gaya hidup
“Transmisi Jangkitan Covid-19 Dari Ibu Yang Mengandung Pada Bayi Sangat Rendah, Tapi Kami…” – Dr Redza Zainol
Walaupun dua hari kes positif menunjukkan penurunan, tetapi hakikatnya kita masih belum menarik nafas lega. Kerana saban hari ada sahaja kes kematian yang melibatkan ibu hamil. Dan pengalaman Dr Redza Zainol, Pegawai Perubatan Kanak-Kanak Hospital Muar, Johor kongsi pengalaman menyaksikan momen terpaksa memisahkan anak dengan ibu yang positif Covid-19. Melalui perkongsiannya di Facebook,
Petang itu saya dihubungi oleh doktor pakar saya. “Redza, kita ada seorang ibu positif Covid yang dah mula ada tanda nak bersalin. Pasukan O&G nak caesar petang ni juga. Kes ni kes besar. Saya nak you standby dalam bilik pembedahan”
Ibu ni sebenarnya petugas kesihatan. Awal-awal lagi dia dah lengkapkan dua dos vaksin. Lepas dia mula demam, sampel swab yang diambil sahkan ibu ni dah dijangkiti Covid. Tempat pembedahan untuk ibu bersalin sengaja diletak jauh dari blok utama hospital. Biar jauh dari orang ramai dan staf kesihatan yang tak berkaitan.
Sambil saya berjalan kaki ke sana, saya ingat semula setiap langkah yang perlu dibuat. Dah selalu juga kami terima kes besar begini. Saya sebagai doktor kanak-kanak bersedia untuk sebarang kemungkinan bila bayi tu keluar nanti.
Kredit Foto: Google
Dibilik pembedahan semua berjalan lancar. Selepas 10 minit berlalu, bergema bilik pembedahan dengan tangisan bayi. Syukurnya dalam hati. Saya terus memeriksa bayi. Nafasnya tak laju, kulitnya merah, degupan jantung pun kuat. Alhamdulillah.
Tak jauh dari situ, mata si ibu tak berkelip memandang anaknya. “Saya nak tengok anak saya,” rayu ibu tu. Walaupun sedang dibedah, yang difikirnya cuma satu. Nyawa anaknya. Itulah hebatnya jiwa seorang ibu.
Kami tunjukkan bayi tu sekejap sebelum terus dimasukkan dalam inkubator dan ditolak keluar dari bilik pembedahan. “Puan, kami bawa anak ke wad bayi dulu,”. Dua ambulans di luar dah bersedia. Satu untuk bayi, satu lagi untuk ibu.
Transmisi jangkitan Covid-19 dari ibu yang mengandung pada bayi sangat rendah, tapi kami tak nak ambil risiko tu. Berat juga hati nak pisahkan ibu dan anak tapi itulah yang terbaik buat masa tu. Biarlah kami yang jaga bayi tu sementara ibunya dirawat dan berehat.
Kredit Foto: Google
Deritanya menjadi ibu yang dijangkiti Covid, hanya Allah yang tahu. Sudahlah dibedah, kemudian masuk pula ke wad isolasi. Tak ada tangan suami yang mengenggam tangan isteri ketika melalui waktu sukar.
Saya dan staf kesihatan lain hanya buat apa yang kami mampu. Yang lain kami serahkan pada Allah. Moga kalian sama-sama doakan kesihatan semua ibu yang sedang mengandung dan bakal melahirkan anak.
Sehingga 12 Ogos, sejumlah 70 orang ibu hamil meninggal dunia akibat Covid-19. Hanya dua orang daripada mereka yang mengambil vaksin. Itupun satu dos. Justeru, para ibu jangan sekali-kali ragu untuk mengambil vaksin. Malah mengikut nisbah, satu daripada 20 pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah ibu hamil. Dan satu daripada 160 pesakit Covid-19 yang meninggal dunia adalah ibu hamil.
Maka selagi tiada keperluan untuk keluar, para ibu lebih baik dan disarankan kekal duduk dirumah. Ditambah pula dengan varian Delta ini, risiko buat ibu hamil lebih berkali ganda. Hati-hati ya semua.