gaya hidup

Tiada Apa Lagi Mampu Kita Lakukan Selain Terus Positif dan BERTAHAN – Ya, Tuhan Bantulah Kami Meneruskan Hidup

gempak
Afiza Kamarulzaman
10/07/2021
03:49 MYT
Sponsor Banner
Tiada Apa Lagi Mampu Kita Lakukan Selain Terus Positif dan BERTAHAN – Ya, Tuhan Bantulah Kami Meneruskan Hidup
Ada sisa-sisa ketabahan dan kekuatan, hanya itu menjadi tongkat untuk terus berjalan menuju hari depan. Ada sesetengah mereka yang bertanya, “Apa yang korang nak tertekan sangat dengan kes naik kalau masih ada makan dan pakai?”
Banyak sudut yang menyebabkan masyakarat hari ini semakin hilang semangat untuk meneruskan hidup. Ya, mungkin ada yang masih okey dengan pekerjaan yang tak tergugat, gaji yang masih masuk setiap bulan dan makanan yang tak pernah putus.
Namun, duit dan makanan saja tidak menjaminkan seseorang itu kenyang dan puas menerusi mental dan emosinya juga. Tekanan sekarang pelbagai. Dengan SOP yang semakin diperketat dan bertambah menyekat kebebasan dan kehidupan normal seorang manusia.
Ya, kita mahu sama-sama berjuang memutuskan rantaian wabak ini, tapi sampai bila untuk terus hidup terkurung? Sampai bila harus memendam rindu terhadap ayah dan ibu di kampung, adik-beradik?
Ditambah dengan bebanan kerja pejabat dan di rumah. Anak-anak pula 24 jam bersama di rumah, ditokok dengan sesi persekolahan di rumah yang hanya dipantau ibu bapa. Sampai bila?
Ramai yang kata orang lain pun terpaksa melaluinya. Namun, lain orang lain keupayaannya untuk menerima sesuatu bebanan dan ujian itu. Kita dilahirkan dengan kemampuan dan kekuatan berbeza.
Jadi, untuk kamu yang diberi kelebihan dari segi kekuatan mental dan emosi, ambil peduli orang di sekelilingmu. Jika ada jiran atau teman-teman yang memerlukan perhatian, hulurkan tangan untuk membantu mana yang boleh.
Selebihnya, kita serahkan hidup ini bulat-bulat kepada Allah SWT. Mohon jangan putus berdoa. Mengadulah hanya kepada Dia, mintalah kekuatan dan ketabahan diri dan jalan untuk keluar dari segala belenggu jiwa. Semoga setiap kita mampu meneruskan kehidupan dengan baik, positif dan bahagia. Jaga kesihatan, itu yang paling penting sekarang ini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live