Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

TIPS Kurangkan Anak Main Gajet, Asah Skil Anak – Ibu Muda Ini Ajar Anak dengan Kaedah Montessori. JIMAT, Guna Apa Yang Ada Je!

Huda Hussain
09/01/2020 04:02 MYT
Nooranis Ali dahulunya seorang graduan dari Universiti Utara Malaysia jurusan Statistik Industri. Namun dek kerana saranan suami, Mohd Farizul Ariff yang lebih selesa dia menguruskan rumahtangga juga melakukan kerja-kerja lain dari rumah maka tanggungjawab itu dilunaskan sebaik mungkin. Malah dia bukan duduk diam uruskan soal anak dan rumah semata-mata. Anis turut menjalankan bisnes kecil-kecilan sebagai dropship menjual buku dan barangan bayi. Lebih menarik, dia mengajar sendiri anak sulung dengan kaedah yang diaplikasi menerusi kelas dalam talian. Baca kisah selanjutnya.


Kredit Foto: Nooranis Ali


Sejak bila dan bagaimana Anis mula menceburkan diri dalam bidang Montessori ini?
Mulanya sejak Anis tinggal di KL (dulunya saya menetap di Kedah dan datang ke sini kerana mengikut suami) ada terdengar daripada ibu-ibu mengenai home schooling. Anis tertanya-tanya juga apakah home schooling ini sebenarnya? Pernah juga terbaca di Instagram mengenai istilah ini. Dan lepas lama-kelamaan barulah Anis faham maksud sebenar istilah ini bahawa konsepnya adalah mengajar anak di rumah. Memang Anis tertarik pada awalnya. Tambahan pula, semasa masih berpantang lagi, suami sudah mula membeli buku-buku, kad imbasan dan macam-macam lagi. Hinggakan dia bertanya, “Ada tunjuk Hakim flashcard ke tak?” Bayangkan, anak masih kecil lagi apalah sangat yang dia faham. Sudahnya Anis hanya mengeyakan saja walhal tak tunjuk pun (Hahaha…)


Kredit Foto: IG Putih2dodoi_montessori


Jadi boleh dirumuskan, mulanya dengan perasaan terpaksa tapi lama-kelamaan membuahkan minat. Dan berkaitan Montessori pula, Anis mula ikuti dan belajar untuk memahami konsep didikan secara beraktiviti ini menerusi Instagram. Selain itu, Anis juga mengikuti kelas-kelas secara dalam talian (online) yakni telegram group khusus mengenai bidang Montessori secara asas.
Bagi Anis, sementelah punya anak sudah pasti kita mahukan yang terbaik untuk mereka. Lantaran itulah yang membawa Anis kepada dunia baru ini. Dan apa yang memberi nilai tambah adalah, kelebihannya kerana Anis tidak bekerja dan sememangnya sentiasa bersama Hakim. Jadi, semua itu turut mempengaruhi minat Anis.


Mungkin Anis boleh huraikan lebih lanjut mengenai kelas online yang diikuti bersama Hakim?
Awalnya Anis dapat tahu dari adik ipar. Ia diselia oleh guru yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan kanak-kanak. Dan kelas online Little Fingers ini membekalkan ilmu pendidikan kanak-kanak menerusi pelbagai modul dan aktiviti yang disesuaikan untuk anak-anak.


Kredit Foto: IG Putih2dodoi_montessori


Contohnya, dalam seminggu ada dua tugasan yang ibu-ibu perlu selesaikan dan perlu hantar maklum balas juga bagaimana tindak balas anak. Menerusi kaedah ini, selepas tiga kali Anis ajarkan Hakim baru dapat lihat hasilnya. Modul dihantar menerusi format video dan pdf (bertulis) bagi memudahkan ibu-ibu memahami kaedah dan teknik tertentu untuk diajar kepada anak.

Selepas Anis sertai kelas online ini, ia bagaikan booster yang terus melonjakkan minat untuk mendalami bidang Montessori. Apatah lagi berpeluang dikelilingi mereka yang punya aura positif, sedikit sebanyak menaikkan lagi semangat Anis untuk cuba berikan yang terbaik kepada Hakim.


Dan bagaimana Anis ketengahkan pelbagai modul menerusi aktiviti kepada Hakim?
Semuanya berdasarkan apa yang Anis pelajari menerusi kelas online dan tinjauan dari internet. Anis rujuk Instagram berkaitan montessori, pinterest dan lain-lain untuk cipta pelbagai aktiviti dengan Hakim. Ada juga aktiviti yang mulanya Hakim tidak mahu ikut tetapi selepas cuba dengan teknik dan kaedah tertentu (seperti yang ditunjukkan dalam modul), memang jadi mudah dan Hakim boleh faham.


Kredit Foto: IG Putih2dodoi_montessori

Selain itu, dalam group sharing ini juga ibu-ibu dan guru turut berkongsi bahan bacaan misalnya buku-buku yang sesuai dengan perkembangan dan peringkat umur anak-anak. Dan apa yang membuatkan Anis teruja selain seronok sertai group telegram ini sebabnya ibu-ibu memang tak lokek ilmu. Mereka tak kedekut untuk kongsi apa saja yang berkaitan dengan anak-anak. Bukan setakat itu sahaja, mereka kongsikan juga apa jenis permainan yang membantu merangsang minda anak-anak, yang mana sesuatu dan tidak serta banyak lagi.

Perkembangan Hakim setakat ini, kongsikan?
Apa yang dia minat maka cepatlah dia respond dan ada juga sesetengah aktiviti memerlukan masa untuk dia sesuaikan diri dan faham. Kadang-kadang tak sangka juga, pada usia baru setahun lebih dia sudah mampu dan boleh faham arahan dan kehendak sesuatu aktiviti.

Kredit Foto: IG Putih2dodoi_montessori

Seperkara mengenai Hakim adalah, dia mempunyai masalah lambat bertutur. Jadi atas saranan doktor, Hakim perlu melalui sesi terapi pertuturan. Tapi itu tidak mendatangkan masalah semasa Anis lakukan aktiviti sebabnya Hakim boleh faham arahan cuma dia tidak boleh respond dengan perkataan.


Kalau ada yang berkata, “Oh, dia bolehlah buat sebab tak kerja”; apa komen Anis?
Sejak Anis dalam kumpulan ibu-ibu ini, rupanya ramai dalam kalangan ahli kumpulan terdiri daripada mereka yang bekerja. Tetapi masih mampu luangkan masa untuk lakukan aktiviti dengan anak-anak. Dan itu sebenarnya yang memberi lebih cabaran kepada Anis untuk sedaya upaya lakukan aktiviti bersama Hakim.

Berdasarkan apa yang Anis baca, walapun ibu-ibu hanya luangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit (dengan syarat letakkan telefon bimbit dan berikan sepenuh tumpuan kepada anak); ia jauh lebih efektif dan berkesan daripada luangkan masa sejam dengan anak-anak, tetapi anda sibuk dengan telefon.

Dari situ, barulah anak-anak akan bersemangat dan teruja nak beraktiviti dengan ibu. Dan kalau ada yang berkata, “Dia senanglah anak baru seorang. Bukannya berderet macam kita ni”. Ya, Anis akui tentang itu. Tetapi boleh saja tarik perhatian kakak, abang atau adik untuk turut serta dalam aktiviti ini. Jadikannya dalam bentuk pertandingan mungkin? Lebih ramai lagi meriah dan secara tak langsung adik-beradik juga membantu memaikan peranan agar adik mereka lebih mudah faham.


Dari segi kos dan sumber mendapatkan bahan bagi setiap aktiviti, mahal atau tidak?
Boleh dikatakan aktiviti ini semua berkonsepkan permainan. Dan untuk itu, ada alat-alat permainan yang dibeli dan ada yang Anis hasilkan sendiri. Daripada segi bahan pula, Anis beli saja di kedai-kedai seperti kedai Eco dan Mr Diy kemudian ikut kreativiti untuk reka permainan berdasarkan teknik dan kaedah yang Anis belajar.


Kredit Foto: IG Putih2dodoi_montessori

Anis perhatikan, apabila sudah mula buat barulah datang idea boleh gunakan peralatan lain untuk cipta permainan dan aktiviti untuk Hakim. Anis juga gunakan bahan-bahan terpakai seperti kotak, kad board. Secara tak langsung, melalui aktiviti ini juga mengasah kemahiran dan tingkatkan kreativiti Anis supaya lebih kreatif. Kalau buku pula, Anis beli tapi ikut kepada kesesuaian dan minat Hakim. Jika nak diikutkan nafsu, memang rasanya nak beli saja semua tapi memandangkan Anis tak bekerja jadi kena ‘puasa’ lah sedikit.

Ada perancangan mahu buka Montessori sendiri suatu hari nanti?
Minat dalam bidang ini memang ada cuma belum terfikir lagi mahu buka pusat pendidikan secara formal lagi. Mungkin kalau ada rezeki, apa salahnya nak cuba kan? Buat masa sekarang, Anis lebih fokus kepada kelas online terlebih dahulu.

Sudah menjadi kebiasaan kita lihat ibu bapa berikan telefon pintar kepada anak kecil dengan alasan mahu anak duduk diam. Anis sendiri bagaimana?
Kebergantungan Hakim terhadap telefon bimbit buat masa sekarang masih terkawal. Bohonglah kalau Anis tak beri, sebabnya Anis akui ia sedikit sebanyak membantu Hakim cuba memahami dan belajar melalu medium lain (selain daripada aktiviti Montessori).


Kredit Foto: IG Putih2dodoi_montessori


Cara Anis, selepas Hakim bangun tidur (sebelah pagi) semua telefon bimbit atau alat permainan berasaskan telefon pintar Anis akan sorok. Sebabnya, kalau dia tak nampak tak mengapa. Tapi kalau dia tengok ada telefon, dia akan datang dan minta Anis bukakan youtube misalnya untuk dia tonton.

Dan kalau Anis beri telefon kepada Hakim, Anis akan duduk dan tengok bersamanya. Tidaklah dia leka. Anis akan berinteraksi dengan Hakim dan terangkan itu burung, itu arnab dan sebagainya kerana menerusi penerangan dan penjelasan barulah dia belajar dan perlahan-lahan akan mulai faham. Kalau keluar pula, misalnya pergi makan di kedai; Anis akan bawa alat-alat mainan yang kecil seperti saiz. Masih pastikan dia lakukan aktiviti walaupun sekadar bermain.


Nasihat Anis kepada ibu-ibu lain yang mungkin tertarik dan mula meminati konsep pembelajaran Montessori ini?
Perlu ada minat dan kesungguhan. Jangan putus asa untuk cari ilmu sebab Anis percaya semua ibu mahukan yang terbaik untuk anak. Belum terlambat untuk mencuba selagi ada usaha untuk lakukannya. Dan seperkara lagi, jangan banding-bandingkan anak kita dengan anak orang lain.


Kredit Foto: Nooranis Ali

Sebabnya, setiap anak-anak mempunyai kecenderungan, potensi dan minat yang berbeza. Kita sebagai ibu bapa yang berperanan untuk cungkil dan salurkan ke jalan yang betul. Kalau kita bandingkan anak kita dengan anak orang lain, ia hanya akan mempengaruhi pemikiran kita. Kita akan diselubungi rasa kecewa, putus asa dan semua yang menjurus ke arah negatif. Bagaimana kita mahu anak-anak positif kalau kita sendiri negatif? Jadi, raikannya dengan mengubah cara kita berfikir. Percaya kepada kemampuan dan kebolehan anak kita. Pasti kita akan bangga dengan pencapaian mereka.
#Keibubapaan #parenting #Home Schooling #Montessori
;