Highlights

Tempoh PKP – Kerana Struggle Dan Survival Kita Tidak Sama Dan Penuh Dengan Cabaran… Ya Allah Engkau Permudahkan.

gempak
Huda Hussain
23/03/2020
12:00 MYT
Sponsor Banner
Tempoh PKP – Kerana Struggle Dan Survival Kita Tidak Sama Dan Penuh Dengan Cabaran… Ya Allah Engkau Permudahkan.
Walaupun hari bersilih ganti dan putaran waktu deras beralih namun memikirkan hari-hari mendatang bagaikan menyesakkan dada. Tatkala bangun pagi, yang terlintas dalam fikiran hanyalah ‘Oh, satu hari lagi aku perlu harung’. Dan rutin itu diulangi saban hari sehinggakan sudah sebati dengan diri dan keadaan.
Saat kita dipinta untuk duduk diam-diam di rumah ada yang mengadu kebosanan. Mengeluh dan mengeluh lagi. Atau apa kita terlupa kepada mereka yang kurang berkemampuan di luar sana. Yang berasnya entahkan cukup berbaki seminggu lagi? Dan perkhabaran yang katanya tempoh PKP akan dilanjutkan pasti meresahkan mereka.
Kredit Foto: Google
Siapa mereka? Yang kerjanya bergantung kepada pendapatan seharian. Berniaga kecil-kecilan di tepi jalan atau punya bisnes kecil. Memacakkan payung untuk berteduh dan mencari makan. Dan berbekalkan duit itulah dibeli kelengkapan untuk anak-anak. Bacalah dengan mata hati nukilan seorang hamba Allah ini yang kian tular di media sosial. Pada hemat penulis, ia sarat dengan pengajaran yang pastinya menginsafkan lantas mengajak kita berbuat kebaikan selagi mampu.
Nukilan Dari Seorang Pengembara
Ditakdirkan Allah, saya terpaksa melalui jalan darat untuk pulang ke Terengganu setelah sekian lama bermusafir. Tiket domestik saya habis burn sebab Emirates delayed transit saya. Pasti ada hikmah yang luar dari batas pemikiran seorang hamba.
Melalui suasana sepi sepanjang jalan, hendak solat zohor sungguh payah, surau dan masjid ditutup. Surau di stesen minyak pun tutup. Diteruskan lagi perjalanan sehingga jumpa R&R. Terpana dan terpaku saya, tidak ada satu kereta di R&R, tiada manusia juga, van-van bergerak yang jual makan juga tidak ada. Yang ada hanya kesepian dan keinsafan. Apa yang berlaku ini di luar batas pemikiran saya. Kelihatan ada beberapa orang makcik cleaner. Saya solat sorang diri.
Kredit Foto: Google
Sepanjang perjalanan saya berfikir, apa yang dibuat penjaja-penjaja makanan di tepi jalan sekarang? Apa yang dibuat penggunting2 rambut? Apa yang dibuat penjual kelapa muda di tepi jalan? Apa yang dibuat penjaja nasi lemak RM1? Apa yang dibuat peniaga pasar malam? Apa yang dibuat oleh tukang-tukang rumah? Apa yang dibuat oleh pemandu-pemandu lori? Apa yang dibuat oleh penjual-penjual buah sekarang? Pasti buah-buah mereka rosak, apa yang dibuat oleh semua mereka yang kerja sendiri? Yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, yang mereka tokey mereka kuli. Mereka disuruh cuti, jangan bekerja, habis bagaimana mereka nak makan? Bagaimana mereka nak bayar ansuran Viva RM 300 sebulan? Bagaimana mereka nak bayar sewa rumah RM200 sebulan? Bagaimana mereka nak isi perut lapan orang dalam rumah? Duit simpanan.. Allah.. Mujurlah kalau mereka beringat. Lagi kita yang makan gaji pun, setiap bulan defisit. Apatah lagi mereka yang mengharap rezeki baru setiap hari. Pelbagai persoalan berputar di pemikiran saya.
Berat untuk saya lafazkan, tapi sesungguhnya kawalan pergerakan ini menyeksa mereka ini. Tak bekerja, tak ada duit. Tak ada duit macam mana nak mkn? Majikan pula kena bayar gaji. Tapi majikan juga tiada penghasilan. Macam mana mereka nak bayar gaji pekerja? Mungkin ada majikan mampu bayar, tapi berapa orang sangatlah yang mampu. Nursery, tadika, mereka yang bekerja dengan gaji hari, bagaimana dengan mereka semua? Allah… Sangat besar dugaan ini. Kita boleh sebut sabar. Tapi sejauh mana seorang ibu boleh sabar, kalau anak sebut lapar, tapi kita tiada apa2 yang boleh diberikan.
Kredit Foto: Google
Kita yang bekerja, musuh kita, yang menjadi kerunsingan kita adalah kebosanan di rumah. Tak tahu nak buat apa. Tapi setiap hari perut kita penuh macam nak pecah dah. Menu 14 hari sering bertukar ganti. Hujung bulan tetap dapat gaji. Bersyukurlah kita semua wahai sahabat.
Tapi mereka, setiap hari berfikir macam mana nak makan? Macam mana nak bayar pinjaman? Macam mana dan macam mana. Justeru sahabat-sahabat jangan sekali-kali kita terlebih memapar kegembiraan kita dengan pergerakan terhad ini. Jangan paparkan banyaknya kita membeli, sedapnya kita makan, kerana pada saat ini mungkin ada orang yang menangis kerana tidak tahu cara untuk mengisi perut sang anak. Sudahlah kita ini ditimpa bala dengan Covid-19, jangan selepas ini kita ditimpa bala lain kerana menitiskan air mata orang-orang miskin. Saya takut, kita takut dengan kematian kerana Covid-19, tanpa kita sedar mungkin ada yang mati kerana kebuluran. Mohon dijauhkan Allah. 14 hari bukan sekejap, bagi yang mengharapkan gaji setiap hari, dengan anak yang ramai, sesungguhnya saya mohon Rabbul Izzati menjaga dan memelihara mereka. Tiada daya dan upaya kita ini kerana dalam apa jua keadaan, taat kepada ulul amri itu wajib demi menyelamatkan nyawa dan mengelak merebaknya wabak. Peliharalah mereka Ya Allah, bukalah jalan kepada mereka untuk mengharungi semua kepayahan ini.
Bagi yang ada rezeki lebih, kongsilah setakat mampu terutamanya orang-orang miskin di sekitar kita. Walaupun hanya sekampit beras. Moga ia menjadi saksi di akhirat kelak, sesungguhnya kita tidak pernah alpa dengan kesusahan mereka. Moga ia menjadi saksi, sebuah pengorbanan yang penuh tulus dalam kita menghadapi Covid-19. Semoga segala pengorbanan kita Allah pandang dengan penuh rasa belas. Manalah kita tahu, berkat pertolongan kita kepada orang miskin, berkongsi rezeki, Allah angkat perlahan-lahan bala Covid-19 ini. Sesungguhnya bala Allah yang datang kepada kita ini adalah sebagai peringatan dan amaran. Ia bukannya satu gurauan atau mainan. Dan itu hanyalah dapat dihayati dan diambil pengiktibaran oleh golongan yang berfikir.. Ampunkan kelekaan kami Ya Allah.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live