Highlights
Tanpa Sedar, Ini Yang Ibu Bapa Lakukan Terhadap Anak. Impaknya, Mereka Hilang Keyakinan Diri Dalam Banyak Perkara.
Dr Redza Zainol, Pegawai Perubatan Paediatrik dari Hospital Muar, Johor acap kali berkongsi perihal kesihatan kanak-kanak dan ilmu kekeluargaan di laman facebook beliau. Penulis menyifatkan ia pastinya dapat memberi inspirasi dan manfaat kepada semua khususnya ibu bapa yang mempunyai anak terdiri daripada pelbagai peringkat usia.
Baru-baru ini, Dr Redza Zainol ada berkongsi tiga sifat toksik yang dilakukan ibu bapa mampu mempengaruhi keyakinan dan mengganggu perkembangan anak-anak. Apabila diperhalusi satu persatu, sejujurnya sebagai ibu kepada dua anak lelaki, penulis tidak menafikan pernah bertindak sedemikian. Walaupun bukan dilakukan setiap hari tetapi selepas membaca nukilan ini sedikit sebanyak membuka minda agar lebih peka dan sedia untuk berubah sedikit demi sedikit.
Bukan apa, persekitaran dan suasana di dalam rumah juga turut menyumbang kepada tindakan ibu bapa yang dihuraikan Dr Redza. Ada yang sibuk dan terikat dengan kerja hinggakan ada yang terpaksa membawa tugasan pejabat pulang ke rumah. Kekangan dan waktu yang singkat untuk diluangkan bersama anak pula menjadi satu lagi cabaran bagi segelintir ibu bapa.
Kesudahannya apabila kita gagal memberi tumpuan kepada anak dek kerana hambatan kerja mulalah situasi tegang di dalam rumah. Mana lagi mahu fokus kepada kerja, mana lagi mahu melayan pertanyaan anak-anak. Atau situasi lazim apabila ibu bapa asyik menatap skrin telefon bimbit. Sama ada membuka aplikasi interaksi Whats App atau Telegram, mahupun melayari media sosial ia akan melekakan tumpuan kita. Sungguh tidak mudah lalui itu semua. Sungguhpun begitu, sebagai ibu bapa kita perlu kenal pasti tiga sifat toksik utama yang digariskan Dr Redza untuk rujukan dan manfaat bersama. Berikut adalah huraian selanjutnya.
Tiga sifat toksik ni kalau mak ayah buat setiap hari, anak akan hilang keyakinan diri dan perkembangan anak boleh jadi terbantut.
1) Stonewalling
Anak cuba nak berbual tentang sesuatu perkara, tapi kita jauhkan diri kita dengan cara:
- Tak menjawab soalan anak
- Sengaja lambat jawab soalan anak
- Tak cakap apa-apa
- Terus tinggalkan anak
- Tak ambil serius atau merendah-rendahkan apa yang anak cuba bualkan.
"Papa suka makan apa?"
Kita jawab, "Entah. Pape je laaa."
Bila perangai macam ni berulang, anak rasa lagi baik cakap dengan dinding. Sekurang-kurangnya cakap dengan dinding, taklah rasa sakit hati.
Kredit Foto: Google
2) Expressionless and Being Ignored
Tiada sebarang reaksi pada wajah dan abaikan anak.
Contoh:
Balik rumah je, anak semangat nak cerita tentang benda baru yang dia belajar dari buku. Kita pun buat-buat dengar sampai habis. Tapi sampai ke sudah tak bagi apa-apa respon. Yang buat anak jadi keliru ialah air muka mak ayah tak ada reaksi langsung, pastu diam je.
Yang sebenarnya kita tak fokus pun pada cerita anak.
Sambil dengar, sambil tu tengok cerita Korea. Katanya nak luang masa dengan anak, tapi tangan duk pegang telefon ralit balas mesej wasap.
Maksud beri perhatian pada anak ialah kita 100% fokus pada anak waktu tu. Kita adalah betul-betul “present” di hadapan si kecil kita tu.
Kredit Foto: Google
3) Gaslighting
Maksudnya kita meragui atau menidakkan sesuatu yang diberitahu oleh anak.
Contohnya:
Anak balik dari asrama, dia mengadu ada budak lain asyik pegang-pegang dia. Tapi kita jawab, ”Biasalah tu. Tak ada apalah." Atau anak balik dari rumah pengasuh kata itu dan ini. Kita pun kata anak kita cakap yang bukan-bukan. Si kecil kita pun jadi keliru dengan apa yang berlaku dan hilang rasa percaya pada diri sendiri. Dia akan fikir semua pendapat dia memang tak penting.
Apabila 3 sifat mak ayah ini diulang setiap hari:
- Anak jadi tak percaya pada diri sendiri
- Keyakinan diri yang sangat rendah
- Selalu buat keputusan hidup yang salah akibat asyik dengar cakap orang lain.
- Asyik kritik diri sendiri (self criticism)
- Tak tahu cara urus dan kawal emosi sendiri
Kredit Foto: Google
Dan apabila anak ini semakin membesar dan berkeluarga, mereka mungkin akan buat perkara yang sama pada anak sendiri.
Jangan tidakkan apa yang anak kita rasa. Acknowledge apa yang mereka rasa dengan cara pandang, dengar dan peluk mereka.