"Tolong Berhenti, Mummy, Tolonglah!" — Kisah Benar YB Hannah Yeoh, Antara Politik dan Pengorbanan Seorang Ibu
Public Anonymous User
10/12/2018 09:10 MYT
10/12/2018 09:10 MYT
Oleh: Nurulhuda Hussain
Sebagai sesi perkenalan, boleh Yang Berhormat (YB) Hannah huraikan serba-sedikit latar keluarga, yang tidak pernah kami ketahui sebelum ini?
Saya anak sulung daripada empat adik-beradik (tiga perempuan dan seorang lelaki). Dilahirkan pada Januari. Uniknya, ibu saya hamil tidak lama selepas itu dan melahirkan adik kedua pada Disember (tahun yang sama).
Oleh kerana itu, kami berdua dianggap seperti kembar kerana berkongsi banyak perkara sama. Bapa seorang ahli perniagaan manakala ibu suri rumah. Mempunyai Ijazah Undang-Undang dari University of Tasmania, Australia.
Pernah berkhidmat sebagai peguam selama tiga tahun selain pernah bekerja sebagai Pengurus Acara selama dua tahun sebelum menyertai politik ketika berusia 28 tahun.
Setahun selepas itu, saya memenangi kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) untuk dua penggal.
Karakter ketika di rumah, adakah YB seorang ibu yang tegas atau bagaimana?
Saya fikir lebih kepada kombinasi kedua-duanya. Hal ini kerana saya tidak suka memaksa anak-anak melakukan sesuatu yang mereka tidak suka. Ya, saya ada menghantar mereka ke kelas-kelas tambahan misalnya jika mereka mahu menyertai kelas ballet dan sebagainya saya akan cuba turuti keinginan mereka.
Dalam soal ini banyak mengingatkan saya ketika dibesarkan dahulu. Bapa mahu saya sertai kelas Taekwondo tetapi jujurnya ketika itu, saya tidak meminatinya. Setiap kali pergi kelas, jiwa saya akan memberontak dan marah.
Sedangkan hati saya kepingin sertai kelas ballet seperti rakan-rakan lain. Walaupun cuma tinggal satu sahaja ujian kelayakan tali pinggang hitam, akhirnya saya putuskan untuk berhenti.
Rentetan itu, saya tidak mahu perkara sama dilalui anak-anak saya. Biarlah mereka lakukan apa yang digemari tanpa paksaan sesiapa waima kami sebagai ibu bapa. Dalam soal ini, saya fikir pendekatan ilmu keibubapaan harus ada pro dan kontranya.
Walaupun daripada segi kontranya, anak-anak tidak akan sudahkan apa yang dimulakan tetapi saya mahu mereka belajar, mencari minat dan kesukaan lantas menemukan bakat tersendiri.
Misalnya anak-anak saya kini (Shay Adora Ram, tujuh tahun dan Kayleigh Imani Ram, lima tahun) gemar bermain alat solek. Anak sulung pernah berkata dia bercita-cita mahu membuka salun rambut.
Saya tidak pernah membantah atau menyatakan, “Oh, ini bukan karier yang profesional,” itu dan ini. Sebaliknya, saya ingatkan jika itu adalah minat dan kecenderungan, maka mereka perlu berusaha dan beranikan diri untuk terokai ke tahap seterusnya.
Jika punya masa terluang, apa yang YB lakukan?
Dahulu saya suka membeli-belah! Tetapi sekarang, sekali sebulan pun belum tentu kerana kekangan masa dan tuntutan kerja. Pada saya, sudah memadai jika pergi ke kompleks membeli-belah walaupun tidak membeli.
Sekadar ‘cuci mata’ sudah memuaskan hati saya.
Sisi lain yang ramai tidak tahu mengenai YB (bukan sekadar dari ruang lingkup politik semata-mata)?
Saya sangat takut kucing! Saya gemar minum teh hijau, tidak suka makanan dan minuman bergula, tahu memasak dua tiga masakan sahaja. Saya suka memasak tetapi saya tak suka mengemas.
Seperkara mengenai memasak, saya tidak handal memasak dalam durasi yang singkat kerana saya perlukan masa yang mencukupi untuk melalui proses itu.
Selain itu saya gemar makan petai dan durian jenis Musang King.
Daripada bidang guaman ke pentas politik, bagaimana peralihan itu berlaku dan boleh huraikan kisah selanjutnya?
Memandangkan saya tidak cemerlang dalam subjek aliran Sains, maka saya belajar jurusan undang-undang. Saya memasang impian dan berhasrat untuk berhijrah dari Malaysia. Mengapa?
Kerana saya tidak sukakan Malaysia ketika itu. Dengan masalah rasuahnya, diskriminasi perkauman dan banyak lagi. Selepas tamat pengajian di University of Tasmania, Australia selama tiga tahun dan bertugas sebagai peguam; saya tekad mahu teruskan kehidupan di sana sahaja.
Namun, saya gagal memperoleh hak kerakyatan memandangkan polisi pekerjaan di sana; sesuatu jawatan itu hendaklah ditawarkan kepada semua warganegara Australia terlebih dahulu.
Dan jika tiada rakyatnya yang memenuhinya barulah ia dibuka kepada bukan warganegara.
Sebagai orang biasa yang tiada kabel atau laluan istimewa, ia menyukarkan saya. Lantaran itu bapa menyuruh saya pulang kerana dia tidak mampu lagi menampung perbelanjaan dan kos hidup saya di sana. Saya kembali ke Malaysia dan memulakan kerjaya sebagai peguam selama tiga tahun.
Sungguhpun begitu, pada saya kehidupan sebagai fresh graduate bukanlah mudah. Saya masih tinggal bersama ibu bapa dan perlu membayar ansuran kereta dan perbelanjaan lain.
Maklum sajalah, walaupun menetap di Subang Jaya yang demografiknya terdiri daripada kelas pertengahan; gaji yang diperoleh tetap tidak mencukupi. Ekoran itu saya mula bertanya kepada diri sendiri.
Mengapa kita tidak mempunyai sistem pengangkutan yang bagus, mengapa begitu banyak masalah rasuah dan lain-lain?
Kemudian, seorang junior ketika di sekolah dahulu berkata kepada saya, “Mengapa mesti merungut dan tidak lakukan sesuatu? Sudahkah kamu berdaftar untuk mengundi?” Lantas saya mulai sedar.
Pada 2007, setahun sebelum PRU13 saya mendaftar sebagai pengundi pada usia 28 tahun. Mengapa saya lewat mendaftar? Kerana sebelum itu saya tidak percaya kuasa pengundi boleh mengubah tampuk pemerintahan sedia ada.
Pada 2008 saya menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP). Mereka menawarkan banyak kerusi untuk pembangkang. Malangnya tidak ramai yang mahu bertanding kerana mungkin ya, jika nasib tidak baik maka leburlah wang pertaruhan dan perlu menanggung kekalahan. Saya sahut cabaran itu dan itulah kali pertama saya mengundi (2008) untuk diri sendiri. Ia nyata menyebelahi saya apabila memenangi kerusi sebagai ADUN Subang Jaya. Sejujurnya saya tidak terfikir atau bercita-cita untuk menjadi ahli politik tetapi sebaliknya keadaan dan perancangan Tuhan yang mengemudi saya ke jalan ini.
Dahulu saya bercita-cita mahu bergelar penyampai berita kerana berasakan terinspirasi untuk menjadi seperti Wan Zaleha Radzi dan barisan penyampai berita yang lain ketika itu.
Kali pertama bertanding dan terjun ke dunia politik, bagaimana perasaan YB?
Sudah tentu takut kerana ia adalah kali pertama. Saya tidak sempurna tetapi syukur kerana saya tidak mempunyai apa jua skandal atau sejarah lampau yang memerlukan saya menyembunyikannya daripada sesiapa.
Mengenai politik, ia adalah sesuatu yang baru bagi saya. Saya tidak pasti apakah idealoginya, saya tidak tahu perbezaan antara Ahli Parlimen dan ADUN ketika itu.
Saya hanya ada masa dua minggu untuk mempelajari semua perkara berkaitan Subang Jaya.
Rakan-rakan banyak membantu ketika tempoh berkempen. Antara beberapa nama individu yang banyak membantu adalah suami saya, Ramanchandran Muniandy, Edward Ling, Jai Isaacs dan Reuben Varughese.
Selain itu saya tidak lupakan mentor dan individu berpengaruh dalam DAP seperti Tony Pua (Ahli Parlimen Damansara) yang bertanggungjawab membawa saya ke dunia politik.
Jika saya berhadapan dengan apa jua masalah, saya akan berjumpa Gobind Singh Deo (Menteri Komunikasi dan Multimedia juga Ahli Parlimen Puchong). Nama-nama lain termasuk Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng yang menjadi idola saya.
Saya tidak nafikan pada usia yang muda apatah lagi kali pertama terjun ke gelanggang politik, sudah tentu tekanannya amat tinggi. Saya perlu arif dalam soal isu juga berhadapan dengan komen-komen daripada barisan yang lebih senior.
Ada yang berkata, “Oh, awak tak boleh warnakan rambut. Tak sesuai jadi ahli politik kalau awak warnakan rambut.” Sehinggakan saya tidak pasti apa yang saya lakukan sama ada betul atau tidak.
Namun lama-kelamaan saya sedar bahawa tidak kiralah sama ada mewarnakan rambut atau tidak, ia tidak menjadi penanda aras anda adalah ahli politik yang bagus atau tidak.
Saranan dan nasihat daripada barisan senior – apa yang perlu dijauhi dan dilakukan sebagai jagoan baru dunia politik?
Live a clean life so that you don’t have a secret life. Kerana jika anda punya kisah lalu yang mahu disembunyikan, anda seolah-olah perlu menipu untuk berselindung daripadanya.
Kedua, pastikan semua yang dilakukan didokumenkan secara hitam dan putih. Tetapkan pendirian, yakin dan jelas mengenai garis sempadan yang harus dihormati.
Ketika itu juga saya menerima pelbagai tunjuk ajar dan komen membina daripada Teresa Kok mengenai apa yang sesuai dan patut dipakai oleh seorang ahli politik.
Kata hati dan apa yang mahu diperjuangkan?
Saya mahu perjuangkan dua isu utama iaitu memerangi rasuah kerana saya fikir dan percaya masalah kemiskinan di Malaysia boleh ditangani. Kita punya sumber dan dana mencukupi untuk diagihkan kepada golongan miskin.
Isu dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) juga hak-hak istimewa orang Melayu. Saya bersetuju bahawa kebanyakan golongan miskin terdiri daripada masyarakat Melayu. Tetapi jika dilihat dalam isu rasuah pula, hanya menguntungkan golongan elit dan masyarakat Melayu masih terpalit dengan kemiskinan.
Maka terbukti ia tidak adil. Justeru itu ia perlu ditangani dan diuruskan dengan betul supaya sumber-sumber kerajaan boleh diagihkan sama rata.
Isu kedua adalah politik perkauman. Ia hanya digunakan oleh parti-parti yang tidak mempunyai polisi jelas untuk diketengahkan kepada rakyat. Apabila tiada polisi dan hanya ‘bermain’ dengan politik perkauman, ia hanya mencetuskan sentimen.
Dan sebagai rakyat, jika anda percaya kepada politik perkauman, anda cuma tertipu sahaja dengan helah bijak yang ditonjolkan oleh parti-parti politik ini.
Oleh yang demikian, dalam era Malaysia baharu ini, alangkah baiknya jika masa yang ada digunakan sebaiknya.
Misalnya membincangkan polisi atau isu-isu yang lebih besar dan relevan seperti pemansuhan GST kepada SST dan sebagainya. Secara tidak langsung anda mula berdebat mengenainya.
Bergelar Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, bagaimana YB menyesuaikan diri dan menggalas tanggungjawab ini?
Saya bertuah dan bersyukur kerana mempunyai bos yang baik, Kak Wan (Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datin Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga memegang portfolio Timbalan Perdana Menteri).
Saya selesa bekerja bersamanya malah dia tidak mempunyai apa jua agenda tersembunyi, punya rekod yang bersih dan dia tahu apa yang harus dilakukan. Saya banyak belajar daripadanya tentang bagaimana dia mengendalikan semua aspek dan menguruskan keluarganya.
Dia mempunyai anak yang lebih ramai daripada saya, bagaimana dia menangani tekanan ketika suaminya tiada, bagaimana dia memainkan peranan sebagai ibu, nenek, presiden parti dan banyak lagi. Saya benar-benar mengaguminya.
Ini baru bulan pertama, saya masih belajar mengenai selok- belok dan perincian kementerian ini. Misalnya ketika di Parlimen, saya perlu menjawab persoalan yang berkaitan dengan kementerian ini dan saya perlu bingkas mempelajarinya.
Benar ia bukan satu tugas mudah kerana saya terikat dengan pelbagai temu janji, ramai yang mahu berjumpa dan sebagainya. Untuk itu saya perlukan satu pasukan dan sistem sokongan yang dapat membantu kelancaran urusan kerja.
Saya harap masyarakat dapat memahami dan memberikan masa kerana maklum jangkaan terhadap kerajaan baharu amat tinggi. Seperti kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bagaimana dia mengharapkan punya waktu 36 jam sehari untuk melakukan semua kerja.
Ini baru tugas-tugas hakiki, belum dicampur lagi dengan kiriman e-mel, WhatsApp dan sebagainya. Kami masih perlu kemas kini maklumat di media sosial dan lain-lain.
Itu belum termasuk memenuhi undangan, jemputan pelbagai acara dan program sementelahan terdapat tiga pecahan golongan sasar kementerian ini iaitu wanita, kanak-kanak dan masyarakat.
Justeru, bagaimana saya perlu melayani semua permintaan ini? Bukan bermakna saya merungut tetapi masih mencari rentak menyesuaikan diri dengan rutin baru. Rentetan itu saya perlu lebih selektif, teliti dan meletakkan kewajaran untuk menghadiri apa jua majlis.
Bukan bermakna saya enggan hadir kerana saya tidak suka, tidak mahu dan sebagainya. Tetapi, jika hanya menghadiri acara tanpa punya masa untuk memikirkan isu-isu berbangkit dalam kementerian ini, nyata ia hanya akan merencatkan proses kerja yang lain.
Saya peruntukkan Isnin hingga Jumaat di Putrajaya untuk urusan rasmi, mesyuarat dan polisi kementerian. Sabtu pula saya luangkan masa di Segambut memandangkan saya Ahli Parlimen di sana juga jika berkesempatan saya akan hadiri acara mahupun program yang diatur di peringkat kementerian.
Manakala Ahad pula, saya isi dengan rutin keagamaan di gereja dan seboleh-bolehnya saya cuba lapangkan jadual untuk bersama keluarga. Saya perlukan waktu rehat waima sehari untuk memastikan saya kembali produktif keesokan harinya.
Kehadiran YB di persada politik tempatan, apa yang mahu disuarakan dan dibentangkan?
Fasa pertama dahulu, isu yang saya perjuangkan adalah masalah-masalah penduduk Subang Jaya ketika berkhidmat sebagai ADUN. Manakala fasa kedua pula bertindak sebagai Speaker Majlis Perundangan Dewan Negeri Selangor yang membawa usul perundangan, perkasakan dewan, demokrasi dan sebagainya.
Kini di fasa ketiga sebagai Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga. Saya mahu pastikan keselamatan dan kebajikan kanak-kanak menjadi prioriti dan dilindungi kerana kanak-kanak adalah aset negara.
Pada peringkat ini adalah penting untuk saya kaji dan bentuk semula polisi bagi undang-undang yang melibatkan kanak-kanak, perlindungan dan bagaimana kita boleh pastikan ada sistem pengasuh di Malaysia dan seumpama dengannya.
Minggu pertama bekerja, saya perlu uruskan kes tragis yang meragut nyawa bayi Adam Rayqal. Serentak itu, pihak kementerian umumkan antaranya agensi kerajaan harus mempunyai pusat jagaan kanak-kanak terutamanya bagi pekerja yang mempunyai jadual kerja(shift).
Pihak kementerian menyasarkan tanggal 1 Januari 2019 ia akan dilaksanakan. Benar ia berkait rapat dengan peruntukan wang untuk menguatkuasakannya.
Berbicara lanjut mengenai hal ini, saya percaya mengekalkan wanita dalam sektor pekerjaan dan menyediakan sistem sokongan yang baik amat penting.
Ini akan memastikan wanita terus bekerja dan jika tidak mereka akan berhenti dan duduk di rumah. Tidakkah ini merugikan kita? Dan berkaitan soal ini, saya fikir kita tidak memerlukan pusat jagaan kanak-kanak kelas pertama yang dibiayai dengan harga yang mahal.
Apa yang utama ialah keselamatan, kebersihan dan keselesaan untuk kanak-kanak dipenuhi.
Isu seterusnya adalah memperkasakan sistem daftar kanak-kanak. Apabila sistem daftar kanak-kanak ditubuhkan, saya mahu pastikan sesiapa yang mahu berurusan dengan kanak- kanak hendaklah melalui proses pemeriksaan.
Contohnya, saya mahu jiran mengambil anak dari sekolah. Walaupun jiran bersetuju, tetapi saya tidak tahu jika dia mempunyai sejarah atau rekod jenayah lampau misalnya.
Dan jika kita mempunyai sistem ini, di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); saya boleh memohon sebagai ibu bapa untuk melakukan proses pemeriksaan.
Tidak kiralah apa jua urusan yang melibatkan kanak-kanak, misalnya pengusaha taska yang mahu memilih guru di taska, pihak sekolah, guru-guru, ibu bapa anda hendaklah melalui proses ini dan pada saya ia perlu diperkasakan.
Sekali gus ia mewujudkan persekitaran yang selamat dan melindungi kanak- kanak. Kami juga mahu mengawal selia perkhidmatan oleh pengasuh-pengasuh.
Buat masa ini, jika anda menjaga empat kanak-kanak dan ke atas, anda perlu mendaftar sebagai pengasuh di bawah JKM. Tetapi pada saya, jika angka kurang daripada jumlah tersebut juga masih perlu berdaftar bagi memudahkan pemantauan JKM.
Bagaimana pula dengan kerja-kerja pembersihan di peringkat kementerian?
Kami masih mengenal pasti program