Terpaksa Tolak Rezeki Demi Kebahagiaan Isteri – AZMI CALIPH BUSKERS Ajak Kita Hargai Masa dengan Pasangan
Perkongsian vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat ini benar-benar menjentik hati. Mengetuk kotak fikir untuk menaakul betapa perlunya kita menghargai pasangan.
Ya, Azmi juga manusia biasa seperti kita. Tidak terlepas daripada diuji dalam melayari bahtera rumah tangga. Diuji dengan kemelut rumahtangga, saat isteri tercinta memberi kata dua dek kerana asyik mengeluh ekoran selalu ditinggalkan suami yang sibuk mencipta nama dalam nyanyian.
Baca dan fahamilah, kerana pasti ramai yang boleh kaitkannya dengan pasangan masing-masing. Ya, isu masa, memahami dan meredhai benar-benar dekat di hati kita yang sudah bergelar suami isteri.
Kredit foto: Azmi Saat
Nukilan FB Azmi Saat
Minggu lepas berpeluang jumpa dengan kawan yang dah lama tak jumpa. Alang-alang ada kerja di Johor, curilah masa sedikit bertemu beliau walau pun letih sebenarnya.
Dalam kami berbual, sempat saya tanyakan "anak kau dah boleh buat apa sekarang?"
"Anak aku dah mula bercakap. Tapi aku sedihlah. Aku baru je berpisah dengan isteri aku.
"
Inna lillahi wainna ilaihi raji'un. Punyalah terkejut saya. Masih terngiang-ngiang perbualan saya dan beliau dalam telefon beberapa tahun lepas. Punyalah teruja beliau bercerita yang beliau bakal menhjadi bapa selepas gigih berikhtiar. Tup tup hari ni jumpa dah berpisah. Macam tak percaya.
"Macam mana boleh jadi macam tu?"
"Isteri aku tak faham kerja kita Mi. Biasalah pemuzik. Kadang-kadang kena pergi buat persembahan jauh-jauh. Kalau musim sibuk aku jarang ada masa dengan dia. Waktu itulah dia asyik merungut. Lama-lama tak tahan juga aku."
"Oh. Sabarlah ya. Ini ujian untuk kau orang." Hanya itu yang mampu saya katakan pada beliau walau pun dalam hati macam-macam yang mahu saya kongsikan namun tak sanggup Mengenangkan beliau baru sahaja berpisah.
Sebenarnya saya juga pernah melalui pengalaman begitu. Baru-baru ini saya menolak tawaran berlakun drama yang sepatutnya penggambarannya akan dilaksanakan dalam bulan oktober ini kerana perlu meninggalkan isteri selama satu minggu.
Sejak awal perkahwinan saya dan isteri, dia tak pernah minta kemewahan. Cuma satu yang dia minta ia itu masa di sebelah malam. Isteri saya boleh jadi sampai tak boleh tidur kalau ditinggalkan waktu malam.
Dulu saya dan isteri kerap bertengkar. Waktu awal Caliph Buskers dikenali, jadual kami terlalu padat. Saya tak boleh tolak undangan kerana saya penyanyi utama. Biasanya penganjur tak mahu mengundang jika saya tak ada.
Setiap kali undangan yang memerlukan kami bermalam, setiap kali itulah saya dan isteri akan bertengkar. Ia sedikit sebanyak mengganggu fikiran dan perasaan saya sewaktu bekerja.
Sampailah satu masa bila terlalu banyak bergaduh, isteri saya meluahkan isi hatinya. "Dari awal perkahwinan kita cuma satu sahaja yang saya minta. Saya sangat memerlukan awak di waktu malam.
"Siapalah saya untuk menghalang awak mengejar kerjaya awak. Sekarang saya minta awak buatlah pilihan. Jika awak benar-benar mahu mengejar kerjaya sebagai penyanyi yang sibuk, tolonglah lepaskan saya. Namun seandainya awak lebih memilih saya, buatlah sesuatu supaya saya tak selalu ditinggalkan bersendirian."
Apa lagi yang mampu saya katakan? Sejak dari saya tak punya apa-apa walaupun duit untuk hantaran perkahwinan kami dialah yang bantu saya. Dua tiga tahun awal perkahwinan saya tak mampu memberi nafkah secukupnya pada dia tapi tak pernah sekali pun dia merungut.
Akhirnya, saya ambil keputusan untuk maklumkan pada ahli-ahli Caliph Buskers tentang pendirian saya. Sekiranya ada kerja yang memerlukan kita bermalam tolong maklumkan awal supaya saya boleh carikan teman untuk isteri saya.
Bermacam-macam kata-kata yang saya terima selepas saya suarakan pendirian saya. Ada yang kata saya takut bini. Ada yang kata saya tak akan ke mana kalau berpendirian begitu.
Jujurnya tertekan juga dengan kata-kata mereka. Sampailah akhirnya saya ditemukan dengan seseorang yang benar-benar membuat saya tekad dengan pendirian saya. Masih saya ingat kata-kata beliau.
"Isteri yang baik tak akan sama nilainya dengan semua kemewahan yang ada di dunia ni Mi. Mereka akan sentiasa ada waktu kita susah. Mereka yang jaga waktu kita sakit. Mereka akan sambut waktu kita jatuh.
Saya jadi tenang bila dengar nasihat itu. Tanpa saya sangka, macam-macam tawaran yang saya dapat selepas isteri redha dengan apa yang saya buat. Saya ditawarkan untuk menyertai Gema Gegar Vaganza musim pertama dan dapat ke final.
Kawan-kawan. Sayangilah pasangan yang benar-benar sayangkan kalian. Dalam sibuk mencari rezeki, luangkanlah masa bersama kerana itu juga hak mereka. Fahamilah pasangan kalian kerana tiada siapa lagi yang layak memahami mereka selain kita.