Lihat sahaja apa yang berlaku di sekeliling kita hari ini. Ujian pandemik Covid-19 benar-benar telah merubah perjalanan dan dimensi pemikiran kita. Ramai yang diberhentikan kerja. Malah ada juga syarikat yang terpaksa gulung tikar susulan tidak mampu lagi menjana pendapatan dan keuntungan. Ada yang bernasib baik, masih punya gaji walaupun terpaksa dipotong. Lalu, kita yang masih selesa ini adakah terus-terusan mahu bersenang-lenang sedangkan rakan-rakan mahupun orang lain sedang berlumba-lumba dan berjuang memikirkan apa lagi mahu dilakukan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Kredit Foto: Google
Jika dalam perniagaan atau soal peningkatan kendiri, apabila seseorang sudah berasa terlalu selesa hingga ‘malas’ untuk melangkah ke fasa berikutnya; ia bukanlah petanda yang bagus. Benar, kita hanya merancang dan Dia yang tentukan. Tetapi kegagalan untuk merancang akan merencatkan segalanya. Tidak kiralah sama ada bekerja sendiri atau makan gaji pasti kita akan terfikir sejenak. ‘Sampai bila aku nak kerja macam ni? Asyik buat benda yang sama saja. Teringin juga nak merasa itu dan ini.’ Jika tanggapan itu ada dalam pemikiran anda, ia petanda anda menyedari sesuatu perlu dilakukan untuk memajukan diri. Merancang untuk memperbaiki dan meningkatkan taraf hidup, berubah ke arah yang lebih baik pastinya semestinya menuntut anda melakukan perkara berikut:
- Berani Untuk Berubah
Jika terus berada di takuk lama, dengan melakukan pekerjaan yang sama secara tidak langsung pasti membuatkan anda berasa bosan. Malah kesannya, anda tidak lagi bersungguh-sungguh atau meletakkan extra effort dalam menyempurnakan tugas anda. Lantas apa yang perlu dilakukan? Beranikan diri untuk berubah. Sungguh, tak mudah bagi kita keluar daripada zon selesa, sesuatu yang sudah biasa dan menjadi rutin. Tetapi jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya? Mahu atau tidak, susun strategi dalam hidup anda. Rangka satu persatu mengikut kemampuan diri untuk berubah ke satu tingkat lebih tinggi.
Kredit Foto: Google
- Cabar Diri
Tidak boleh lagi anda dengan sikap dan perilaku yang sama jika mahu berjaya dan melangkah ke peringkat seterusnya. Bukan lagi masanya untuk bermalas-malasan. Ada masa dan ketikanya, anda perlu mencabar kebolehan untuk melihat dan mengenalpasti ada potensi lain dalam diri anda yang boleh digilap. Tidak salah kalau mencuba, anda gagal buat kali pertama itu tidak mengapa kerana sekurang-kurangnya anda telah buktikan sudah mencuba yang terbaik.
- Tak Perlu Menuding Jari
Untuk maju dan berjaya baik dalam karier mahupun kehidupan, jangan sesekali meletakkan salah atau kesilapan ditangan orang sekeliling. Sebaliknya anda sendiri perlu perbaiki dan perbetulkan apa yang kurang, apa yang lemah dan sebagainya.
- Berhenti Merungut
Jika anda mengeluh, jawabnya sampai bila-bilapun disitu sajalah tempat anda. Sedangkan rakan sekerja lain sudah mengorak langkah lebih jauh ke hadapan, mencipta satu demi satu kejayaan untuk kepuasan diri masing-masing. Tidakkah anda berasa tergugat dan tercabar? Jika ya, secara tidak langsung ia akan mendorong anda untuk mencari di mana salah dan silap anda selama ini. Bukan bermakna anda perlu tetapkan sasaran atau bercita-cita tinggi. Memadai sekiranya anda mampu berubah ke tahap lebih baik daripada sebelumnya. Kerana hakikatnya anda sedang berperang, melawan dan mencabar diri sendiri.
Kredit Foto: Google
- Berdampinglah Dengan Mereka Yang Positif
Kata orang jika mahu berjaya, tiru sahaja formulanya. Tetapi hakikatnya tidak semua sesuai dan ‘kena’ dengan cara seseorang. Justeru apa yang relevan, mampu dan boleh dilakukan; cubalah sedaya upaya untuk menghasilkannya. Serap energi dan aura positif yang meluap-luap daripada mereka. Lantas cuba adaptasi dengan cara dan pendekatan anda tersendiri. Jangan malu untuk bertanya supaya anda kekal berada di landasan yang betul.
- Jangan Lupa Pada-Nya
Sebaik mana pun perancangan kita, Dia lah yang menentukan segalanya. Ambil masa untuk muhasabah diri, renung sedalamnya apakah selama ini usaha kita mendapat keberkatan dan diredhai-Nya? Kembali kepada Maha Pencipta, mohonlah agar ditetapkan keimanan dan istiqamah untuk berubah. Niatkan perubahan ini untuk meraih cinta-Nya agar dipermudahkan perjalanan kita seterusnya.