Highlights

Tempoh PKP Dilanjutkan – Bersabar dan Kekal Tenang Malaysia, Ini Semua Demi Kebaikan dan Keselamatan Kita

gempak
Huda Hussain
25/03/2020
12:00 MYT
Sponsor Banner
Tempoh PKP Dilanjutkan – Bersabar dan Kekal Tenang Malaysia, Ini Semua Demi Kebaikan dan Keselamatan Kita
Sedar tak sedar sudah lapan hari tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Dan hari ini antara kandungan utama dalam perutusan khas oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekitar jam 1 petang tadi adalah PKP akan dilanjutkan hingga 14 April. Ada yang menyambutnya dengan keluh kesah. Tidak kurang juga ada yang merasakan terbeban dengan lanjutan tempoh ini.
Kredit Foto: IG Astro Awani
Sungguh ia tidak mudah dalam keadaan kita berhadapan dengan penularan wabak Coronavirus Covid-19 yang terus-terusan meragut nyawa rakyat Malaysia. Semua terkesan dengan pengumuman ini. Peniaga-peniaga kecil misalnya pasti tidak senang duduk memikirkan apa yang bakal berlaku. Begitu juga dengan barisan guru yang mungkin kini berhempas-pulas mencari solusi bagaimana mahu ‘catch up’ sukatan pelajaran yang sudah ketinggalan berminggu-minggu. Pihak majikan juga tidak terkecuali daripada merasai kesan ini. Syarikat konglomerat, usahawan, sektor kerajaan, swasta, universiti dan banyak lagi pastinya sibuk merangka strategi atau pelan susulan sepanjang tempoh yang akan dilanjutkan ini. Pendek kata, segenap lapisan masyarakat merasainya.
Ada juga yang membayangkan apakah kita bakal menemui bulan Ramadan dalam persekitaran dan siutuasi kini atau kembali dengan rutin biasa? Bagaimana dengan ibadah solat Terawih, mengunjungi bazar Ramadan, membeli-belah persiapan raya dan lain-lain lagi? Atau adakah terlalu awal untuk memikirkan semua ini? Semuanya berbalik kepada kita. Selagi kita patuh kepada arahan yang ditetapkan pasti aka nada perubahan dalam graf yang sering kita lihat dikaca televisyen setiap hari. Betapa pentingnya rantaian jangkitan ini dihapuskan bergantung kepada sikap dan tindakan kita semua yang terdiri daripada segenap lapisan masyarakat.
Kredit Foto: Google
Usah ambil sikap sambil lewa dan memandang enteng dengan apa yang dipinta oleh pihak PDRM kerana selepas ini tiada lagi pendekatan nasihat digunakan. Sebaliknya akan mengheret sesiapa yang ingkar ke muka pengadilan dan hukuman keras bakal dikenakan. Saban hari pihak tertinggi pentadbiran negara, KKM berulang kali memberi peringatan agar kita kekal berada di rumah. Dan sepanjang tempoh lanjutan PKP ini apa yang boleh dan tidak kita lakukan? Ayuh, kita perhalusi butiran berikut:
  1. Elakkan Pembelian Panik
Semua sedia maklum tanggal 25 haribulan setiap bulan adalah taikh penerimaan gaji bagi sektor dan segelintir sektor swasta. Manakala selebihnya ada yang menerima gaji pada hujung bulan misalnya 30 atau 31 haribulan. Adalah disarankan agar tidak berpusu-pusu ke bank untuk mengeluarkan gaji dan terus melakukan pembelian panik. Hal ini bagi mengekang rantaian jangkitan daripada terus merebak ketika berada dalam khalayak ramai.
  1. Berjimat-cermat
Ketika membuat pembelian, janganlah fikirkan keperluan anda seisi keluarga sahaja. Beringatlah juga, ada ramai lagi orang yang akan berbuat perkara sama. Seperti jaminan pihak kerajaan, bekalan barang keperluan harian akan mencukupi bagi menampung permintaan tinggi sepanjang tempoh ini. Tidak perlu membeli dalam kuantiti yang terlalu banyak hingga menyukarkan orang lain pula. Ingat, bukan kita saja yang nak makan. Jiran tetangga, orang sekeliling pun nak makan juga. Jadi chill okey!
  1. Terus Kekal Tenang
Biarpun tempoh PKP dilanjutkan 14 hari, bersangka baiklah dengan semua orang. Kekal tenang dan tidak perlu beremosi hingga meluahkan kata-kata yang kurang senang di media sosial. Bersabar dan beringatlah, selagi mana kita bersatu dan bulatkan tekad dalam hal ini pasti akan membuahkan hasil.
Kredit Foto: Google
  1. Berikan Sokongan dan Penghargaan Kepada Barisan Hadapan
Kakitangan KKM yang terdiri daripada pelbagai sektor, petugas kesihatan daripada sektor swasta, PDRM, ATM, semua sektor penting kerajaan, pekerja pembersihan dan ramai lagi; berilah kerjasama dan sokongan moral kepada mereka. Bagaimana caranya? Mudah sahaja, duduk diam-diam dirumah. Mungkin nampak mudah tapi hakikatnya masih ramai lagi yang berdegil dan ingkar dengan arahan ini. Justeru beri kerjasama agar kita dapat membendung dan menangani penularan wabak Covid-19.
  1. Berdoa
Bagi yang beragama Islam, kalian pasti maklum dengan keberkesanan dan kuasa doa. Pohonlah dan merintihlah kepada Yang Maha Esa agar Malaysia terus dilindungi. Bagi mereka yang bukan beragama Islam, pasti ada ritual lain namun niatkan tetap satu. Agar suasana kembali pulih seperti sediakala suatu hari nanti. Lihatlah betapa sayu dan sebaknya Perdana Menteri kita menitipkan bacaan doa sebelum mengakhiri ucapannya ketika perutusan khas itu berlangsung. Ada getar dalam nada suaranya menahan sebak. Kerana sesungguhnya hanya Dia sahaja tempat kita bergantung harap, memberi penawar kepada penyakit dan kekuatan untuk kita bersatu hati.
Sentiasa sematkan dalam ingatan keputusan ini diambil demi kesejahteraan dan kebaikan kita sebagai rakyat Malaysia. Sehabis daya dan upaya dirancang, diperhalusi dan disusun semata-mata untuk memastikan kita dapat memerangi penularan virus ini. Peranan dan kerjasama segenap lapisan masyarakat yang diperlukan untuk kita sama-sama berdepan situasi yang memahat sejarah dalam negara dan dunia secara amnya. Marilah kita berganding bahu, bersatu dan bekerjasama agar episod ini bisa ditamatkan dengan baik suatu hari nanti. Malaysia Boleh!
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live