Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Tiada Istilah STANDARD Atau Tak Dalam Makanan – Itu Semua Rezeki, Jangan Kufur Nikmat!

Afiza Kamarulzaman
19/05/2021 15:07 MYT
Makanan itu adalah salah satu rezeki yang Tuhan kurniakan untuk hamba Nya. Memiliki selera untuk makan juga anugerah daripada Allah untuk merasa nikmat daripada rezeki itu. Kemudian, ditambah lagi dengan rasa sedap, puas, kenyang, lalu diberi zat dan tenaga untuk manusia meneruskan hidup.


Justeru itu, orang selalu kata makan untuk hidup bukannya hidup untuk makan. Maksudnya, makanlah sekadar untuk membolehkan kamu meneruskan kehidupan agar tidak mati kelaparan. Makanan juga membolehkan kita terus melakukan rutin harian dan yang penting untuk beribadat dan bersyukur kepada Nya.


Lantas, wajarkah untuk kita hamba yang hina ini mengomen atau meletakkan ‘kelas’ dalam sesuatu jenis makanan itu? Pastilah tidak. Apatah lagi untuk mencela dan menghina makanan itu sendiri. Sekecil-kecil makanan jika ia daripada sumber yang halal wajib kita syukuri dan hargainya.



Rasulullah Tidak Pernah Mencela Makanan


Dari Abu Hurairah r.a., katanya: “Rasulullah s.a.w. itu tidak pernah sama sekali mencela pada sesuatu makanan. Jikalau baginda ingin pada makanan itu beliau pun memakannya dan jikalau tidak menyukainya, maka beliau tinggalkan – tanpa mengucapkan celaan padanya.”


Allah berfirman tentang makanan, “Maka hendaklah manusia memerhatikan makanannya” - (Surah ‘Abasa 80:24)


Akhlak Rasulullah saw, seperti yang telah Allah nyatakan dalam surah Al-Ahzab ayat 21: “Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak dalam masa susah dan senang”.




Kredit Foto: Google




Bersyukur Walau Untuk Sekecil-kecil Makanan


Apa pun namanya makanan, jangan sesekali kita memandang rendah atau menghinanya. Jika tidak berkenan pada selera, cukuplah ditinggalkan saja tanpa menjamahnya. Jangan sesekali diberi komen yang negatif. Apa lagi jika makanan itu dihidangkan oleh seseorang untuk santapan kita.


Sebaiknya, jika makanan itu sedap ucapkanlah Alhamdulillah dan berterima kasih kepada mereka yang menghidangkannya. Tidak perlu meninggalkan komen seperti tidak sedap, tawar, begini dan begitu.


Jika kamu melihat orang itu makan makanan yang kamu tidak pernah makan dan tidak gemar, jangan pula diperlekehkan. Sebagai contoh ada orang tidak suka dengan durian, apabila ada orang berdekatan memakannya, janganlah dicebek muka atau menunjukkan perilaku yang boleh mengguris hati orang itu seperti menuntup hidung.


Beredar sahaja dari situ.



Muhasabah Diri, Ramai Orang Menguis Makan di Tanah


Jika ada perasaan riak dalam diri bahawa ‘aku pandai masak’ atau ‘aku hanya makan makanan yang terbaik’. Cuba periksa semula hati itu. Pasti ada ‘virus’ yang tidak baik di dalamnya. Jika dibiarkan membawa kepada sifat kufur nikmat dan kurangnya rasa syukur kepada Allah swt.


Jika terlintas begitu, lekas-lekas beristigfar, bertaubat dan kembali muhasabah diri. Ramai saudara kita di luar sana yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jangankan mahu mengidamkan daging steak termahal atau ikan paling mewah, untuk mendapatkan sekeping roti kering pun payah.


Jadi, kita yang hidup dalam hamparan kepelbagaian makanan berjenis-jenis, janganlah berasa ‘leka’ dan ‘meninggi diri’. Ada pengemis tercari-cari sisa makanan dalam tong sampah, ada saudara di negara berperang, tertunggu-tertunggu bekalan makana dari negara yang prihatin. Dan, kita di sini, boleh mengkategorikan makanan kayangan dan tidak?


Akhir kata, hadaplah makanan itu dengan penuh kesyukuran, kunyahlah ia dengan kerendahan hati dan telanlah dengan keinsafan dalam diri. Insya Allah, ia menjadi darah daging yangn baik untuk diri kita sebagai orang yang beriman dan tidak sombong.






#Makanan #Laksa #Bersyukur
;