Personaliti

Teks Ucapan ABAH Disusun Ayat Penuh Rendah Diri dan Kemaafan, Tak Lupa Terima Kasihnya Kepada ISTERI

gempak
Afiza Kamarulzaman
16/08/2021
11:17 MYT
Sponsor Banner
Teks Ucapan ABAH Disusun Ayat Penuh Rendah Diri dan Kemaafan, Tak Lupa Terima Kasihnya Kepada ISTERI
“Terima kasih, Abah atas segala jasa dan pengorbanan Abah selama bersama rakyat, bukan sahaja ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia, malah pada hari pertama bergelar Wakil Rakyat.”
Begitu antara ayat-ayat yang bermain di mulut kebanyakan rakyat Malaysia sebaik Tan Sri Muhyiddin Yasin melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia berkuat kuasa serta-merta.
Beliau membuat keputusan itu selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.
Bagaimana pun, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai ‘caretaker’ Perdana Menteri sehingga perdana menteri baru dilantik.
Menerusi perutusan terakhir Tan Sri Muhyiddin Yasin sebentar tadi, beliau kelihatan tenang memaklumkan perkhabaran tersebut dengan identiti ucapannya yang sentiasa menggunakan ayat-ayat mudah difahami dan dekat dengan rakyat.
Kredit Foto: Google
Secara peribadi, penulis berpendapat, ucapannya itu dilahirkan jujur dari hatinya sendiri, menerangkan betapa rakyat sentiasa menjadi keutamaannya sejak menerajui kerajaan dan sudah cuba sedaya-upaya memberikan yang terbaik.
Malahan, memimpin sebuah kerjaan pada ketika pandemik bukanlah sesuatu yang mudah, akui beliau. Namun, inilah cabaran yang disahutnya pada hari pertama bersetuju untuk memimpin negara.
Beliau turut menganggap inilah mungkin darjat yang diangkat Allah untuk beliau apabila sanggup ‘menggadaikan’ jawatannya satu masa dulu kerana tidak mahu bersekongkol dengan penipuan dan skandal kepimpinan yang tidak amanah.
Dapat dilihat ucapannya itu disulami dengan rasa rendah diri dan beberapa kali memohon kemaafan kepada rakyat andainya sepanjang perkhidmatan beliau tidak berjaya memuaskan hati rakyat yang dianggap seperti anak-anaknya.
Ini adalah satu sifat terpuji beliau yang tidak segan mengakui kekhilafan dan tidak ego untuk meminta maaf, sekali pun berada pada kedudukan tertinggi.
Sesuatu yang menyentuh hati adalah pada saat beliau menitipkan ucapan terima kasih yang paling bermakna untuk isteri tercinta dan keluarganya yang selama ini menjadi tulang belakang dan sentiasa di sisinya saat susah dan senang.
Benarlah bagai dikata, isterilah sumber kekuatan dan inspirasi suami. Isteri yang baik akan sentiasa memberi bahunya untuk suami menangis, juga telinga sebagai pendengar setia. Tanpa isteri, hilanglah seri sehari-hari.
Kalau dulu, ‘Abah’ memulakan ucapan pertamanya sebagai Perdana Menteri dengan potongan doa, dan hari ini juga Abah mengakhiri ucapannya dengan bacaan doa penuh makna.
Sebagai rakyat biasa, penulis menganggap beliau tidaklah gagal sebagai pemimpin, cuma Abah tidak punya kumpulan sokongan yang mantap, Abah ketiadaan sayap kanan yang benar-benar teguh untuk mendukungnya.
Apa pun, terima kasih sekali lagi. Rakyat Malaysia pasti mengingati Abah sebagai antara Perdana Menteri Malaysia yang pernah menabur bakti. Satu-satunya kejayaan besar Abah pastinya pada ketika Abah mampu menurunkan kes Covid-19 ke angka sifar tahun lalu.
Semoga pemimpin yang bakal menggantikan legasi yang ditinggalkan Abah mampu memberikan kepimpinan yang lebih baik dan kesejahteraan buat rakyat. Kita mahu menang melawan Covid-19 dan kita juga mahu kehidupan aman seperti sedia kala. Insya Allah...
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live