“Kita akan ditanya oleh Allah SWT dia Akhirat nanti, kalau kita tidur kenyang tetapi jiran lapar, kita tidur dalam keadaan selesa, tapi ada orang lain yang susah. Kalau kita tak bantu mereka, siapa lagi yang akan bantu?” Mendengarkan bait-bait ayat inilah yang sentiasa menggerakkan hati Ustaz Ebit Lew untuk terus-terusan menghulurkan bantuan mereka yang dilanda ujian juga musibah serta menitipkan doa dan kobar semangat.



Misi Bantuan Beri Tempat Perlindungan Uncle Yap
Kiriman mesej seorang penduduk di sekitar Taman Intan Baiduri, Kepong menerusi Instagram kepada Ustaz Ebit Lew mengenai seorang lelaki warga emas yang hidup terbiar membuatkan Ustaz Ebit Lew terpanggil untuk membantu. Hanya duduk di atas kerusi roda, dia tidak mempunyai tempat untuk berteduh. Di mana-mana saja dia membuang air kecil dan besar. Bahkan postur duduknya di atas kerusi roda juga tidak stabil hingga dia menggelongsor ke bawah. Tidak dapat dipastikan apa penyakitnya, hidupnya seharian hanya merempat dan mengharapkan belas ehsan orang ramai.

Penduduk yang tinggal berhampiran kawasan inilah yang memberi makan dan minum. Menurut Mazlita Ismail, pernah ada yang bermurah hati memberi wang kepada lelaki warga emas berbangsa Cina ini tetapi ada yang mengambil kesempatan dengan mencuri juga merompak duitnya. Susulan itu mereka hanya memberi makan dan minum sahaja.



Pernah dibawa tinggal ke rumah kebajikan tetapi Uncle Yap bertindak keluar dan kembali tinggal di kaki lima ini. Disinilah dia tidur, makan dan minum juga menjalani rutin harian. “Pernah dia tidur tengah-tengah jalan, memang sesak jalan. Orang ramai yang terpaksa usung dan alihkan dia ke tepi,” ujar Zalikha Shaari dan Roslin, penduduk di sekitar kawasan ini.

Usaha memujuk Uncle Yap untuk tinggal di pusat warga emas mulanya menemui jalan buntu. Walaupun berkali-kali Ustaz Ebit cuba menjinakkan hatinya namun usahanya tidak berhasil. Susulan itu, datang seorang demi seorang penduduk sekitar kawasan ini yang cuba memujuknya untuk mengikut Ustaz Ebit Lew. Baik yang berbangsa Melayu dan Cina semuanya menunjukkan keprihatinan dan kesungguhan untuk membantunya yang hidup sebatang kara. Dan selepas titipan doa juga usaha Ustaz Ebit Lew dan orang ramai, terbuka jua hatinya untuk mengikut team Jejak Ebit Lew.

Uncle Yap dibawa ke Pusat Penjagaan Warga Emas Wan Hing di Sri Kembangan selain dibekalkan kerusi roda yang mudah laras penyandarnya sekali gus memudahkan Uncle Yap untuk baring rehatkan badan. Warga pusat penjagaan ini turut dibekalkan beras dan sedikit sumbangan makanan daripada Faiza.



Pesan Ustaz Ebit Lew
Daripada mereka ini kita belajar sesuatu. Kita rasa puas hati, gembira dan tercapai cita-cita untuk bantu Uncle Yap. Terima kasih kepada Mazlita dan keluarga, warga setempat, pihak JKM yang datang juga semua yang terlibat. Terima kasih juga kepada Pusat Penjagaan Warga Emas Wan Hing yang sudi menerima Uncle Yap, moga lebih maju dan dapat membantu lebih ramai yang memerlukan di luar sana.



Misi Mengedarkan Barang Keperluan Buat Barisan Hadapan
Bergerak dari balai ke balai, sukarelawan team Jejak Ebit Lew, Ahmad Afzal Ahmad Bhari terdahulu mendapat makluman kebanyakan balai-balai polis yang melakukan sekatan jalanraya (SJR) kekurangan face mask. Lantaran itu, face mask dan sedikit bekalan makanan disumbangkan untuk kegunaan anggota-anggota polis di beberapa balai yang sempat dikunjungi team Jejak Ebit Lew (JEL). Dan ketibaan team JEL disambut dengan riak wajah ceria dalam kalangan anggota. Bagi ASP Mohd Agus dari Balai Polis Trafik Kuala Lumpur, “Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian Ustaz Ebit Lew dan team datang ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur memberikan sumbangan. Saya juga mendoakan kepada semua petugas-petugas Ustaz Ebit Lew dan team terhindar daripada Covid-19,” ujarnya memberi penghargaan.



Selesai memberikan sumbangan di beberapa balai sekitar ibu negara, team JEL seterusnya ke Ibupejabat Polis Daerah Sungai Buloh. Sekali lagi kedatangannya disambut dengan penuh hormat pengurusan balai juga anggota-anggota polis disini. Dan di Balai Polis Dang Wangi pula, misi terus disalurkan. Bahkan menurut Ustaz Ebit lagi, “Rupanya Tuan Zainal dan Dato Huzir yang memberi kebenaran kepada Pertubuhan Kasih Umat Malaysia untuk kita beri bantuan ke seluruh Malaysia,” hurainya lanjut. “Bila orang buat kebaikan, kita kena permudahkan. Dan kita sebagai badan penguatkuasa bila sesiapapun yang mahu buat kebaikan, dakwah dan bantuan kita perlu sokong. Ini adalah tugas kita dan bila kita anggap tugas sebagai ibadah, Tuhan akan mudahkan dari segi keselamatan dan kesihatan kita Insya-Allah,” kata ACP Mohamad Zainal Hj Abdullah



Pesan Ustaz Ebit Lew
“Saya datang untuk ziarah dan beri semangat sedikit. Maklum sajalah, tuan-tuan banyak berkorban, berjuang di barisan hadapan. Untuk itu saya nak ucapkan terima kasih,” kata Ustaz Ebit sambil menitipkan doa buat mereka. Mengimbas semula mengenai bantuan yang diberikan, ada pihak yang gusar kenapa ia perlu ditunjuk secara terang-terangan. “Sebenarnya ia adalah perkara asas yang Nabi Muhammad SAW sebut, sedekah ada dua iaitu secara terang-terangan dan juga secara tersembunyi. Dan kita gunakan media sosial untuk menggalakkan lebih ramai orang berbuat kebaikan.”



Misi Ziarah Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim
Sejak Malaysia digemparkan dengan berita pemergian Allahyarham Muhammad Adib dua tahun lalu, sedari itulah Ustaz Ebit Lew menanam impian mahu bersua muka dengan keluarganya. Namun takdir Allah tidak mengizinkan kedatangan Ustaz Ebit Lew hinggalah ia disempurnakan selepas selesai membantu keluarga asnaf di Ipoh, Perak. Tidak mampu meluahkan kata-kata saat ditanya bila waktunya terkenangkan arwah, kedua ibu bapa Allahyarham sudah berkaca kolam matanya. Tidak pernah lupa akan segala tentang diri anak mereka, bagi ayah Allahyarham Adib, “Bagi kami macam baru saja terjadi. Masih segar ingatan kami kepada arwah.” Ujarnya seraya mengalir air mata membasahi pipi.

Pesan Ustaz Ebit Lew
Ujian-ujian yang berat dalam hidup kita adalah apabila kita kehilangan anak. Nabi Muhammad SAW ada tujuh orang anak dan enam anak Nabi meninggal semasa Nabi masih hidup. Dua tahun berlalu tapi perasaan mereka tak pernah kurang. Jadi kita doakan Allah beri kekuatan dan kesabaran untuk emak ayah ini serta mengharapkan pemergian arwah akan terbela nasibnya kelak.