gaya hidup
“Tiada Kesusahan, Kesenangan Yang Kekal. Ada Rahmat Disebalik Semuanya.” – Ustaz Ebit Lew.
Jejak Ebit Lew memasuki Siri 3 dalam menyempurnakan Misi Bantuan Sabah semalam. Walaupun tidak berupaya membantu semua orang, tetapi bagi Ustaz Ebit Lew setiap ujian dan musibah ini tujuannya adalah untuk merapatkan hubungan dan mewujudkan kasih sayang sesama insan.
Misi Ziarah Adik Faizal Di Kampung Pangkalan Laut, Kunak
Sebutlah apa sahaja kesusahan dan ujian yang menimpa sesiapa, pasti ia takkan dipandang sepi Ustaz Ebit Lew. Walau bagaimana penat dan mencabar sekalipun, tetap akan digagahi untuk melihat sendiri kepayahan yang dilalui. Dalam segmen pertama malam ini, team Jejak Ebit Lew menyantuni sebuah keluarga yang mempunyai anak OKU. Salah seorang sukarelawan, Hj Mohd Fadzil Abdul Muafat berkata mereka terpaksa menempuh kesukaran sebelum tiba dirumah keluarga ini. Di kawasan perkampungan rumah air ini, rata-ratanya rumah yang dibina hanya dihubungkan dengan jambatan. Namun demikian strukturnya yang tidak kukuh, hanya menggunakan kayu boleh mendatangkan bahaya.
Kredit Foto: Astro Prima
Khabarnya, Faizal (anak OKU) ini sememangnya telah lama menyimpan Hasrat untuk berjumpa Ustaz Ebit Lew. Kerap kali mendengar ceramah menerusi telefon bimbit, akhirnya dengan izin Allah tiba jua Ustaz Ebit Lew dan team menziarahi anak istimewa ini yang lumpuh seluruh badan. Menurut neneknya Nurpaida Nelson, Faizal telah dua tahun lumpuh. Dilaporkan jatuh pada awalnya, Faizal kini hanya terlantar dirumah. Tidak mampu membiayai kos rawatan yang terlalu tinggi, menurut ibunya Norlina Ali mereka juga terpaksa menanggung risiko andai pembedahan atau rawatan susulan tidak berjaya dilakukan ke atas Faizal.
Usai memberi kata-kata perangsang, Ustaz Ebit Lew menghulurkan tablet bagi memudahkan Faizal terus mengikuti ceramah dan kuliah Ustaz Ebit Lew secara maya. Terpancar riak wajah gembira biarpun dirinya uzur dan tidak mampu lagi bergerak seperti dulu. Berterima kasih dengan kehadiran Ustaz, detik pertemuan itu diakhiri dengan titipan doa agar Faizal kembali sembuh dan keluarga ini dicekalkan hati untuk menempuhi ujian ini.Kredit Foto: Astro Prima
Pesan Ustaz Ebit Lew
Orang yang diuji ini selalu menangis. Kita yang hidup senang ini susah nak menangis pula. Tak keluar air mata lagi dah. Dulu masa susah, senang saja menangis. Tak mengapa, jangan risau. Allah sayang adik. Ingat, ujian ini kasih sayang Allah SWT. Bila Allah sayangkan seseorang, diberi ujian. Doakan hidayah untuk manusia. Adik duduk sini, tapi adik boleh jadi asbab untuk kebaikan manusia dalam dunia. Doa adik makbul jadi doakan untuk ramai manusia yang lain. Berdoalah, ‘Ya Allah sakit aku ini besar ganjarannya. Saya pohon Ya Allah berilah hidayah kepada manusia dalam dunia ini.’ Kredit Foto: Astro Prima
Misi Mengedarkan Tablet Pada Pelajar
Masih di Kampung Pangkalan Laut, Kunak kawasan perkampungan rumah air; kali ini team Jejak Ebit Lew bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi sekitar kawasan ini. Ia bagi mengedarkan tablet yang digunakan bagi memudahkan pelajar-pelajar menjalani sesi pembelajaran secara dalam talian. Dan ia hanya diedarkan di atas jambatan uzur itu sahaja. Pelajar-pelajar ini berbaris sambil Ustaz Ebit Lew menghulurkan satu persatu tablet kepada mereka. Walaupun tidak berpeluang memberikan kepada semua pelajar disini, ia hanya diedarkan berdasarkan data pelajar miskin yang dikongsikan pihak sekolah. Bagi Ustaz Ebit Lew, semoga inisiatif ini menjadi asbab lebih ramai lagi pihak sudi tampil membantu.Kredit Foto: Astro Prima
Misi Membaik Pulih Pusat Pembelajaran
Seperti sebelum ini, Ustaz Ebit Lew tidak pernah meletakkan diskriminasi dalam menyampaikan bantuan. Semua golongan walaupun berbeza anutan agama dan budaya tetap disantuninya atas dasar hormat dan nilai keharmonian. Di Gereja Sidang Injil Borneo, team Jejak Ebit Lew membantu dengan mengganti dan membaiki bumbung, siling, lantai, bekalan elektrik yang lebih menyeluruh bagi kemudahan masyarakat sekitarnya. Hujan lebat mengiringi ketibaan team Jejak Ebit Lew yang disambut oleh Pastor Eleazor serta jawatankuasa yang lain.Kredit Foto: Astro Prima
Selain berfungsi sebagai pusat peribadatan dan keagamaan, gereja ini turut digunakan sebagai pusat pembelajaran kanak-kanak dan aktiviti pendidikan lain. Bersyukur kerana Ustaz Ebit Lew sudi membantu, Pastor Eleazor mengakui tempoh PKP adalah waktu sukar yang terpaksa dilaluinya. Dengan sumbangan ini, ia sekali gus meringankan beban yang dipikulnya bersama jawatankuasa dan penduduk disini. Selain membantu membaiki struktur bangunan yang rosak, team Jejak Ebit Lew turut menyumbang bekalan makanan juga 10 tablet untuk keperluan pelajar disini. Kredit Foto: Astro Prima
Pesan Ustaz Ebit Lew
Walaupun berbeza agama, Tuhan perintahkan kita untuk saling menyayangi dan menghormati orang lain. Kita memang ada sesuatu yang ingin kita sampaikan. Dan bagi setiap agama pun ada sesuatu yang mereka percaya dan ingin kongsi dengan orang lain. Itu tak salah. Tetapi yang menjadi kesalahan adalah apabila kita memaksa orang lain atau menggunakan agama untuk saling bermusuhan. Kredit Foto: Astro Prima
Surau Kampung Lormalong
Disini, team Jejak Ebit Lew menyantuni penduduknya terutama anak-anak kecil dengan menghadiahkan basikal. Sekadar menggembirakan mereka, Ustaz Ebit Lew turut menghulurkan sedikit wang. Ternyata pemberian ini mengukir senyuman diwajah mereka lantas menitipkan kesyukuran dan penghargaan terima kasih kepada Ustaz Ebit Lew.Misi Bantuan Edar Kerusi Roda Di Pasar Am, Kunak
Salam diberi sebagai pembuka bicara apabila Ustaz Ebit Lew mendekati golongan warga emas yang menjamu selera di sekitar pasar ini. Dari meja ke meja, Ustaz Ebit Lew menyapa dan bertanya khabar. Walaupun tidak pernah bersua, sesi bual santai ini mendekatkan ikatan dan hubungan sesama saudara Islam. Serentak itu, Ustaz Ebit Lew menghulurkan sedikit wang sebagai sumbangan kecilnya juga beberapa buah kerusi roda untuk manfaat golongan ini.
Must-Watch Video