hari ini, mereka sanggup membayar. Walaupun harga yang ditawarkan pada mulanya saya takut membebankan pembeli, tetapi syukur belum ada complaint lagi.
Kredit Foto: Tym Fatimah
Ada perancangan nak kembangkan bisnes food delivery ini lepas tamat PKP?
Memang ada perancangan untuk teruskan. Insya-Allah dengan sambutan yang diterima, saya bersemangat untuk teruskan. Mungkin selepas ini jika ada rezeki saya akan dapatkan khidmat pembantu, hire staf misalnya. Dari aspek kerjaya, saya masih akan lakukan kerja-kerja penataan gaya. Dan mungkin kalau diizinkan Allah, saya akan lakukan bisnes ini sebagai sumber pendapatan sampingan.
Ramai yang berpendapat, industri fesyen akan terkesan akibat PKP dan Covid-19. Dan bidang katering, khidmat penghantaran makanan boleh ‘buat duit’ sebab ramai orang akan order dan beli dari rumah. Komen?
Ya industri fesyen terjejas. Saya rasa ada betulnya cuma ia bergantung kepada bahagian apa, bidang apa dan cabang apa dalam industri fesyen itu sendiri. Kalau dari sudut styling, penata gaya, jurusolek, pendandan rambut sudah tentu terkesan dan berasa terjejas dengan apa yang kita alami sekarang.
Pertama sebab orang ramai sekarang tidak keluar rumah. Dan apabila mereka tidak keluar, tiada keperluan untuk mereka bersiap cantik. Selebriti pula mungkin tiada yang menerima undangan dari pihak stesen televisyen untuk kemunculan di skrin televisyen. Disitulah yang terasa kesannya.
Kredit Foto: IG Tym Fatimah
Tetapi kalau dilihat dari aspek penjualan baju, ia berbeza. Saya juga punya perniagaan online yang menjual baju-baju dan melihat permintaan dan hasil jualan terutama baju-baju raya sekarang, Alhamdulillah masih mendapat sambutan yang amat memberansangkan. Masih ada lagi yang membeli walaupun mungkin kita akan hanya beraya dirumah, tetapi saya lihat semangat untuk beraya, nak melaram di pagi saya masih ada. Umpamanya masih bersemangat nak sambut raya.Kita tahu waktu PKP semua orang stuck di rumah, tak boleh ke mana-mana. Dan kalau boleh saya simpulkan naluri manusia ini hanya ada satu dua benda saja. Kita sedia maklum juga makanan adalah keperluan asas, ia bukannya kehendak. Cuma kehendaknya adalah makanan apa yang mereka mahukan. Rentetan itu, bisnes penjualan makanan banyak membantu dan industri khidmat penghantaran makanan memang boleh buat duitlah kiranya waktu PKP, Alhamdulillah. Kalau kena gaya, cara, resipinya, kena dengan selera orang kita; memang boleh menjana pendapatan.
Harapan Tym atau mungkin nak beri galakkan kepada orang ramai supaya gunakan apa saja skil yang ada untuk raih pendapatan sampingan?
Bagi mereka yang bekerja dalam industri kreatif ini sebenarnya, jangan hadkan kreativiti yang ada. Gunakan kemahiran dan kreativiti sebaik mungkin. Salurkan di jalan yang sebaiknya. Waktu beginilah bagi sesiapa yang mahir dan pandai buat cookies, yang pakar memasak rendang dan sebagainya; anda boleh mula menjual sedikit demi sedikit.
Kredit Foto: Tym Fatimah
Dan sejujurnya saya memang menggalakkan sesiapa saja untuk jana pendapatan sampingan khususnya dalam bidang penghantaran makanan. Sebabnya permintaaan untuk makanan sememangnya sentiasa ada. Zaman sekarang jauh lebih mudah dengan adanya media sosial, anda boleh gunakan platform yang ada. Kalau mereka yang bekerja dalam industri kreatif seperti jurusolek, pendandan rambut misalnya yang ada network dengan rakan artis umpamanya, mungkin boleh minta bantuan mereka untuk uar-uarkan apa yang anda lakukan.Ditambah pula dengan khidmat penghantaran seperti Food Panda, Lalamove dan sebagainya; ia memudahkan perjalanan bisnes anda. Jadi rebut peluang yang ada dan manfaatkan sebaik mungkin. Jangan terlalu fokus kepada masalah yang melanda. Cuba cari sesuatu yang boleh alihkan perhatian anda daripada asyik fikirkan soal itu semata-mata. Cipta sesuatu yang menggembirakan anda dalam melalui rutin seharian. Dan disamping itu, jika boleh ia beri duit poket lebih, mengapa tidak teruskan saja. Saya doakan semua baik-baik saja, stay safe dan jaga diri okey!
Must-Watch Video